Manuskrip Arab di Tanah Melayu

By
Kitab Sejarah Malaya
Manuskrip Arab

Perihal yang hendak saya utarakan ini sudah lama saya pendamkan dan saya yakin tulisan ini akan habis disini saja tapi tak mengapa asalkan ia terluahkan dan mana tahu ada mereka2 yang terbaca tulisan ini akan membuat usaha yang sewajarnya.

Setelah beberapa tahun membangau dalam dunia fb sejarag acap kali saya terdengar dari kawan2 yang mengatakan tentang perihal kitab-kitab Arab yang menulis tentang sejarah Melayu dan sepengetahuan saya kitab-kitab ini ditulis oleh para salafus soleh Melayu pada masa dahulu atau kitab ini diperturunkan kepada nasab mereka ke sini (keturunan Sayyid,Syed,Syeikh).

Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran itu. Namun ikut kepada pengalaman saya yang sudah-sudah ada seorang kenalan saya yang khabarnya dia menyimpan kitab keluarga al hadad yang umumnya lebih kepada nasab mereka dan diselitkan dengan sejarah2 ketibaan mereka ke sini. Begitu juga dengan seorang staff Majlis Agama Islam Pahang (syed) yang mengatakan bahawa pada keluarganya tersimpan kitab-kitab sejarah Melayu menurut versi mereka (Arab-Melayu).

Begitu pula halnya dengan kisah naskah-naskah ini yang berada di pondok-pondok Patani dan Kedah yang sebahagiannya tersimpan dalam jagaan keluarga masing-masing. Mereka ini susah hendak berkongsi kerana pada mereka ia ada nilai sentimental. Jadinya ia hanya terperam di almari-almari usang tanpa diketahui apakah isinya itu sedap atau tidak. Sepengetahuan saya juga banyak manuskrip Melayu tersimpan di Pusat Manuskrip Negara yang khabarnya tidak mendapat perhatian dari pengkaji tempatan. Semasa lawatan kali pertama saya 2 tahun lepas saya hanya sempat menatap katalog manuskrip kitab-kitab agama saja dan hingga kini saya masih mencari ruang hendak melihat keseluruhan manuskrip yang tersimpan disana.
Untuk pengetahuan semua manuskrip2 yang dirumikan hari ini banyaknya datang dari usaha Windsted dan rakan2 nya, namun hingga kini tersimpan ribuan manuskrip diluar sana yang perlu dikaji dan dinilai kepentingannya.

Kenapa saya melontarkan hal ini, ia adalah kerana selain mengharapkan sumber2 yang dikaji barat harus juga kita melihat penulisan tempatan kerana dari situ barulah kita dapat menjelaskan kedudukan sebenar apa yang berlaku di Tanah Melayu. Sebagai contohnya manuskrip Undang-undang Kedah yang telah dirumikan oleh Maryam Salleh memperlihatkan sedikit sebanyak keadaan semasa negeri Kedah pada abad ke 17. UUK ini turut di ulas panjang lebar oleh Prof Abu Hassan Mohd Sham.

Selain itu juga seringkali sya menulis tentang buku terjemahan Ajaibul Hind dan Rehlah Sirafi iaitu sebuah kitab arab yang menceritakan tentang Alam Melayu dari abad ke 6M-9M. Dua buku yang diusahakan oleh Naseer Sobree dan Arsyad Pendang dan dalam pencarian saya sendiri ada beberapa lagi kitab Arab yang perlu di terjemahkan ke Bahasa Melayu yang sekurang2 nya sebagai bukti sampingan kepada kajian-kajian pada masa depan. Jika ditanya saya, penulisan SQ Fatimi tentang kajian beliau berkenaan hubungan Umayyah-Sriwijaya sangatlah diperlukan selain dari kajian sedia ada seperti Coedes, Wolters, Nilankatasari dan ramai lagi dalam hal Sriwijaya yang turut mengaitkan Kedah.

Umumnya bangsa Melayu mempunyai hubungan yang sangat tua dengan bangsa Arab selain daripada india namun jarang pula perihal pandangan dan penulisan Arab ini dikongsi kepada kita malah keluarga2 besar keturunan Arab disini juga tidak begitu menunjukkan minat hendak memperkembangkan sejarah Melayu.
Buat masa ini saya tidaklah mengusahakan apa-apa yang berkaitan dengan manuskrip jawi/arab ini cuma saya sedang berusaha merumikan buku-buku jawi lama untuk penerbitan semula. Namun saya amat berharap soal pengkajian manuskrip Arab ini dapat diusahakan dengan lebih giat kerana setahu saya ada beberapa pusat pengajian yang menyediakan pelajaran subjek manuskrip secara asas namun yang lebih ditumpukan ialah kepada hal bingkai manuskrip atau bentuk tulisan serta jenis dakwat yang digunakan bagi menentukan umur sesebuah manuskrip sedangkan isinya yang harus ditelan!.

Bila ada bahan-bahan Arab tentang Melayu maka saya yakin pertembungan orientalis dan oksidentalis serta bidang pengajian sirah (tasawwur?) akan dipertemukan sepertimana saya dan beberapa teman cuba melihat pandangn Siam kepada negeri kedah dan kelantan yang sekian lama ini pengkajian sedia ada hanya mengharapkan sumber barat dan sedikit sumber tempatan.

Membuat rujuk silang dan menilai kandungan2 pandangan pelaku sejarah akan membuatkan penulisan sejarah berkembang apatah lagi ia mempunyai sumber pelbagai. Kerja yang sukar dan mengambil masa yang panjang atau sangat panjang.

Sekian.
Salam 7 bingkai.
MHR

Gambar dipetik dari https://fineartamerica.com/featured/an-arab-encampment-charles-theodore-frere.html