Sejarah Tok Temong & Geliga Embun

By // 1 comment:


Kitab Sejarah Malaya
Geliga Embun
Keberangkatan tiba Raja Mudzaffar itu telah disambut oleh orang-orang Perak di Beting Beras Basah iaitu di Kuala Sungai Perak. Menurut cerita lisan,[1] waktu bakal Sultan ini mudik Sungai Perak, kapal baginda tersangkut di Beting Beras Basah. Kemudian Raja Mudzaffar telah berseru.”[2]

“Selilit Tanah Minangkabau
Selengkung Pulau Perca
Dilingkungi ular sakti muna
Sebenarnya aku menjadi Raja
Jauhkan aku segera mala petaka
Perpisahan aku di Selat Melaka”

            Selepas seruan itu barulah kapal kenaikan Raja Mudzaffar dapat bergerak terus mudik ke hulu sehingga sebuah tempat bernama Tanah Abang yang bermakna ‘Tanah Merah’[3] iaitu Teluk Bakong hari ini. Di sinilah lebih kurang dalam tahun 1528, Raja Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama dan bergelar Sultan Mudzaffar Shah. Pada masa pertabalan Sultan Mudzaffar Shah itu Tun Saban dan Tuk Temong datang mengadap membawa persembahan 77 ekor gajah sebagai hadiah dari rakyat di Hulu Perak dan Temong. Tuk Temong juga telah menghadiahkan tangkal azimat bernama Geliga Embun yang sehingga kini menjadi alat kebesaran kerajaan Perak.
Menurut Sejarah Melayu, Sultan Mudzaffar Shah dijemput Seri Agar Raja Tun Mahmud anak Paduka Tuan Tun Isap Berakah dating ke Perak dan dilantik sebagai Bendahara Kerajaan Perak yang pertama.[4]

            Jawatan Bendahara menjadi kosong bila Tun Mahmud dititahkan balik ke Johor. Sultan Mudzaffar Shah dikatakan telah melantik Megat Terawis[5] sebagai Bendahara Perak yang baru. Perlantikan ini menimbulkan rasa tidak puas hati Tun Saban[6].

            Tun Saban kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah yang bebas di Hulu Perak manakala adiknya Tun Perobu yang dikenali sebagai Tuk Temong dilantik menjaga Temong dekat Kuala Kangsar. Setelah Tun Saban dapat dialahkan oleh Megat Terawis, Sultan Mudzaffar Shah melantik Megat Terawis menjadi Bendahara Paduka Raja. Sejak itu jawatan Bendahara diwarisi oleh keturunan Megat Terawis sehingga tahun 1740-an. Bagaimanapun sebagai mengenang jasa Tun Saban, keturunan beliau dilantik menjadi orang Besar Perak dengan gelaran Orang Kaya-kaya Seri Adika Raja sehingga hari ini[7].

            Sultan Mudzaffar Shah I memerintah Perak selama lebih kurang dua puluh satu tahun dan mangkat dalam tahun 1549. Jenazah baginda dimakamkan di Tanah Abang dan disebut Marhum Tanah Abang.

            Sultan Perak yang kedua (1549 – 1577) ialah Raja Mansor, iaitu putera Sultan Mudzaffar Shah dengan isterinya Tun Terang (anak Tun Fatimah, bonda turut Marhum Tanah Abang). Marhum Tanah Abang mempunyai enam orang putera dan puteri, iaitu Raja Mansor, Raja Dewi, Raja Ahmad, Raja Abdul Jalil, Raja Fatimah dan Raja Tengah. Raja Mansor apabila menaiki takhta Kerajaan Perak, memakai gelaran Sultan Mansor Shah[8]. Baginda bersemayam di Kota Lama Kanan dekat Kuala Kangsar. Di masa pemerintahannya, Sultan Mansor Shah dan Bendahara Megat Terawis telah berangkat ke Hulu Perak dan menetapkan sempadan negeri dengan negeri Reman di satu tempat bernama Tapong. Sultan telah meletakkan seorang wakil baginda bagi memungut cukai lombong, khususnya di kawasan Kelian Intan.

            Semasa pemerintahan baginda, Siam telah menyerang negeri Perak. Tentera Siam telah mendapat di Pangkalan Lumut. Dalam pertempuran di Setiawan, Raja Ali menantu Sultan telah terbunuh. Akhirnya dalam persetujuan perdamaian dan sebagai tanda persahabatan Kerajaan Perak juga bersetuju menghantar Bunga Mas setiap tahun kepada Kerajaan Siam. Kerajaan Perak juga bersetuju membenarkan orang Siam membeli timah  di Perak.

Di antara pembesar itu ialah Tun Saban[1] yang memerintah kawasan Hulu Perak. Tun Saban menghantar adiknya yang bernama Tun Perabu memerintah kawasan Temong dekat Kuala Kangsar. Terdapat juga riwayat yang menyebutkan Tok Temong mempersembahkan satu geliga embun kepada Sultan Mudzaffar Shah I dalam istiadat pertabalan di Tanah Abang. Geliga embun kemudiannya menjadi salah satu daripada alat kebesaran Kerajaan Perak.[2]

Geliga atau Mestika Embun,  menurut ceritanya geliga atau tangkal azimat ini adalah hadiah Tun Perak atau Tuk Tuan Puteh kepada Sultan Muzffar Shah semasa ditabal sebagai Sultan Perak di Tanah Abang dalam tahun 1528. Tuk Perak yang lebih dikenali dengan nama Tuk Temong telah datang dari Hulu Perak bersama tujuh puluh ekor gajah untuk menyampaikan persembahannya itu. Di istiadat pertabalanitulah Tuk Temong memohon Sultan Muzaffar dan keturunannya memerintah kawasan Temong hingga ke Hulu Sungai Perak. Malah Sultan Muzaffar Shah juga memperkenankan permohonan Tuk Temong supaya Sultan Muzaffar Shah dan keturunan yang mewarisi takhta kerajaan Perak menghadkan ‘kawasannya di tebing sebelah kiri (hanyut) sungai-sungai Perak sahaja.[1]

~ Dipetik dan diolah dari Cempakasari : Sejarah Kesultanan Perak, Geroda Merah, 2016.

[1]    Tun Saban dikatakan berasal daripada Melaka dan bersama Sultan Mahmud Melaka berhijrah ke Kampar (Sumatera). Kemudian Tun Saban berpindah ke Petani dan terus ke Hulu Perak menetap di Relab Reli. Lihat Raja Razmanet. Al., Hulu Perak Dalam Sejarah, (Ipoh, 1973) dan A. Halim Nasir, Sejarah Perak. (Kuala Lumpur: Muzium Negara, 1977), hlm. 90.
[2]    Halim Nasir, Ibid, hlm. 92.




[1]    Ulangtahun ke-40 Perkahwinan Diraja dan Jubli Emas Istana Iskandariah (1984), hlm. 34. Bagaimanapun Sultan Idris I (1889 – 1916) telah memulakan tradisi baru dengan membina di tebing kanan Sungai Perak. Dalam tahun 1895 telah dibina istana di Bukit Chandan yang dinamakan Istana Negara. Dalam tahun 1930 Istana Negara dirobohkan untuk pembinaan Istana Iskandariah yang ada pada hari ini.
 




[1]    Diperolehi oleh almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris al-Mutawakkil Allallahi Shah, sila lihat N.A. Halim, Tempat-tempat Bersejarah Perak, (Kuala Lumpur: Jabatan Muzium, 1981) hlm. 67.
[2]    Ibid., Menurut tulisan dalam Hulu Perak dalam Sejarah (hlm. 4) titah seruan itu berbunyi:
“Sa-lengkong Tanah Minangkabau
Sa-lilit Pulau Perca
Di-lengkong ular Si-kotimuna
Terpisah Selat Melaka
Jika sah Beta Raja Berdaulat
Lepaslah sekalian Malapetaka.”           
[3]    Sila lihat buku Hulu Perak Dalam Sejarah (hlm. 4 – 5) mencatatkan kisah asal usul nama Tanah Abang itu berasaskan cerita sengketa dua beradik.
[4]    Shellebear, Sejarah Melayu (Singapura: Malaya Publishing House) Tun Mahmud kemudiannya dipanggil balik ke Johor oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II. Lihat pengkisahannya dalam Winstedt, A History of Perak, hlm. 7 – 9.
[5]    Megat Terawis adalah di antara pengiring Sultan Mudzaffar sejak dari Kampar lagi.
[6]    Pengkisahan Tun Saban.
[7]    Lihat salsilahnya dalam A. Halim Nasir, Sejarah Perak, hlm. 111 – 113 dan pengkisahannya dalam Hulu Perak Dalam Sejarah.
[8]    Winstedt, History of Perak, hlm. 125.

PERANG KELANG : PERTEMPURAN KETURUNAN OPU BERSAUDARA. Bahagian I.

By // No comments:

Kitab Sejarah Malaya
Perang Klang
Selepas tiga tahun Sultan Muhammad (Sultan Selangor ke 3) melantik Raja Jumaat sebagai Orang Besar Lukut, baginda melantik pula putera sulungnya Raja Sulaiman sebagai Orang Besar Klang pada tahun 1839. Raja Sulaiman mempunyai beberapa orang putera dan putera sulungnya bernama Raja Mahadi. Raja Sulaiman mentadbir Klang selama 14 tahun dan mangkat pada tahun 1853.

Sepatutnya jika mengikut adapt kebiasaan orang Melayu, pewarislah yang akan naik menggantikan untuk menjadi pemerintah yang baharu yakni Raja Mahadi yang akan dilantik namun perkara itu tidak berlaku seperti kebiasaannya. Ini kerana Raja Jumaat telah berjaya mempengaruhi Sultan Muhammad untuk melantik adindanya yang bernama Raja Abdullah untuk dijadikan pemerintah yang baru di Klang. 


Tambahan pula Sultan Muhammad memang banyak terhutang budi kepada Raja Jumaat yang membantunya melangsaikan hutang-hutangnya dahulu. Di fikiran Sultan Muhammad inilah masanya untuk membalas jasa budi Raja Jumaat itu maka Raja Abdullah pun dilantik sebagai Orang Besar Klang yang baru dan hak Raja Mahadi ke atas Klang sekaligus dinafikan.

Lantikan tersebut telah membuatkan Raja Mahadi tidak berpuas hati dan dirinya amat kecewa dan tersinggung serta menyimpan perasaan api amarah dalam dirinya. Walau bagaimana pun, Raja Mahadi taat dengan perintah keputusan nendanya, Sultan Muhammad itu dan tidak mampu berbuat apa-apa kerana beliau tidak punyai pengaruh yang besar yakni belum ada kekuatan, wang dan pengikut. Lantaran dari itu, Raja Mahadi menjadi rakyat biasa dari seorang anak orang besar yang hidup lumayan dan terpaksa mencari sesuap nasi dengan menjalankan perniagaan.


Ketika Raja Abdullah mentadbir Klang ramai orang-orang cina dan orang Melayu Sumatera (Batu Bara) dating ke Klang untuk membuka kawasan perlombongan bijih timah. Banyak kawasan perlombongan bijih timah dibuka oleh Raja Abdullah di sekitar Lembah Klang sekaligus telah membuka Kuala Lumpur dan melantik Yasih yang dibawa dari Riau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur. Ditakdirkan Allah, Sultan Muhammad telah mangkat pada tahun 1857 dan dua tahun kemudian barulah ada perlantikan Sultan Selangor yang baru iaitu Sultan Abdul Samad.

Pada tahun 1866, telah nampak cirri-ciri penyebab tercetusnya peperangan antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah. Pada satu ketika, Raja Abdullah telah memperkenalkan undang-undang yang baru di Klang dimana semua orang termasuk kerabat Raja Selangor wajib membayar cukai barang perniagaan di Klang. Undang-undang terdahulu menyatakan kerabat raja terkecuali dari membayar cukai tersebut. Ketika undang-undang ini diperkenalkan, kebetulan Raja Mahadi baru pulang dari rantauan untuk mengambil barang untuk diniagakan di Klang.


 Tiba saja di pejabat kastam Raja Abdullah, barangnya telah dirampas kerana beliau enggan membayar cukai kerana beliau masih berpegang dengan undang-undang warisan terdahulu. Perubahan undang-undang ini dianggap oleh Raja Mahadi sebagai tindakan yang melampaui batas.

Dikatakan juga orang-orang Raja Abdullah sering membuat kacau kepada orang-orang Batu Bara yang bermastautin di Klang itu. Antaranya mereka sering menganiaya orang-orang Batu Bara tersebut dengan merampas padi ternakan sesuka hati mereka, ada juga anak-anak gadis orang Batu Bara diculik serta sering mengasari orang-orang Batu Bara di sekitar Klang hanya kerana perkara yang kecil sahaja. Ini telah membuatkan orang-orang Batu Bara yang diketuai oleh penghulu mereka yang bernama Muhammad Akib telah melancarkan serangan ke atas orang-orang Raja Abdullah yang diam di dalam kubu Datuk Bandar Yasih. Dalam pergaduhan itu, seorang dari kalangan orang Batu Bara telah mati ditikam. Sejurus insiden pembunuhan itu, Muhammad Akib telah pergi menemui Raja Abdullah untuk mengadukan hal tersebut dan menuntut keadilan ke atas kematian orangnya namun sikap Raja Abdullah yang tidak ambil peduli akan hal itu telah membuatkan Muhammad Akib serta orang-orang Batu Bara menyimpan dendam kepada Raja Abdullah.

Muhammad Akib pergi pula menemui Raja Mahadi untuk mengadukan sikap Raja Abdullah itu dan beliau menyatakan ingin membalas dendam kepada Raja Abdullah. Kedatangan Muhammad Akib ini memang kena benar dengan masanya kerana sperti yang tersedia maklum Raja Mahadi juga memang menyimpan dendam yang teramat sangat pada Raja Abdullah itu. Hasrat Raja Mahadi untuk mengambil Klang sebagai haknya semakin tercapai tambah-tambah lagi apabila Muhammad Akib serta orang-orang Batu Bara sanggup bertuankan Raja Mahadi dalam peperangan kelak selain menawarkan diri mereka sebagai askar-askarnya.

Sebagai persiapan untuk berperang, Raja Mahadi telah meminjam wang dari saudagar cina di Melaka untuk membeli beberapa senjata dan kelengkapan untuk berperang. Selain itu, Raja Mahadi telah membawa masuk meriam-meriam Belanda yang berada di Kolta Melawati ke Klang sebagai alat senjata utama untuk diletakkan di benteng hadapan kotanya.


Selain mendapat bantuan dari orang-orang Batu Bara, Raja Mahadi juga menggunakan khidmat orang-orang Mandailing sebagai askar-askarnya juga. Menariknya disini, walaupun Raja Mahadi itu berbangsa Bugis tetapi tiada seorang Bugis pun yang digunakan sebagai juak-juaknya malah Bugis banyak menyebelahi Raja Abdullah. Langkah yang pertama dibuat oleh Raja Mahadi ialah melancarkan serangan ke atas Raja Abdullah serta orang-orangnya yang pada ketika itu berkubu di sebuah gudang milik Raja Abdullah. Asakan serangan yang hebat ini telah membuatkan Raja Abdullah serta pihaknya terpaksa membuat gencatan senjata dan beliau sendiri telah diusir keluar dari Klang oleh Raja Mahadi. Susulan itu Raja Abdullah serta keluarganya terpaksa meninggalkan Klang dan menetap di Melaka.

Namun begitu, Raja Mahadi belum dapat berkuasa penuh di Klang kerana Raja Abdullah masih belum tewas sepenuhnya walaupun beliau telah diusir kerana beliau telah mengarahkan anak-anaknya yang bernama Raja Ismail dan Raja Hassan untuk mengambil alih tempatnya bagi meneruskan perjuangan untuk mempertahankan Klang. Dengan itu serangan dari orang-orang Bugis yang diketuai Raja Ismail telah bergerak menuju ke kota Raja Mahadi untuk melancarkan serangan. Dalam serangan ini Raja Hassan cedera di betis kerana ditembak oleh pihak Raja Mahadi dan beliau telah berundur ke Melaka dan menetap bersama ayahandanya manakala Muhammad Akib pula telah mati ditembak oleh orang Bugis dan tempatnya sebagai ketua kepada orang-orang Batu bara telah digantikan oleh adiknya yang kemudian digelar Datuk Dagang.

Raja Mahadi telah mengambil tindakan untuk menyekat barang-barang keperluan seperti makanan dari luar yang dibawa masuk ke Klang bagi tujuan untuk melemahkan pihak Raja Ismail. Sekatan ini berlaku selama lima bulan dan ini menyebabkan pihak Bugis yang diketuai Raja Ismail itu semakin lemah. Akhirnya Raja Ismail mengaku kalah kepada Raja Mahadi setelah berbulan-bulan berperang. Dengan ini secara tak langsung Raja Mahadi berjaya mencapai hasratnya untuk mengambil Klang dan mula pada saat itu beliau telah menjadi Orang Besar Klang yang baru.

Bersambung...

Gambar : Pintu gerbang Kota Raja Mahadi (kini tapak kota telah dijadikan tapak bagi bangunan pejabat Majlis Perbandaran Klang)

Sumber :-

- Sejarah Selangor (Buyong Adil)
- Perang Saudara Di Selangor 1868-1873
(A. Talib Bin Hj Ahmad)
- A History Of Selangor (J.M. Gullick)
- Selangor, Sejarah dan Proses Pembangunannya (Adnan Hj Nawang dan Mohd Fadzil Othman)
- Malayan Forts (Jabatan Musium Negara)
- Sejarah Kedah Sepintas Lalu
(Haji Ibrahim Ismail)
- Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah (Muhammad Hassan Bin To' Kerani Mohd Arshad)