MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU: PERANANNYA DALAM POLITIK MALAYSIA BARU

By


Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memiliki sembilan orang raja yang memerintah secara serentak di negeri masing-masing pada waktu yang sama dan memiliki sistem penggiliran yang sempurna di mana salah seorang daripada sembilan orang raja tersebut akan menjadi Ketua Negara bergelar Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) selama 5 tahun sebelum kedudukan baginda akan digantikan oleh raja yang lain secara bergilir-gilir.

Sembilan orang raja yang disebutkan di atas adalah Sultan Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, dan Perlis. Para raja inilah yang menganggotai Majlis Raja-Raja Melayu (MRRM) iaitu sebuah badan yang berada di luar Badan Legislatif, Eksekutif, dan Judisari. Kedudukan MRRM telah termaktub secara jelas dalam Perkara 38 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Rentetan sejarah ringkas MRRM bermula pada tahun 1897 melalui penubuhan Durbar iaitu Persidangan Raja-Raja Melayu dari empat buah Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang. Pada 1948, akhirnya Durbar berganti nama kepada MRRM setelah Raja-Raja Melayu dari lima buah Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, dan Perlis telah menyertainya secara rasmi.
Di dalam Perkara 38 (2) diperincikan peranan dan tugas-tugas Majlis Raja-Raja iaitu :

a. Memilih yang di- Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga.
b. Mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau acara ugama meliputi seluruh Persekutuan.
c. Mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
d. Melantik anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182.
e. Memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman di bawah Fasal (12) Perkara 42, dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkan patut.

Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada Yang di-Pertuan Agong. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.
Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicara dalam tiga fungsi Perlembagaan iaitu:

1. Melantik seorang Perdana Menteri.
2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.
3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu
Setelah memahami sejarah dan bidang kuasa MRRM serta YDPA, penulis ingin mengajak anda merenung kembali dua peristiwa mutakhir yang melibatkan pertembungan antara kewibawaan MRRM dan YDPA dengan para pemain politik pasca Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) setelah tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didominasi parti nasionalis Melayu terbesar iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Peristiwa pertama adalah ketika malam pasca tumbangnya BN kepada barisan pembangkang dari blok Pakatan Harapan (PH). Isu ini timbul apabila Pengerusi PH yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalami sedikit kesulitan untuk mengisytiharkan penubuhan kerajaan baharu PH kerana YDPA, Sultan Muhammad IV enggan menerima permohonan beliau untuk menghadap dan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ketujuh pada peringkat awal. Namun begitu, segala kekusutan ini berakhir setelah beliau berkenan menerima pemohonan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menghadap dan melangsungkan upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia pada pukul 9.55 malam di Istana Negara iaitu setelah hampir 24 jam PH mengisytiharkan kemenangan mereka. Peristiwa ini memperlihatkan keupayaan YDPA selaku Ketua Negara untuk mempetimbangkan kewajaran seseorang tokoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri sesuai dengan hak dan kuasa baginda yang temaktub pada Fasal 39 (1) Perlembagaan Persekutuan. 

Peristiwa kedua pula, melibatkan pertembungan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan baginda Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullai berkenaan isu perlantikan Menteri Besar Perlis. Krisis bermula apabila baginda Raja Perlis selaku Ketua Negeri enggan menerima dan memperkenankan calon Menteri Besar yang diusulkan oleh UMNO Perlis, Datuk Ismail Kassim sebagai Menteri Besar Perlis yang juga adik kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis kerana bimbang akan timbulnya konflik berkepentingan antara dua bersaudara. Dalam masa yang sama, baginda telah menerima dan memperkenankan pengangkatan mantan Menteri Besar Perlis penggal lalu iaitu Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan baginda. Di sini kita dapat melihat baginda Raja Perlis berupaya menggunakan hak budi bicara baginda seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis dan Perlembagaan Persekutuan untuk mengenepikan calon Menteri Besar yang diusulkan oleh parti yang menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri Perlis iaitu UMNO.

Natijahnya, walaupun YDPA, Sultan/Raja, dan MRRM tidak memiliki kuasa untuk mencampuri urusan pentadbiran Badan Eksekutif secara langsung kerana kuasa mereka selaku Ketua Negeri dan Ketua Negara telah dihadkan oleh Perlembagaan, tetapi mereka masih lagi berupaya menentukan hala tuju pentadbiran dan pengangkatan seseorang tokoh untuk mengetuai kerajaan. Di sinilah peranan mereka sebagai payung rakyat, khususnya bangsa Melayu dan agama Islam. Kedua-dua peristiwa yang dibincangkan di atas memperlihatkan mereka berhak menolak atau mengenepikan calon-calon ketua kerajaan seandainya didapati calon-calon tersebut tidak memiliki keupayaan untuk menjalankan tugas seperti yang diharapkan oleh baginda. Jadi benarlah kata pepatah moden hari ini, Raja-Raja Melayu merupakan banteng terakhir orang Melayu walaupun parti yang mentadbir kerajaan bertukar ganti.

-MOHAMAD HAFEZ MOHAMAD RIPIN.