Contohilah Sultan Ibrahim Johor

By



oleh Mohd H Roslan

Beberapa hari kebelakangan ini telah tercetus beberapa polemik berkaitan dengan instituis beraja di malaysia dimana kemuncaknya apabila pihak kerajaan hari ini mula menggunakan hak kebebasan bersuara sebagai satu modal untuk menyelongkar dan mendedahkan kedudukan Raja-raja Melayu. Hal ini telah mencetuskan pelbagai persepsi kepada seluruh kaum di Malaysia apataha lagi apabila bukan Melayu mula mempertikai institusi Kesultanan yang dianggap sebagai melemahkan kewangan negara. Terdapat juga dari mereka yang berterus terang ingin menghapuskan para Sultan Melayu tanpa berfikir bahawa pada kedudukan mereka itu rakyat Melayu tanpa mengira fahaman politik bersatu padu mempertahankan institusi ini.

Kesalahan ini bukan terletak kepada kerajaan sekarang malah ia telah berlaku sejak 60 tahun dulu lagi apabila kerajaan terdahulu yang mewarisi tradisi oligarki British. Semenjak itulah tiada siapa pun yang mempersoalkan kedudukan dan bagaimana pengaturan hidup para Sultan Melayu dan kerabatnya. Hal ini sangat menarik kerana kejayaan kerajaan terdahulu menyatukan semua kaum di Malaysia dengan dasar menghormati institusi beraja tanpa banyak soal.

Oleh itu institusi beraja ini dilihat sebagai eksklusif walaupun dalam kelompok masyarakat Melayu yang indusif apabila dikaitkan dengan hal royalist ini dan rata-rata dari kita selama itu bersikap konservatif yang tidak mahu warisan dan institusi beraja ini dihapuskan.


Namun hari ini melihat kepada situasi semasa maka wajarlah pendekatan berbeza perlu dibuat oleh Majlis Raja-raja sendiri. Raja perlu tampil kehadapan dan sekali sekala turun bersama rakyat sepertimana yang dibuat oleh Sultan Johor yang sering berada dimana-mana bersama rakyat, Hal ini bukan saja melihatkan kepimpinan baginda namun lebih menjadikan rakyat Johor lebih sayang kepada Kesultanan mereka walaupun yang berada ditampuk kuasa ini adalah dari keluarga Temenggung. 

Dalam melihat situasi hal politik istana, saya merasakan Royalist Johor adalah bijak menggunakan situasi dalam memperlihatkan penguasaan mereka terhadap negeri Johor sebagai contohnya dengan menggunakan istilah “Bangsa Johor”, “Johor untuk Johor”. Perkataan yang sedemikian adalah satu trademark atau branding saja dan dengan itu tampillah Sultan dan kerabatnya kehadapan dengan membuat sedikit ucapan dan kata-kata yang meniupkan semangat kepada rakyatnya. Oleh itu walaupun sudah berlaku peralihan kuasa hari ini, semua pihak masih tetap berpegang kepada prinsip rakyat adalah subjek Raja. Raja tidak boleh dicampurkan dalam hal politik marhaen dan borjuis.

Begitu juga dengan Sultan-sultan Perak yang pada amatan saya adalah menjadi satu tradisi semenjak zaman Sultan Idris I lagi mengkritik dasar-dasar yang dianggap merugikan orang Melayu, Sultan Peraklah orang pertama yang mencadangkan penubuhan Rejimen Askar Melayu, membeli HMS Malaya, menyokong usaha rakyat membatalkan Malayan Union, mengkaji semula undang-undang negara sedia ada dan secara terbuka bercakap tentang masalah perkauman yang melanda hari ini. Oleh itu 2 pendekatan ini adalah satu cara yang sebenarnya mengangkat institusi diraja secara tidak lansung.

Dalam hal penulisan sejarah negara pula, semenjak masuknya jarum sekularisasi dan pengasuhan minda bahawa Raja itu hanya berkuasa dalam hal agama Islam dan istiadat. Namun sehingga hari ini dimanakah sebenarnya kuasa mereka?, adakah kuasa Jabatan Agama Islam di setiap negeri benar-benar berlansung? Adakah Adat istiadat di kawal dengan baik? Setelah 144 tahun (Perjanjian Pangkor 1874) dimanakah kedudukan 2 kuasa ini dibawah kuasa seorang Sultan?. Sepertinya tiada dan masing-masing terikat dengan Perlembagaan Negara.

Selain itu juga penulisan sejarah berkaitan negara tidak mahu tidak akan melibatkan mereka (Sultan) dan amat jarang sekali pengkajian dan penulisan itu datang dari kaca mata mereka sendiri sebagai penguasa. Setakat kefahaman saya hanya Syair Duka Nestapa tulisan Sultan Kedah merupakan satu-satunya bahan yang ditulis oleh Sultan sendiri manakala Misa Melayu dan bahan manuskrip lainnya adalah hasil tulisan yang ditulis oleh kaum kerabat atau pekerja istana. Misa Melayu ditulis Raja Chulan. Oleh itu selama ini kita tidak lansung dapat melihat dan membaa daripada pandangan Sultan sendiri tentang apa yang mereka alami, rasakan dan pemikiran mereka terhadap negeri yang diketuai oleh mereka.

Akhir sekali, dalam keterbukaan masyarakat hari ini kita juga harus memberi peluang kepada para Sultan untuk tampil ditemubual memberi pandangan mereka dan bercerita kepada kita apakah kemahuan mereka kepada negara ini, sebagai contohnya Sultan Mizan yang sering ditemuramah dalam hal sukan dan hidupan liar. Bukankah itu satu peluang yang boleh kita dengar dan lihat isi hati mereka sebagai manusia?. Setiap kumpulan manusia memerlukan seorang pemimpin. Oleh itu Sultan adalah pemimpin paling tinggi namun tidak diberi peluang sewajarnya dalam komuniti pimpinannya.

Maka benarlah kata pujangga “Bersultan di mata beraja di hati”

Mereka hanya di mata kita dari jauh dan beraja di hati kita kerana kita mengharapkan mereka. Marilah kita renung sejenak dan fikir secara dalam, apakah yang kita mahu kepada mereka dan apa yang mereka harapkan kepada kita. Mahu atau tidak kita saling memerlukan. Tapi yang nyata bagai kita sebagai orang Melayu, Sultan itulah definisi, makna dan ketrampilan Melayu.

Daulat Tuanku!
Hamba mohon menyembah!