Terima Kasih Si Babi Hutan

By



Selama 3 jam semalam saya habiskan masa untuk menamatkan pembacaan saya tentang buku ini. Bab 1 buku ini pada saya sangat menarik kerana penulis berjaya mengolah satu plot cerita tentang manusia melalui perlakuan haiwan. Bagi saya ia membawa maksud yang mendalam bagi "orang-orang yang berfikir". Tapi entah kenapa cerita itu tidak dihabiskan dan saya sangat berharap agar bab 1 itu dapat dibukukan menjadi sebuah buku baru.

Pada bab kedua buku ini berkenaan kisah beliau menjalani kehidupan yang penuh kusut apabila kehilangan anak yang pada masa itu berada dalam jagaan pihak polis dan diselia oleh Mahkamah Syariah Pulau Pinang namun bapanya begitu tenang dan bersabar menasihati beliau dengan pelbagai kisah-kisah nasihat yang sangat membuka pemikiran saya sebagai seorang pembaca yang juga bersifat radikal. Kisah bagaiman sabarnya si fakir Abdullah dengan mulut-mulut orang kampung dan bagaimana tabahnya pak tua pengembala kambing yang menghadapi situasi dimana memungkinkan kepalanya dipenggal oleh pemerintah.

Pada saya buku ini membaca kepada satu enlightenment atau satu cara pembaharuan dalam kefahaman Islam. Penulis juga sering menekankan kepentingan kusyuk dalam solat dan mengapa begitu perlu kita mengenal Allah itu. Ya.. "Awalludin Makrifatullah", awal agama itu ialah mengenal Allah tanpa kenal dan tahu maka kita hanya menurut perintah agama kerana mengikut-ngikut apa yang diperbuat oleh nenek moyang kita dahulu. Penulis juga mengkritik agamawan dunia kini kerana hanya menumpukan bidang fikh saja tanpa memberi penekanan tentang soal hakikat dan makrifat. Bukanlah kesemua namun kebanyakkannya begitulah.

Saya juga pernah terfikir tentang ini kenapa hanya soal-soal hukum saja yang ditekankan sedangkan pembuat hukum itu tidak pula diperkenalkan dengan lebih mendalam. Bukankah sang pencipta itu lah yang harus di kenal dan diagungkan. Tapi itulah realiti dunia dimana manusia hanya menggunakan apa yang mereka rasa suka dan dekat dan tidak ingin lansung mengenal siapakah pencipta tersebut sebagai contoh tidak semua dari kita mengenal siapakah ahli falak dan kaji bintang Melayu.

Namun hampir 50 halaman buku ini dihabiskan dengan kisah penulis yang bertekak dengan Mat Dauf seorang lelaki yang sepertinya selalu ke masjid menunaikan solat yang kemudiannya menganggap penulis ini sesat kerana tidak pernah ke masjid. Persoalan hukum niat,wuduk dan lain-lain dihujahkan dengan panjang lebar yang sedikit sebanyak menyebabkan pembacaan saya agak terganggu kerana soal hukum itu diulang-ulang. Namun pada muka surat terakhir jelas menunjukkan bahawa penulis lebih banyak mempertahankan bapanya yang dituduh sesat oleh Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang di sokong pula oleh media massa yang secara tak lansung menenggelamkan cerita anaknya yang hilang dalam kawalan mereka. Buku ini membawa kepada satu realiti kehidupan kita hari ini apabila orang-orang berkuasa merasa megah dengan kuasa yang sedikit dan orang ramai yang mula mengambil sikap tidak peduli kepada masalah manusia lain yang sepertinya sifat Ihsan kita sudah dicabut dari hati... Allahu..

Disamping itu Zaki iaitu sahabat penulis sering saja memberi nasihat kepada penulis untuk terus tabah dalam menghadapi saat sukar ini. Berat dugaan seorang manusia itu sangat besar namun "Allah menguji setimpal dengan iman kita" jadi atas sebab itulah Zaki dan bapa penulis terus menerus menasihat dan memberi semangat kepada penulis.

Apapun pada saya buku ini menarik dari sudut penghujahan ilmu Allah dan benarlah tidak semua manusia itu dapat mencapai tingkat iman tertinggi sedangkan sifat malu itu ada 99 macam dan begitulah tahap iman seseorang. Kesimpulan yang dapat saya buat dari sini ialah belajarlah makrifat dahulu kemudian hakikat dan seterusnya tarikat yang akhirnya membawa kita kepada syariat kerana pada saya inilah yang Nabi SAW buat dahulu sebelum Islam tersebar dengan luas.

Sehingga saat saya menulis ringkasan ini saya masih terkesan dan terbuka rasa hati hendak belajar ilmu sifat 20 dan saya yang selama ini banyak melihat pentingnya memperjuangkan "keduniaan" Melayu merasa lebih tenang dan segar dan yang penting sekali buku ini telah menjadikan saya seorang yang ingin tahu tentang garis yang memisahkan dunia dan akhirat.

Iqra!

MHR.