A Famosa Di Bom

By


Kitab Sejarah Malaya
Lakaran A Famosa pada 1604

Hari ini 10 Ogos merupakan tarikh Kota A Famosa binaan Portugis dimusnahkan oleh Raffles iaitu pada tahun 1807. Pemusnahan kota ini sebenarnya tidak mendapat kelulusan dari pada Pejabat Tanah Jajahan British di India. Tidak dapat dipastikan mengapa pemusnahan ini dilakukan oleh Raffles, terdapat pendapat mengatakan bahawa tujuannya adalah untuk membesarkan kawasan Bandar Hilir bagi tujuan pembangunan koloni Belanda kerana British memperolehi Melaka secara rasminya pada tahun 1824.  Terdapat juga pendapat lain mengatakan bahawa pemusnahan ini bagi melemahkan pertahanan Melaka yang selama ini dikuasai Belanda. Hampir kesemua kawasan itu termasuk kesemua kubu, tembok-tembok, hospital besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletupkan dan diratakan namun hanya pintu gerbang saja yang tidak sempat dimusnahkan oleh kerana pihak pentadbiran British sudah dapat menghidu perbuatan Raffles itu. 

Kota ini mempunyai sejarah yang begitu panjang kerana ia teletak betul-betul di laluan utama Selat Melaka malah admin percaya binaan menara-menara masjid sekitar Melaka merupakan sambungan kota ini sebagai contohnya menara Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Hulu. 

Kitab Sejarah Malaya
Kedudukan Binaan Di dalam Kota Melaka
Walaupun begitu menurut catatan Portugis kota asal Melaka diperbuat daripada kayu yang kuat dan sukar untuk ditembusi. Oleh kerana itulah serangan dilakukan sebanyak 2 kali. Selepas kejayaan menakluk Melaka, orang-orang Portugis dengan pantas membangunkan kota ini dengan mengambil apa saja batu yang berada di seluruh Melaka termasuklah batu nisan makam pahlawan Melaka. Perlu ditegaskan bahawa menurut catatan Portugis bahwa Pulau Upeh pada satu masa itu merupakan sebuah kuari batu selain daripada Sumatera. Kedudukan dan struktur bangunan kota ini kekal walaupun ia telah bertukar tangan pada tahun 1641 kepada Belanda.

Serangan Melaka dan dokumentasi yang dibuat oleh Portugis keatas kota ini termasuklah penjajah lain membuktikan bahawa kota Melaka sememangnya wujud dan bukan sebuah rekaan sejarah seperti kepercayaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kota Melaka tidak wujud kerana sehingga kini tidak ditemui bukti arkeologi berkenaan kota asal Melaka. Ini kerana hampir kesemua bangunan Melaka pada waktu itu diperbuat daripada kayu termasuklah rumah, gudang dan stor. Disamping itu semasa serangan ini dilakukan dan selepas kejayaan menakluk Melaka tentera Portugis telah membakar sebahagian besar binaan ini bagi mengelak ia menjadi tempat perlindungan serangan hendap tentera Melaka.

Apakah kepentingan sejarah Melaka kepada seluruh orang Melayu? Sila ikuti pautan ini.

Sumber
Portuguese  Document In Malacca, Arkib Negara Malaysia
JMBRAS Vol 8
Sejarah Kesultanan Melaka, Yusuf Hashim