Benarkah Perang Perak 7 tahun? - Buku Rentaka Sekalian Bijasura

By

Kitab Sejarah Malaya
Buku Kontroversi

 Ini adalah  lontaran pandangan saya kepada isu yang diketengahkan oleh penulis pujaan ramai. Tahun lepas saya siap menulis tentang Perang Kedah- Siam (Gajah Putih Di Bumi Geroda:Perang Melayu Siam 1767-1842), tahun ini beliau tulis secara ringkas tentang Perang Perak-Siam. (mungkin, sebab saya belum baca lagi buku beliau)

Jadi di dalam buku itu diberikan gambaran bahawa "Perak Bangsa Melawan", ya mungkin betul dakwaan itu kerana siri-siri kematian Birch beberapa tahun kemudiannya. Tapi adakah benar dakwaan penulis tentang ini?, sekali saya ulang.. ini pandangan dan hujah saya sendiri yang bukan bersifat menolak mentah2 pandangan beliau. Saya pun orang Perak juga tapi seluruh hidup saya membesar di Kedah. Jadi sekali lagi saya tegaskan apakah benar dakwaan penulis?

OK, mari kita soroti semula sejarah Perang Kedah- Siam yang bermula pada tahun 1800 dan kemuncaknya berakhir pada 1821 sebelum tamat pada tahun 1842. Namun campurtangan Kedah dipercayai bermula sejak abad ke 18 lagi iaitu pada zaman Sultan Sulaiman Syah. Kepada yang sudah baca buku saya mungkin akan faham apa saya cuba sampaikan ini kerana sepanjang kajian saya itu ada beberapa persoalan tentang hubungan Perak (dibayangi Selangor) - Siam.

Mari kita lihat isu Perak, bermula dari perlantikan Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Diakui oleh para orientalis bahawa memang Sultan ini seorang yang menentang malah warkah baginda yang paling terkenal membuktikan semuanya tentang Sultan Perak ini. Warkah tersebut berbunyi

""Beta adalah Sultan dari keturunan dahulu kala (Bukit Siguntang) Betalah yang menyimpan Pedang Diraja dan Pontoh Diraja dan betalah Sultan yang tertua dari semua Sultan ini iaitu diantara raja-raja Siak, Selangor, Riau, Kedah dan Terengganu. Beta tidak akan menghantar bunga emas ke Siam. Walaupun seandainya perang datang melanda beta akan melawan kerana adat bunga emas ini tidak pernah diamalkan oleh mana-mana Sultan sebelum Beta.” (GPDBG:78:2016)

Malah sewaktu Siam memberi amaran untuk menyerang Perak melalui Kedah, Sultan Malik mencadangkan agar Perak-Kedah bergabung melawan Siam namun cadangan ini telah ditolak oleh Sultan Kedah yang akhirnya membawa penawanan Perak pada tahun 1818. (Isu ini diperdebatkan begitu panjang oleh para sejarawan dan sehingga kini belum dapat dipastikan secara jelas bahawa Perak benar-benar ditawan seluruhnya kecuali sebuah surat yang diterima oleh SG Bonham, Gabenor Pulau Pinang (Booney:79:1974). Apa pun isunya Perak telah pun menghantar bunga emas/perak kepada Siam.

Kemudian pada tahun 1821, sewaktu serangan Siam keatas Kedah, Perak berada dibawah jajahan Kedah namun tidak memberikan apa-apa bantuan yang kemudiannnya mengisytiharkan kemerdekaan daripada Siam, (boleh juga dikatakan merdeka dengan sendiri kerana kekalahan Kedah). Akhirnya pada tahun 1823 Perak telah ditawan oleh Ligor.

"Sultan Perak menghantar Bunga Emas dan Perak serta 205 bahar timah kepada Ligor namun di rampas oleh angkatan tentera Selangor." (Gullick:74:1998).Kemudiannya Perak secara tidak lansung mendapat bantuan daripada Selangor bagi menghalang kemaraan Siam begitu juga Perak memohon bantuan senjata api dan meriam daripada Pulau Pinang, namun akibat daripada amaran British ke atas Phya Sinanunchit (Raja Kedah pada waktu itu) maka serangan ke atas Perak terhenti terus pada tahun 1828.

Ada banyak lagi faktor dan hujah yang dapat saya huraikan disini. Naum cukuplah saya memberi sedikit pandangan saya dalam perihal bab yang beliau tulis berkaitan Perak. Apa pun bagi saya Perak terselamat kerana Siam terpaksa melalui Pulau Pinang dari arah laut dan British juga telah memikirkan bahawa seandainya Perak ditawan oleh Siam maka mereka akan kehilangan sumber makanan dan bijih timah. Oleh itu pelbagai perjanjian telah dibuat oleh British dengan Siam agar dapat melindungi Perak bagi kepentingan Pulau Pinang.

Saya harap beliau telus dalam soal sejarah, beliau adalah pelajar "master" dalam bidang sejarah maka tidak patutlah ia menurut jalan sedia ada dan cuba melindungi fakta-fakta yang wujud. Saya tak pasti apa tujuan beliau. Sejarah perlu dilihat secara holistik bukan sekadar hendak mencetuskan semangat cintakan sejarah tanah air. Apakah dengan cara menyembunyikan fakta akan menyebabkan orang melayu merasa bangga?, mungkin hari ini ya.. tapi bagaimana pula di masa depan?, kajian sejarah hari ini memberi kesan yang mendalam kepada generasi mendatang maka kita perlu berhati-hati dalam membuat penulisan. Sudahlah kita marahkan buku teks yang dianggap tidak menyebelahi orang Melayu dalam masa sama kita cuba menyelindungi kisah sebenar dalam sejarah Melayu.

Sejarah ini pedih,keras dan pahit dan itulah hakikatnya. Tiada yang boleh diubah, kecuali pandangan yang dilontarkan. Apa yang sudah tertulis itulah ia samada suka atau tidak. Apa pun tahniah kerana membangkit perasaan bangga anak-anak Perak tapi takutnya nanti ibarat menanti matahari di tengah hujan.

Apa pandangan anda?

Sekian.
MHR




Perang Perak

Sekian.

MHR