Kitab al-Tarikh Fatani - Sri Bijaya atau Langkasuka?

By

Kitab Sejarah Malaya
Tarikh Al Fatani


Sebelum dihuraikan tentang Tarikh Fatani ni haruslah saya menghuraikan asal usul penulis ini yang bernama Syeikh Faqih Ali al Fatani. Menurut Hj Wan Mohd Shagir (pentranlisasi kitab ini) terdapat beberapa pendapat tentang Faqih Ali iaitu
1. Beliau berasal dari Malabar,India
2. Anak raja Bugis
3. Pembesar Fatani
4. Faqih Ali adalah saudara kandung kepada Ibrahim Datu Kelantan VI
Persamaan yang dapat ditemukan dalam 4 versi ini ialah beliau adalah tokoh yang melahirkan ramai zuriat yang menjadi ulama dan raja di dalam negeri-negeri Melayu. Menurut versi Ringkasan Cetera Kelantan Faqih Ali adalah anak Raja Bugis yang lari daripada saudaranya hinggalah beliau sampai ke Kota Tinggi dan bertemu dengan Laksamana . Beliau di panggil Andi Ali. Kemudian laksamana mengahwinkan anaknya Wan Tija dengan Andi Ali. Kemudian Andi Ali bersama isteri berpindah ke Patani di Kampng Bira pada 1640M.
Oleh kerana sikap beliau maka orang Patani memanggilnya Faqih Ali. Faqih Ali berkahwin pula dengan Cik Dewi anak Seri Bija Diraja Patani. Menurut Wan Shagir beliau mendapat gelaran Malbari setelah belajar ilmu agama disana. Walaubagaimanapun versi Bugis dan Malbari ini masih kabur. Namun kedua – dua versi yang ditulis ini datangnya dari Kelantan.
Apa yang penting di dalam kedua versi ini ialah tarikh yang menyatakan bahawa Faqih Ali ini hidup sekitar 1620 – 1650an dan berkemungkinan juga kitab ini ditulis di dalam lingkungan tarikh ini yang kemudiannya di salin oleh Syeikh Wan Daud Abdullah bin Abdullah al Fatani pada tahun 1813. Kepentingan pada tarikh ini ialah sejauh mana kitab ini dapat merubah landskap sejarah semasa berkenaan tamadun kuno Melayu terutamanya apabila bersangkutan dengan Sriwijaya,Langkasuka & Khemer. Walaupun begitu menariknya dinyatakan pula tarikh kejadian semasa pada waktu itu.
Kitab ini menjelaskan bahawa Ibu negeri Langkasuka terletak di Kedah dan dipercayai Langkasuka wujud sebelum lahirnya Nabi Isa a.s iaitu pada 200M. Di dalam negeri ini terdapat Ligor dan Singgora namun Patani belumlah wujud waktu ini dan telah diamanahkan Raja Kedah supaya Raja kepada negeri Ligor& Singgora (boleh jadi Tambralingga tapi penyalin menyebut Patani kerana tidak dapat menamakan negeri yang menguasai Ligor dan Singgora) ini untuk berniaga dengan orang Cina,Khemer, Bugis dan Jawa yang datang kesana. Jarak diantara Kedah dan pelabuhan Patani pula ialah 1 bulan 25 hari dengan menaiki gajah. Raja Langkasuka ini pada awalnya berugama Hindu namun rakyatnya ada yang menganut agama Majusi dan ada pula agama Nabi Isa dan tidak lama kemudian datanglah orang menyeru agama Buddha dan dianut pula oleh Raja Langkasuka.
Maka oleh sebab itu banyaklah berhala besar di seluruh negeri Langkasuka. Disebutkan pula bahawa Raja Langkasuka ini bernama RAJA MAHABANGSA (Mahawangsa?) yang mempunyai banyak isteri dan anak-anak dan pada 750M Raja Mahabangsa diperintah oleh Raja Seri Bijaya (Sriwijaya) yang kotanya di Balimban (Palembang). Pada zaman inilah muncul riwayat Pak Tani/Tok Tani yang akhirnya membentuk negeri Patani dan dengan usaha Raja Seri Bijaya dibukalah kota Patani dan baginda tinggal disana bagi mengawal kawasan sebelah timur. Tidak lama kemudian Raja Seri Berjaya pula menyerang negeri Khemer dan negeri Menang Nama Jaya (Medang?)
Pada bab lain pula disebutkan tentang permusuhan antara Ligor dan Singgora yang disebabkan putera Ligor yang jatuh cinta kepada puteri Singgora. Hal ini dibawa kepada pengetahuan Raja Seri Bijaya yang tinggal di Patani. Disebabkan mahu mengelak negeri menjadi lemah dan di serang oleh Khemer maka dikahwinkan kedua putera puteri ini walaupun pada awalnya Raja Seri Bijaya hendak mengahwinkan puteri Singgora dengan RAJA MULKUL JAWA. Tapi tiada pula diceritakan kesudahannya.

Seterusnya setelah memerintah hampir 500 tahun maka berlakulah perang di negeri Mulkul Jawa dengan anak raja-raja Seri Wijaya. Peperangan itu tersangat lama sehingga kedua-dua Raja mengambil keputusan untuk berbaik-baik semula. Selepas perang itu tamat maka Sulandra (Sailendra) pula menjadikan Patani sebagai kota di sebelah timur. Semasa ini bahasa Sanskrit digunakan namun bahasa percakapan pula adalah bahasa Melayu yang berasal dari kerajaan Seri Wijaya dan selepas masuk kerajaan Sulandra bahasa Melayu di campur bahasa Jawa dan Langkawi.
____________________________________________________
Pada hemat saya ini mungkin versi kedua tapi disatukan didalam kitab ini.
Pada 775M Raja Seri Wijaya telah membuka kota di dalam kawasan Ligor. Patani pada waktu itu dikenal sebagai Langkasuka. Orang Cina menyebut nama negeri ini sebagai Chai Ha Tu (Chih Tu?). Raja Seri Wijaya berkahwin dengan Raja Langkasuka. Perkahwinan ini menyebabkan Patani bertukar nama menjadi negeri JAYA yang berpusat di Palembang. Mereka mendapat anak bernama BANGSA dan pada umur 28 tahun Bangsa ditabal menjadi Raja Kedah. Raja Bangsa mempunyai 2 orang anak (tidak dinyatakan isterinya) bernama ANTIRA DAN CENTERA.
Pada satu zaman berperanglah Raja Jaya dengan RAJA KHEMIR ( Negeri Cempaka Pura). Raja Jaya menang dan berkahwin dengan puteri Cempaka Pura. Kemudian berlaku pula pakatan antara Raja Jaya (Patani) dan Raja Ligor untuk menentang Raja Seri Wijaya. Kedua raja ini kemudian bersatu membentuk kerajaan bernama TAMANGA SINGA (Tambralingga?). Tamat.
Nota dari saya : Negeri Patani yang besar menyebut perihal bahawa di kawasan Langkasuka itu wujud orang Melayu. Walaupun disebut pusat kotanya di Kedah namun ada waktu ketika ia berpindah ke Patani dan terus kekal disitu. Kitab ini cuma seakan-akan menyebut pelbagai nama yang sama seperti mana dalam kajian hari ini. Cuma yang menariknya ialah tarikh 750M dan 775M dapat dinyatakan dengan jelas walaupun ceritanya tidak begitu tersusun. Perlulah juga di ingatkan bahawa kitab ini di tulis pada waktu sekitar Kitab Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang muncul. Apa pun usaha orang terdahulu haruslah di kaji dan dinilai dengan lebih dalam untuk kemantapan sejarah bangsa Melayu itu sendiri dan terpenting sekali ialah garis masa (timeline) harus sama dan dikaji dari semua aspek walaupun kebenaran yang muncul nanti sesuatu yang menyakitkan. Peace!..

MHR

Jangan lupa klik "BUKU YANG DIJUAL" untuk mendapatkan pelbagai buku terbitan kami atau follow kami di fb Kitab Sejarah Malaya.