KONTRAK SOSIAL 1948: BAGAIMANA KAUM IMIGRAN MENYINGKIRKANNYA

By


Kontrak sosial secara asasnya dibentuk pada zaman pra-kemerdekaan sebagai suatu kaedah timbal balas terhadap pengorbanan kaum Melayu yang sanggup berkongsi tanah air ini bersama kaum imigran Cina dan India. Namun begitu, setelah zaman beganti zaman kontrak sosial ini kelihatannya menjadi api dalam sekam yang tersimpan kukuh dalam sanubari tiga kaum utama di negara ini.
Sejarah kontrak sosial bermula apabila termenterainya satu persetujuan antara UMNO yang mewakili kaum Melayu sebagai pribumi asal dengan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (CLC) yang dianggotai oleh wakil-wakil kaum imigran dari etnik Cina, India, dan Ceylon pada tahun 1948 berkenaan penerimaan kelonggaran syarat kerakyatan kaum imigran yang ingin menjadi rakyat Tanah Melayu melalui prinsip jus soli. Sebagai balasannya, hak keistimewaan kaum Melayu akan diakui dan diiktiraf oleh kaum imigran serta dipahat kukuh dalam Perlembagaan yang bakal dibentuk.

 Ia merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 (Perlembagaan Persekutuan) yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum Bumiputera.

Antara keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu (termasuk Orang Asli pelbagai suku yang dikolektifkan sebagai bumiputra) ialah perlindungan tanah-tanah rizab sebagai Tanah Simpanan Melayu yang tidak boleh ditukar milik secara bebas, dan pemberian kuota khusus buat Bumiputera dalam aspek penjawatan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, lesen perniagaan, dan dasar memonopoli industri tertentu daripada disaingi oleh kaum imigran dengan keizinan pihak kerajaan.

Walaupun di atas kertas, kontrak sosial ini kelihatannya seolah-olah adil dan dapat diterima oleh semua kaum, tetapi konsep kontrak sosial ini telah dipandang melalui sisi sebaliknya oleh kaum-kaum imigran. Mereka khususnya generasi selepas merdeka melihat hubungan antara kaum melalui konsep kontrak sosial seumpama hubungan antara kaum kelas pertama (Melayu) dengan kaum kelas kedua (imigran). Mereka memandang kaum Melayu cuba menegakkan prinsip Ketuanan Melayu dengan mempergunakan konsep kontrak sosial, sedangkan pada anggapan mereka sebagai rakyat negara ini yang sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan, mereka juga berhak menikmati hak yang setaraf dan sama-rata.

Keadaan sosipolitik dan sejarah perhubungan antara kaum Melayu dan imigran di negara ini juga turut membawa kepada persepsi negatif ke atas konsep kontrak sosial yang telah dipersetujui secara besama sebelum ini. Peristiwa penyertaan dan penyingkiran Singapura di dalam Persekutuan Malaysia, peristiwa Hartal Pulau Pinang 1967, dan Tragedi 13 Mei 1969 merupakan antara tindakbalas secara langsung kaum imigran terhadap kedudukan istimewa kaum Melayu sebagai pribumi.

Setelah negara memasuki alaf ke-21, konsep kontrak sosial yang masih kekal tanpa sebarang pindaan dilihat masih lagi menjadi punca ketidakpuasan hati kaum imigran khususnya kaum Cina terhadap pegangan politik kaum Melayu terhadap negara ini. Konsep Malaysian Malaysia dan We are Malaysian terus bermain dan meniti di bibir-bibir pemain politik masyarakat Cina. Setelah kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memberi 30%  pegangan ekuiti Bumiputera terhadap ekonomi negara dan keberhasilan kaum Cina untuk kekal menguasai bidang ekonomi, kini mereka telah berpadu tenaga untuk mengikis sedikit demi sedikit kuasa politik yang masih berada di bawah kawalan kaum Melayu melalui tuntutan hak sama rata tanpa mengira bangsa dan etnik. Kaum Cina dilihat begitu bijak dalam menyusun gerakan politiknya setelah berjaya menggagalkan DEB. Model Ekonomi Baru (MEB) ciptaan bekas Perdana Menteri Malaysia Keempat, Datuk Seri Najib Razak juga dilihat agak sendu dan gagal untuk mencapai matlamatnya demi kepentingan ekonomi kaum-kaum Bumiputera secara holistik.

Kini kaum Cina yang merangkumi populasi 28% daripada jumlah rakyat negara ini dilihat berjaya menempatkan diri mereka sebagai penentu hala tuju politik tempatan. Setelah kuasa politik Melayu berpecah kepada empat parti politik perdana iaitu UMNO, PAS, PKR, dan PPBM (Bersatu), majoriti kaum Cina dilihat kekal memilih DAP sebagai pembawa suara kiasu mereka bagi menggantikan MCA yang dilihat tidak lagi relevan untuk membantu mereka memanipulasi konsep kontrak sosial agar berpihak kepada kaum Cina.

Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan isu yang melibatkan kepentingan politik dan ekonomi kaum Cina, tiga parti utama yang didominasi masyarakat Cina iaitu MCA, GERAKAN, dan DAP memiliki pendapat yang sama dan mampu menyuarakannya dengan begitu jitu sehinggakan sedikit sebanyak hak istimewa kaum Melayu yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan berjaya dikikis dan dimanfaatkan sedikit demi sedikit oleh mereka. Sebaliknya, empat parti utama kaum Melayu yang telah disebutkan masih lagi saling bercakaran tanpa sebarang persefahaman walaupun timbulnya berberapa isu yang melibatkan kepentingan kaum sehingga memudahkan kaum imigran khususnya kaum Cina mengambil kesempatan. Tiga parti politik utama kaum Cina tersebut juga bijak memainkan peranan masing-masing iaitu MCA dan GERAKAN bersifat lebih lunak dan halus dalam menyuarakan tuntutan kaum Cina agar mendapat simpati golongan tua dan moderat, manakala DAP pula lebih bersifat lantang dan agak agresif supaya golongan muda dan ultra-kiasu kekal memilih parti tersebut sebagai wadah politiknya.
Kini kaum imigran khususnya kaum Cina telah mula mengorak langkah yang lebih berani melalui tuntutan demi tuntutan dalam bidang pendidikan yang diterajui oleh Persatuan Sekolah Cina atau dikenali sebagai Dong Zhong. Persatuan tersebut kini giat melakukan desakan demi desakan terhadap pihak kerajaan agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikeluarkan oleh sekolah-sekolah swasta aliran Cina diberi pengiktirafan setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dong Zhong yang mewakili suara kaum Cina dalam bidang pendidikan juga mahu Akta Pendidikan 1996  dikaji dan dipinda semula agar Bahasa Melayu yang menjadi subjek wajib lulus bagi diterima masuk ke universiti awam tempatan dimansuhkan. Hak istimewa kaum Melayu dalam aspek pendidikan juga dicabar apabila Dong Zhong mencadangkan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka untuk pelajar dari semua kaum sesuai dengan konsep Malaysian Malaysia.
Ternyata ketika kaum Melayu sedang sibuk bertelagah sesama sendiri bagi membuktikan siapa yang lebih nasionalis, siapa yang lebih Islamik, dan siapa yang lebih berhak mewakili suara kaum Melayu, kaum imigran khususnya kaum Cina telah menguasai hampir segala aspek politik, ekonomi, dan sosial negara. Benarlah ungkapan peribahasa nenek moyang kita dahulu, Melayu ini umpama Pak Kaduk, sekadar menang sorak, namun akhirnya kampung sendiri akhirnya yang tergadai. Di mata kaum imigran, kontrak sosial dan hak istimewa kaum Melayu yang dipersetujui nenek moyang mereka pada tahun 1948 dahulu adalah penghalang utama mereka untuk membentuk negara ini sesuai dengan cita rasa dan kepentingan mereka seperti mana mereka telah membentuk aspek politik, ekonomi, dan sosial Singapura. Kini mereka semakin berjaya untuk membebaskan diri mereka daripada belenggu kontrak sosial di hadapan mata kita sendiri.
-MOHAMAD HAFEZ MOHAMAD RIPIN