Hikayat Merong Mahawangsa Pelbagai Versi

By //
Kitab Sejarah Malaya
Merong Mahawangsa

Kesekian kalinya topik ini masih jadi minat saya dalam melihat sejauh mana kewujudan naskah-naskah seni penulisan Melayu dianggap sebagai bentuk histografi yang membanggakan. Sebelum-sebelum ini saya pernah berkongsi beberapa info tentang HMM dan mendapat pelbagai respon yang baik. Kebiasaanya para pengkaji teks ini akan terbahagi kepada 2 kumpulan samada berdasarkan kepada teks HMM kajian Siti Hawa Salleh atau berdasarkan At Tarikh Salasilah Kedah. Jarang sekali kita temukan kombinasi kedua-dua teks ini dalam satu kajian.

Secara umumnya juga HMM dianggap sebagai hikayat dan mitos oleh ahli sejarah namun tidak pula bagi golongan sastera yang menganggap ia sebagai seni penulisan kreatif dan kritis. Oleh itu nyatalah bahawa tema HMM ini mempunyai 2 golongan atau perkumpulan samada secara teks atau secara ideologi.

Persoalan yang nyata ialah mengapa tidak ada kajian sejarah berkenaan hal ini? Sedangkan perkara ini sedikit sebanyak membuktikan kewujudan Kedah Tua dan jika hendak dibandingkan kepada naskah ini (jika dipercayai siap pada 1136M) dengan teks-teks lain ternyatalah ia membuktikan bahawa HMM sangat tua. Namun manuskrip asal HMM disalin pada 1821 dan dibukukan pada tahun 1840.

Oleh itu jika kita mahu berpegang kepada tarikh 1821 atau 1840 berdasarkan salinan James Low nyatalah bahawa berkemungkinan besar ia ditulis lebih awal dari tarikh 1821. Namun kesukaran paling nyata ialah bagaimana hendak membuktikan bahawa ia lebih tua?. Saya tidak ingin membincangkan hal tarikh teks tersebut dibukukan apa yang mahu saya utarakan ialah sejauh mana teks ini membantu dalam penyelidikan sejarah Kedah.

Dipercayai terdapat 28 HMM yang telah diekstrak dari naskah salinan Low dari pelbagai nama penulis termasuklah yang berada di Indonesia (naskah ini hilang). Saya hanya dapat membaca 4 versi Hikayat Merong iaitu

1.Versi Low
2.Versi Siti Hawa Salleh
3.Versi Abdullah Musa Lubis
4.Versi Mohamad Hassan ( At Tarikh Salasilah)
5.Versi Wan Yusuf (Tarikh Kerajaan Kedah)

Versi 4&5 menyalin sedikit sebanyak daripada Versi 1, manakala versi 2 adalah kajian ilmiah yang menggabungkan 4 kajian teks Barat seperti Maxwell dan Sturrock berdasarkan Versi Low. Manakala Versi 3 diterbitkan lebih awal dari versi Siti Hawa Salleh. Namun sehingga kini versi dualah yang digunapakai sebagai rujukan teks utama HMM manakala Versi 4 iaitu At Tarikh digunapakai sebagai rujukan teks utama Sejarah Kedah. Namun tahukah anda bahawa Versi 3 hingga 5 mempunyai 10% atau 20% perbezaan dari versi 1 dan 2. Perbezaan yang sedikit inilah yang sedang diperhati dan dinilai kerana 20% ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara terutamanya dari segi nama tempat dan beberapa peristiwa yang berlaku.

Soal mengapa HMM dipercayai siap pada tahun 1840 ialah jika dibaca pada bab terakhir disebut nama Sultan Ahmad Tajuddin Marhum Melaka yang bernasab hingga Sultan Muhammad Jiwa. Oleh itu teks ini mempunyai campuran kisah dan cerita nyata dan khayalan yang menyebabkan ia jatuh kedalam hal kesusasteraan. Namun saya yakin bahawa kisah-kisah awal HMM hingga kepada Sultan Muzafar Syah adalah kisah nyata yang ditulis mengikut kebudayaan Melayu dan setempat. Namun yang menyukarkan keadaan ialah hendak menentukan garis masa kerana terdapat nama-nama Raja Shiva Buddha  di dalam HMM. Selain itu pada zaman baginda terdapat beberapa naskah lain yang ditulis iaitu http://kitabsejarahmalaya.blogspot.my/2014/06/pensejarahan-kedah-abad-ke-19-melalui.html


Mungkin berdasarkan kepada kejadian yang diceritakan agak sukar hendak mencapai maksud itu tapi jika dilihat kepada persekitaran semasa yang ditulis di dalam HMM berkemungkinan besar kita dapat melihat hipotesis kewujudan figura-figura dalam hikayat ini dan yang paling penting ialah buat masa sekarang apakah Raja Muzaffar itu ialah Raja Merong Mahawangsa?. Jika dilihat dari sudut lain ialah apakah kisah HMM ini juga terdapat di Thailand atau Patani? Jawapannya ya

Klik sini
http://kitabsejarahmalaya.blogspot.my/2017/07/hikayat-merong-mahawangsa-versi-thai.html

Lebih menarik lagi ialah mengapa Kisah Raja Bersiong begitu menonjol dalam masyarakat Melayu? Apakah mungkin kerana ia telah diangkat sebagai sebuah filem? dan mengapa pula Tunku Abdul Rahman memilih kisah itu supaya difilemkan? Apa jawapan anda?


MHR

Misteri Masjid Agung Melaka

By //
Tahukah anda siapakah pelukis sebenar lukisan "Conquesta de Malaca"?

Inilah jawapannya!!
Kitab Sejarah Malaya
Lihat Masjid 

Ernesto Ferreira Condeixa (Lisbon on February 20, 1858 - Lisbon, August 2, 1933) was a Portuguese painter who excelled in painting historical scenes and as a portraitist. He was a disciple of Michelangelo Lupi and fellow in Paris, where he studied with Alexandre Cabanel, whose style adopted in painting historical theme frames.

He was a member of the Board of Art and Archaeology and a professor and director of the School of Fine Arts of Lisbon.

His painting was devoted to historical themes, and their two best-known paintings John II before the child's corpse, and Beija-hand Leonor Teles. It is remarkable because of the oblique movement composition, Table A Malacca Achievement. Conducted an extensive pictorial work in the Santana Palace decoration in Ponta Delgada, Azores, with the production of large screens to hall and main staircase, with the central theme the view of King Carlos I of Portugal and Amelia of Orleans that city. Are some of his own artistic collaborations in the weekly White and Black 1 (1896-1898).

Maksudnya disini ialah lukisan yang kononnya adalah Masjid Agung Melaka dilukis pada penghujung abad ke 19 dan ternyata ia hanya imiginasi pelukis.

dan admin nak share info tambahan...

Gabungan Tentera Melaka pada tahun 1511 yang pasti mengejutkan anda!!

E. Model Perpaduan Dalaman-Luaran Menerusi Peperangan Melaka-Portugis

Maklumat seterusnya yang kami mahu bentangkan disini adalah berkenaan usaha pahlawan-pahlawan Rumpun Melayu dan bangsa-bangsa lain serantau yang mempertahankan Melaka daripada serangan tentera-tentera Portugis.Kami dapatkannya dari sebuah manuskrip Portugis kurun ke-17 yang telah diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dan diterbitkan oleh UM. Maklumatnya adalah Francisco De Sa De Meneses, Malaca Conquistada, terjemahan Inggeris oleh Edgar C. Knowlton, Jr. pada 1970. Ada dua pihak yang mempertahankan Melaka tatkala 1511 tersebut, iaitu pahlawan-pahlawan daripada berbagai suku kaum Rumpun Melayu dan pahlawan-pahlawan dari berbagai bangsa serantau yang menyebelahi Melaka. Kami sampaikan maklumatnya seperti berikut :

Melaka : Ardonio, Argeo/Argeao, Audali, Baturel, Belugano, Damur (ulama/ilmuwan yang baru pulang dari Mekah), Emirem, Eurillo, Guazel/Gazel (penghulu, abang Argeo), Indoraspis (nakhoda), Raju, Rustacao/Rustam/Khan (ketua perang), Sarcamante, Turcaferno
Patani : Ariavo (ketua perang)
Jawa : Tuan/Tuao Colascar (ketua perang)
Borneo/Brunei : Malano (ketua perang)
Mindanao : Ragois (ketua perang)
Daru/Arus/Darus : De Tayde/DeTayde/Deitayde/Detayde/De Taide/Dataide (saudara lelaki Raja Daru dan ketua perang)
Bintao/Bertam/Bintang/Bentan : Ormonte (ketua perang tentera tambahan)
Luchu/Farmosa/Taiwan/Okinawa: Cambir (ketua perang)
Pegu : Eraspe (ketua perang)
Mongol, Khorasan dan Turki : Solimao (ketua perang)
Siam : Batrao (suami Glaura), Mulias
Kemboja : Carol
Gujarati : Abdela/Audela/Abdala/Audala/’Abdullah (orang kaya)

(((Dipetik dan dikongsi dengan keizinan)))

Falsafah Perpaduan Kaum Berdasarkan Data Melayonesia
Oleh Dr. Mohammad Alinor bin Abdul Kadir

Tujuh Tuntuan Brunei Kepada Persekutuan Tanah Melayu

By //

Kitab Sejarah Malaya
Sultan Omar Ali
Mengungkap sejarah Brunei sudah pastilah kita akan membayangkan tentang Kesultanan Brunei yang kekal dan ampuh hingga hari ini, sebagai sebuah negara yang kecil Brunei adalah negara terkaya di rantau Asia Tenggara hasil daripada minyak yang terdapat di lautannya. Malah sejarah silam negara itu sendiri membuktikan bahawa ia adalah sebuah negara yang besar dan kuat.

Memetik buku Tarsilah Brunei, Negara itu pernah mencapai zaman emasnya pada zaman Sultan Bolkiah dan pernah menakluk sejauh Manila. Mereka juga pernah terlibat dalam melawan penjajahan Sepanyol yang akhirnya membawa kepada kekalahan tentera Brunei pada abad ke 16.  Kekalahan demi kekalahan akhirnya membawa kepada penaklukan Sepanyol hampir ke seluruh pulau-pulau di Filippina yang menyebabkan hari ini mereka hampir hilang identiti Melayunya.  Baca sini

Bagi kebanyakan orang Semenanjung Tanah Melayu, sejarah Brunei tidaklah begitu diketahui. Nama Brunei hanya muncul pada hal pemajakan Sabah kepada British dan tuntutan Fillipina kepada Negeri Di Bawah Bayu itu. Kedatangan Brooke dan Alfred Dent telah menyebabkan kawasan jajahan Brunei semakin mengecil.  Baca sini


Pada tahun 1888 semasa pemerintahan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, Brunei menyerahkan kekuasaannya kepada British dan menjadi negeri naungan sepertimana yang berlaku kepada Sultan-sultan di Tanah Melayu. Akhirnya pada tahun 1906 pada zaman Sultan Muhammad Jamalul Alam II, Brunei menerima seorang Residen British yang akan menasihati semua urusan pentadbiran kecuali dalam hal adat istiadat dan agama Islam dan sistem ini kekal sehinggalah Brunei dijemput oleh Tunku Abdul Rahman untuk menyertai Malaysia. Antara tuntuan yang dibuat oleh Brunei pada ketika itu ialah

1) Brunei mendapat 10 kerusi di Parlimen
2)Hasil minyak adalah dibawah penguasaan Brunei
3) Brunei juga bebas mengawal urusan kewangannya.
4) Semua pelaburannya samada luar atau dalam hendaklah dikekalkan 
5) Program pendidikan dan kebajikan yang diberikan oleh Malaya haruslah diteruskan 
6) Jaminan keselamatan keatas Brunei dan bantuan kententeraan terjamin. 
7) Sultan Brunei mahukan kedudukan yang lebih tinggi dalam senarai yang akan menjadi Yang Dipertuan Agung.

Antara tuntuan kerajaan Persekutuan pula ialah
1) Cukai Pusat ke atas hasil minyak sebanyak 10% untuk selama 10 tahun dan selepas itu Pusat mahu mengambil alih kawalan minyak Brunei.

Semasa rundingan ini berlansung, di sekitar Asia Timur PKC telah dianggap sebagai satu ancaman besar kepada Asia Tenggara dan selepas kekalahan Jepun di Perang Pasifik, agen-agen komunis mula menyusup masuk di seluruh negara-negara Asia Tenggara termasuk Brunei. Pada ketika ini juga Tanah Melayu sudah diisytiharkan darurat maka atas alasan itulah British merancang agar apabila kuasa pentadbiran diserahkan kepada orang Melayu maka imbangan penduduk haruslah sama atau undi orang melayu haruslah lebih tinggi daripada kaum lain bagi membentuk negara baru.

Ini dibuktikan dengan tekanan yang dibuat oleh Parti Rakyat Brunei yang menolak usul kemasukan Brunei dalam persekutuan pada tahun 1962. Tindakan PBR ini mendapat sokongan daripada Parti Komunis Indonesia yang pada ketika dibayangi oleh Sukarno. Kemuncaknya pada tahun 1963 Konfrantasi Indonesia terhadap Tanah Melayu. Di Sarawak SUPP dikatakan telah memberi bantuan kewangan kepada TNI untuk menjayakan gerakan tersebut namun pihak British bersama-sama pasukan tentera Tanah Melayu berjaya mengalahkan mereka yang menyebabkan  rancangan Sukarno itu gagal.  Walaupun begitu akhirnya Brunei mengambil keputusan untuk tidak menyertai Persekutuan Tanah Melayu dan kekal dibawah naungan British sehinggalah 

Pada 1 Januari 1984 Brunei Darussalam telah berjaya mencapai kemerdekaan sepenuhnya.

Orang Melayu Tak Faham Apa Itu Politik

By //

“Negara boleh lahir dan mati”

Begitu jugalah dengan mana-mana parti politik. Hari ini kita sudah mencapai kemerdekaan kali ke 60 dan selama itulah seramai 6 Perdana Menteri telah kita pilih bagi menjadi wakil suara rakyat negara ini dalam mendepani pelbagai isu terutama sekali berkaitan hal antarabangsa. Bila bercakap soal politik maka akan timbul pelbagai persepsi samada baik atau buruk.

Jika dilihat dari sudut pemikiran dan kebijaksaan politik orang Melayu berbanding kaum Cina, maka orang Melayu ketinggalan selama 30 tahun dan pernah juga muncul pendapat dari para pengkaji sejarah politik dan nasionalisme Melayu, semasa seluruh dunia menghadapi pergolakan politik Tanah Melayu seolah-olah tidak mengetahui apa-apa lansung.

Kemunculan nasionalisme Melayu muncul setelah berlakunya keruntuhan empayar Uthmaniyah dan pada waktu ini menyaksikan bagaimana Kaum Muda yang datang dari pelbagai latar belakang bangun menentang sistem yang wujud pada ketika itu.  Di China pada ketika ini telah muncul Parti Kuomintang dan pelbagai revolusi yang akhirnya meruntuhkan Dinasti Qing pada tahun 1930.

Kelemahan pentadbiran sistem beraja China dan ketidakupayaan memimpin negara menyebabkan sistem beraja itu terhapus sama sekali. Di Indonesia pula gerakan-gerakan keras sudah mula muncul dimana pemberontakan petani terhadap priyayi, bangsawan dan kapitalis Belanda telah menyebabkan rakyat Indonesia sedar bahawa pentingnya membangkitkan semangat penyatuan seluruh bangsa Indonesia.

Pada ketika inilah juga Tanah Melayu masih lagi dalam pentadbiran British yang tenang dan aman sehinggakan tidak merasa lansung apa-apa. Kesemua kaum dibawah pentadbiran British seolah-olah saling hidup bergandingan.

Kejayaan British menyediakan segala pembagunan dan mewujudkan sebuah sistem yang sistematik menyebabkan rakyat tidak begitu peduli dengan keadaan yang berlaku. Sementelahan pula mereka sudah terbiasa dengan sistem residen British yang diperkenalkan pada tahun 1897. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana kefahaman orang Melayu tentang sistem ini selepas 50 tahun Tanah Melayu ditadbir.

Di bandar-bandar besar pada masa ini majoriti penduduk terdiri dari bukan Melayu malah apabila melihat jauh kebelakang kepada sistem pecah perintah, ternyatalah kaum Melayu yang paling rugi kerana tidak berjaya kedepan dan mendepani isu-isu sosial negara. Konsep sembah daulat juga menyebabkan kaum Melayu tidak berani kehadapan dan kepimpinan Melayu masih lagi terletak kepada bangsawan-bangsawan Melayu.
Hal ini turut berlaku di Indonesia seperti contoh diatas.

Namun kaum Melayu disini seakan-akan menerima bulat-bulat dengan segala apa yang berlaku. Kaum Melayu merasa cukup dengan apa yang ada dan merasa dunia ini adalah sementara. Namun setelah didesak barulah kaum Melayu bangun melawan sehingga para pentadbir British mengatakan bahawa kaum Melayu adalah pemalas dan susah hendak digunakan tenaganya.

Pengekalan Sultan-sultan Melayu oleh British harus dilihat kepada konteks yang lebih jauh iaitu sekitar 1800-1840 dimana pada waktu ini, orang Melayu yang dianggap bodoh,hodoh dan tidak tahu tentang dunia semasa bangun menentang penjajahan yang dibuat oleh Thai malah mereka kesemua bersatu menentang penjajahan itu walaupun jumlah tentera dan persenjataan yang lemah berbanding pihak Thai.

 Di negeri utara dan timur pada waktu ini, politik istana ditentukan oleh Thai maka tidak hairanlah jika dikawasan barat dan selatan politik istana ditentukan oleh British.

Pemberontakan dan pelarian orang-orang Kedah adalah bukti yang cukup jelas “negeri Kedah ditinggalkan kosong dan ia sungguh menakutkan seolah-olah negeri itu diserang geroda”. “Kaum Melayu akan lari bersama Sultan mereka dan akan mati demi Sultan mereka”. Tidak lama kemudian British ditentang oleh para pembesar Melayu seperti Dato Bahaman, Dato Sagor dan lain-lain.

Namun sepertinya dalam penentangan ini tidak ada campurtangan Sultan. Maka atas sebab itu penentangan ini dapat dihapuskan dengan mudah. Maka belajar dari pengalaman ini British merasakan adalah lebih baik jangan dibunuh atau disusahkan para Sultan Melayu dan bangsawan. Ikuti saja kehendak mereka dan dalam masa yang sama belajar dari mereka.

Jadi tidak hairanlah para pentadbir British bersungguh-sungguh belajar tentang adab dan kebudayaan Melayu yang akhirnya membawa kepada hanya kuasa adat resam dan agama Islam saja diberikan kepada Sultan Melayu dan Sultan sendiri akur dengan keputusan ini malah ia dengan jelas memperlihatkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah negeri.

Kita bukan hendak melihat kepada sudut negatif para pentadbir Melayu tetapi ketidakinginan mereka belajar dari Barat menyebabkan kebanyakkan negeri Melayu menjadi mundur atau kuasa Sultan sering ditidakkan. Pada era penghujung abad ke 19 kita melihat bagaimana Thailand sebagai sebuah kuasa militer yang kuat di rantau Asia Tenggara turut merubah negaranya kepada corak yang lebih sistematik malah Rajanya sendiri menghantar sejumlah pelajar Thai ke Eropah bagi mendalami pelbagai ilmu moden. Rajanya juga sendiri membuat pelbagai lawatan dan membawa pulang pengalaman itu kepada negaranya.

Di Tanah Melayu setakat ini, hanya Sultan Perak dan Johor saja yang sering dilihat mendepani sesuatu isu malah mereka antara yang berani menyuarakan tentangan serta berjaya memajukan sistem pentadbiran negeri masing-masing. Tapi dimana kefahaman politik kaum Melayu pada awal ke 20 dan apakah hala tuju mereka kemudiannya sebelum Jepun mendarat pada tahun 1941?

Sumber
Mitos Pribumi Malas, Syed Hussein Al Attas
History of Malaysia, Barbara Andaya
Politik Al Imam, Abd Aziz Mat Ton
Sejarah Asia Tenggara, Gilbert Khoo

Orang Melayu Suka Menyalahkan Takdir?

By //
Dah hampir 4 tahun saya masih teruskan bacaan tentang subjek kajian saya iaitu China. Betullah kata orang bila baca buku dunia kau akan luas tapi bagi saya perasaan mengembara juga harus ada. Ia saling melengkapi , setakat duduk depan pc tapi lagak hero adalah lebih elok terjun bangunan. Mengkaji ialah melihat semua keadaan dan merasainya dengan roh.

Saya bukan ahli antropologi dan sosiologi dan saya masih banyak perlu belajar hal ini. Saya cuma nak ceritakan pada anda tentang semangat dan putus asa. Harap sedar diri dan ambil iktibar. Mungkin ada yang tak boleh terima, lantak lah.


Saya selalu tengok filem dan ya kita semua pasti tonton filem, tapi adakah kita boleh adaptasi filem ni kepada hidup kita yang sebenar?. Saya berani kata boleh. Tapi apa caranya? Itu kena cari sendiri takkan saya nak suap semua benda. Baik korang takyah hidup. ha3

Saya sentiasa kagum dengan filem dari negara Timur iaitu negara dominasi Han termasuklah Jepun. Dalam filem mereka perkara paling utama dalam skrip ialah "Tidak Putus Asa". Kalau korang perasan mesti ada dialog "teruskan berjuang", "jangan mengalah", "melawanlah hingga mati" dan biasanya kata-kata ini muncul bila keadaan mendesak hinggalah masalah tadi berjaya diselesaikan samada hidup atau mati.

Semangat ini adalah penterjemahan dari keadaan sosial masyarakatnya secara global. Real life event. Semasa keadaan meruncing semenjak peristiwa Xinhai di China hingga memunculkan era Warlord 1920 yang huru hara. Orang-orang Cina sentiasa berhempas pulas untuk terus hidup. Ada yang tewas dan ada yang cacat tapi semangat mereka terus dikenang sampai hari ini. Gerakan pelajar pada tahun-tahun 30an pula sentiasa dikenang-kenang sebagai perubah masa depan kaum China yang pada waktu itu ditindas oleh bangsa Eropah.

Napolean juga pernah berkata "Jangan bangunkan Naga itu, jika ia terjaga dunia ini akan ditelannya". Hari ini China menjadi kuasa dominan dan bangun semula selepas membuka dasar pintu tertutup. Mungkin ramai anggap ini isu biasa. Tapi hakikatnya dasar China hari ini sama seperti Dinasti Tang dan Ming yang memberi kebebasan kepada dunia hingga menyebabkan ia menjadi kaya.

Seperti mana Jepun, China juga tidak pernah putus asa. Mereka bangsa berperang, bangsa yang yakin dengan kebolehan diri cuma prinsip mereka matlamat menghalalkan segala cara asalkan mereka boleh kaya. Semasa era Imigrasi besar-besaran berlaku mereka dijual hidup-hidup. (dalam filem Once Upon A Time in China III ada babak ni). Menurut laporan pegawai British seperti Rupert Emerson, perniagaan manusia ini disebut sebagai perniagaan babi dimana mereka dikandangkan beramai-ramai dan dihantar keseluruh dunia.

Bayangkan bagaimana Yap Ah Loy seorang yang begitu miskin datang dari tanah besar berjaya menjadi seorang taikun yang sangat kaya. Bayangkan bagaimana Cheng Keng Kui, Koh Lay Huan dan ramai lagi kapitan Cina di Malaya berjaya menjadi orang yang kaya dan berpengaruh. Ini bukan cerita untuk jadi kaya. Tapi ini kisah bagaimana seorang imigran datang hendak menjadi kaya. Kekayaan ini pula dikongsi dengan persatuan mereka. "Lu mati wa mati", "senang sama-sama, susah sama-sama".

Masalah imigran dan perkongsian kekayaan ini sebenarnya bukan berlaku disini saja tapi di Australia,Amerika dan Eropah. Amerika sendiri sekitar 1890an pernah mengeluarkan akta melarang orang-orang Cina masuk kesana. Namun tidak lama kemudian ia dimansuhkan dengan alasan tanpa Cina negara ini takda buruh. Istilah ini jugalah yang digunakan untuk membawa masuk mereka ke Malaya olehh British.

Pada kita hari ini mereka perampas, tapi pernah tak kita fikir hendak jadi seperti mereka?. Kita marahkan Singapura hilang kepada mereka. Tapi apa usaha kita hari ini untuk membangun? ada? macam-macam alasan diberi dan akhirnya kita salahkan kerajaan. Kadangkala saya terfikir bagaimana orang Melayu Singapura seakan macam suka diperintah Cina. Adakah mereka terpaksa atau apa sebaliknya?.

Bangsa kulit kuning adalah bangsa yang tak pernah kenal putus asa. Semasa Sook Chin Massacre di Singapura hampir separuh dari mereka dibunuh oleh Jepun, sebahagian lagi dijual oleh bangsanya sendiri kepada Jepun. Dalam satu catatan, semasa perang dunia berlaku " Yang kaya menjadi miskin, yang miskin menjadi kaya".

Apa yang saya melalut ni ialah, hidup ini jangan cepat mengalah dan putus asa. Pendita Zaaba pernah bilang " Orang Melayu usahanya sikit tapi mengharap habuan yang besar bila tidak berjaya ia menyalahkan takdir".

Dalam gawatnya ekonomi apa kita hendak buat demo jalanan? apa kita hendak berpolitik tak henti?. Tolonglah berusaha majukan diri, buatlah apa saja asalkan halal. Jangan putus asa selagi hidup. Janganlah mengomel, takda guna pun. Mereka sudah bersedia dengan segala kemungkinan tapi dimana kita bila masalah melanda negara?

MHR

Perbezaan Gelaran Tun, Tan Sri & Datuk @ Dato'

By //
Kitab Sejarah Malaya
Selempang dan Pingat

Admin rasalakan sebahagian besar pembaca mungkin masih kurang arif mengenai maklumat dan protokol berkaitan gelaran kehormat yang digunapakai di negara kita. Jadi di sini penulis kongsikan sedikit pengetahuan yang ada secara ringkas kepada pembaca. Mungkin bermanfaat sebagai pengetahuan am dan info tambahan. Jadi kat sini admin share yang mana patut..

1. Mana Satu Ejaan Yang Betul? Datuk atau Dato’?

Persoalan ini sangat popular. Sebenarnya kedua-dua ejaan tersebut betul iaitu bergantung kepada Darjah Kebesaran yang dianugerahkan. Bagi Darjah Kebesaran yang dikurniakan oleh Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Melaka, ejaan gelarannya adalah Datuk. Sementara penerima Darjah Kebesaran selain daripada 5 negeri/wilayah di atas, ejaan gelarannya adalah Dato’.


Walau bagaimanapun, bagi tujuan penyelarasan dan memudahkan pembacaan, kebiasaannya di media massa seperti akhbar dan televisyen, ejaan ‘Datuk’ digunakan secara umum.

Info tambahan : pada hari ini, Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenalkan tambahan Darjah Kebesaran Negeri yang baharu dan ejaan gelarannya adalah Dato tanpa tanda ( ' ) dihujungnya.

2. Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” Hanya Dari Persekutuan
Gelaran “Tun” dan “Tan Sri” merupakan Darjah Kebesaran Persekutuan yang hanya dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. “Tun” merupakan gelaran anugerah tertinggi negara dan lazimnya dikurniakan kepada Yang Dipertua Negeri, Ketua Hakim Negara, dan mantan Perdana Menteri. Isteri kepada "Tun" akan bergelar "Toh Puan". Panggilan hormat bagi penerima anugerah ini dan pasangannya adalah Yang Amat Berbahagia (YABhg). Bagi “Tan Sri” pula, ia merupakan gelaran kedua tertinggi dan panggilan hormat bagi anugerah ini sama seperti “Datuk” iaitu Yang Berbahagia (YBhg.). Isteri kepada "Tan Sri" akan bergelar "Puan Sri".

3. Panggilan Hormat Bagi Darjah Kebesaran “Datuk” atau “Dato’” Kurniaan Negeri

Secara umumnya, panggilan hormat bagi semua penerima Datuk atau Dato’ dari Persekutuan mahupun Negeri adalah sama iaitu Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk / Dato' kecuali di dua buah negeri iaitu Johor dan Pahang.

Johor : Di Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Johor yang membawa gelaran Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Berhormat (YB) Dato' iaitu seperti panggilan hormat yang digunakan oleh Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara.

Pahang : Di Pahang, bagi para penerima Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Dato' Sri atau Dato’, panggilan hormatnya ialah Yang Hormat (YH) Dato' Sri / YH Dato'.

4. Gelaran Dato’ Hanya Untuk Penerima Lelaki, Bukan Wanita

Benar. Tetapi hanya di Negeri Johor dan Selangor sahaja. Di kedua-dua negeri ini, gelaran Dato’ hanya digunakan oleh penerima lelaki. Sekiranya yang menerima Darjah Kebesaran tersebut merupakan seorang wanita, gelaran yang digunakan adalah Datin Paduka (termasuk juga Datin Paduka Seri dan Datin Paduka Setia di Selangor). Oleh yang demikian, di Johor dan Selangor, wanita yang bergelar Datin Paduka merupakan individu yang menerima sendiri Darjah Kebesaran tersebut dan bukannya bermaksud pasangan mereka mempunyai gelaran Dato’ Paduka.

5. Tiada ‘Datin’ Untuk Isteri Dato’ di Terengganu

Secara lazimnya, isteri kepada individu yang bergelar Datuk atau Dato’ akan memakai gelaran Datin. Namun begitu, bagi penerima Darjah Kebesaran Negeri Terengganu, isteri kepada Dato’ akan memakai gelaran To’ Puan (jangan keliru dengan gelaran ‘Toh Puan’ yang digunakan oleh isteri kepada suami yang bergelar ‘Tun’).

Info tambahan : Di Negeri Johor, gelaran rasmi bagi isteri yang suaminya bergelar Dato’ adalah Datin Dato’ (nama suaminya) dan bukannya menggunakan namanya sendiri.

6. Sarawak Antara Negeri Yang Banyak Gelaran Kebesaran Berbeza

Di Negeri Johor, bagi penerima Darjah Kebesaran Kelas Pertama mahupun Kelas Kedua, kedua-duanya membawa gelaran yang sama iaitu YB Dato’. Begitu juga dengan Negeri Kelantan yang menggunakan satu sahaja gelaran iaitu YBhg. Dato'. Tetapi di Negeri Sarawak, terdapat tujuh (7) Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang berbeza-beza iaitu Pehin Sri, Datuk Patinggi, Datuk Amar, Dato Sri, Datuk, Dato dan Datu ('Datu' di Sarawak merupakan gelaran kehormat dan berbeza dengan penggunaan nama Datu yang diwarisi secara turun temurun oleh sesetengah keluarga di Sabah).

Antara gelaran yang digunakan di negeri-negeri lain adalah seperti berikut :

Kedah : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri Diraja, Dato’ Seri Wira, Dato’ Seri, Dato’ Paduka, Dato’ Diraja, Dato’ Wira, Dato’
Selangor : Dato' Seri, Dato' Setia, Dato’
Perak : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Seri Panglima, Dato’ Seri, Dato’ Pahlawan, Dato’
Pahang : Dato’ Sri Diraja, Dato’ Sri, Dato’
Negeri Sembilan : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Perlis : Dato' Seri Diraja, Dato' Seri Setia Diraja, Dato' Seri, Dato' Paduka, Dato' Wira, Dato' Pahlawan, Dato’
Pulau Pinang : Dato’ Seri Utama, Dato’ Seri, Dato’
Sabah : Datuk Seri Panglima, Datuk
Melaka : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk Wira, Datuk
Wilayah Persekutuan : Datuk Seri Utama, Datuk Seri, Datuk

7. Hanya Dato’ Brunei Gelaran Dari Luar Negara Yang Diiktiraf Kerajaan

Darjah Kebesaran yang diiktiraf oleh Kerajaan adalah yang dikurniakan oleh Ketua-ketua Negara Asing yang berdaulat, sembilan (9) DYMM Raja-raja Melayu serta empat (4) Yang Dipertua Negeri sahaja. Oleh yang demikian, hanya Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh Sultan Brunei sahaja merupakan satu-satunya dari luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Oleh itu, gelaran Dato’ yang dikurniakan oleh individu yang mengaku dirinya sebagai waris keturunan Maharaja Nusantara, Raja Majapahit, Sultan Negeri Pasir Berdengung, Raja Negeri Isketambola dan sebagainya merupakan satu penipuan dan pemberi serta penerima yang menyalahgunakan gelaran kebesaran tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

-IR-

A Famosa Di Bom

By //


Kitab Sejarah Malaya
Lakaran A Famosa pada 1604

Hari ini 10 Ogos merupakan tarikh Kota A Famosa binaan Portugis dimusnahkan oleh Raffles iaitu pada tahun 1807. Pemusnahan kota ini sebenarnya tidak mendapat kelulusan dari pada Pejabat Tanah Jajahan British di India. Tidak dapat dipastikan mengapa pemusnahan ini dilakukan oleh Raffles, terdapat pendapat mengatakan bahawa tujuannya adalah untuk membesarkan kawasan Bandar Hilir bagi tujuan pembangunan koloni Belanda kerana British memperolehi Melaka secara rasminya pada tahun 1824.  Terdapat juga pendapat lain mengatakan bahawa pemusnahan ini bagi melemahkan pertahanan Melaka yang selama ini dikuasai Belanda. Hampir kesemua kawasan itu termasuk kesemua kubu, tembok-tembok, hospital besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletupkan dan diratakan namun hanya pintu gerbang saja yang tidak sempat dimusnahkan oleh kerana pihak pentadbiran British sudah dapat menghidu perbuatan Raffles itu. 

Kota ini mempunyai sejarah yang begitu panjang kerana ia teletak betul-betul di laluan utama Selat Melaka malah admin percaya binaan menara-menara masjid sekitar Melaka merupakan sambungan kota ini sebagai contohnya menara Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Hulu. 

Kitab Sejarah Malaya
Kedudukan Binaan Di dalam Kota Melaka
Walaupun begitu menurut catatan Portugis kota asal Melaka diperbuat daripada kayu yang kuat dan sukar untuk ditembusi. Oleh kerana itulah serangan dilakukan sebanyak 2 kali. Selepas kejayaan menakluk Melaka, orang-orang Portugis dengan pantas membangunkan kota ini dengan mengambil apa saja batu yang berada di seluruh Melaka termasuklah batu nisan makam pahlawan Melaka. Perlu ditegaskan bahawa menurut catatan Portugis bahwa Pulau Upeh pada satu masa itu merupakan sebuah kuari batu selain daripada Sumatera. Kedudukan dan struktur bangunan kota ini kekal walaupun ia telah bertukar tangan pada tahun 1641 kepada Belanda.

Serangan Melaka dan dokumentasi yang dibuat oleh Portugis keatas kota ini termasuklah penjajah lain membuktikan bahawa kota Melaka sememangnya wujud dan bukan sebuah rekaan sejarah seperti kepercayaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kota Melaka tidak wujud kerana sehingga kini tidak ditemui bukti arkeologi berkenaan kota asal Melaka. Ini kerana hampir kesemua bangunan Melaka pada waktu itu diperbuat daripada kayu termasuklah rumah, gudang dan stor. Disamping itu semasa serangan ini dilakukan dan selepas kejayaan menakluk Melaka tentera Portugis telah membakar sebahagian besar binaan ini bagi mengelak ia menjadi tempat perlindungan serangan hendap tentera Melaka.

Apakah kepentingan sejarah Melaka kepada seluruh orang Melayu? Sila ikuti pautan ini.

Sumber
Portuguese  Document In Malacca, Arkib Negara Malaysia
JMBRAS Vol 8
Sejarah Kesultanan Melaka, Yusuf Hashim

Abjad Melayu Tiru India, Yeke?

By //

Kitab Sejarah Malaya
Abjad Melayu Tiru India, Yeke?

Kepada yang terlepas artikel awal boleh follow link ni.
http://kitabsejarahmalaya.blogspot.my/2017/08/melayu-berdarah-india-selatan.html

Setelah kita memahami erti Indianisasi ini kita haruslah mengetahui bahawa ianya dipelopori oleh pengkaji-pengkaji British dan Belanda yang hadir di alam Melayu. Namun harus diinsafi bahawa ianya telah bermula seawal British menjajah benua India. Penjajahan ini beserta pentafsiran semula sejarah telah menjadikan asbab kepada pemisahan Pakistan dan India dan juga pergolakan antara orang Islam dengan orang Hindu. Malah kesan kepada pentafsiran ini juga tiba di alam Melayu ini yang akhirnya juga membawa kepada pemisahan fizikal dan spiritual alam Melayu ini kepada negara-bangsa baru. Di sini akan saya hidangkan beberapa contoh daripada pegawai British berkenaan Indianisasi di alam Melayu ini.

Pegawai/Residen British yang berada di Tanah Melayu (TM) sebelum kemerdekaan tersangatlah memuja dan mengagumi kebudayaan Jawa yang dianggap sempurna lalu dengan secara semberono merendah-rendahkan kebudayaan Melayu. Ini jelas terbukti dinyatakan oleh Frank Swettenham sendiri :

"Bahasa Jawa tentunya abjad yang paling sempurna di kepulauan, dan satu catatan ringkas mengenainya akan memberi kefahaman umum berkenaan yang lain di mana, walaupun mereka berbeza dari segi bentuk, tanggungannya, prinsipnya, satu kemiripan yang asas. Ia mempunyai perwatakan yang tersendiri dan tidak berubah-ubah untuk setiap bunyi di dalam bahasa, dan sejak itu, justeru, ianya satu sistem yang sempurna .."

Ini diakibatkan ketakjuban yang sama mereka alami apabila melihat kebudayaan benua India dan umum diketahui kebudayaan Jawa adalah yang paling mirip dengan kebudayaan benua India. Di sinilah bermulanya teori Indianisasi yang turut dikenakan oleh orientalis seperti mereka kepada kebudayaan Melayu.
Malah Frank Swettenham menyebut di dalam bukunya, British Malaya, seperti perenggan di bawah :
“Sesetengah, tentunya, menyukai bahawa abjad Malayan mungkin telah dipinjam daripada Hindu, namun sesungguhnya tiada bukti kukuh untuk hipotesis sedemikian. . . .”

Pendapat mereka ini adalah mengikut pandangan alam mereka dan pengalaman mereka semenjak Zaman Pertengahan lagi. Konsep beragama mereka yang menganggap bahawa agama akan melalui evolusi mengikut peredaran masa dan agama biasanya apabila bertemu dengan entiti baru akan melentur dirinya membolehkan kepercayaan tradisi entiti baru ini meresap mesra dan membentuk agama bersifat lokaliti. Ini yang dimaksudkan oleh mereka sebagai 'lokal genius'.

Malah pengalaman mereka bertemu dengan benua India telah membentuk satu laras pemikiran yang kemudiannya digunakan sebagai penanda aras dalam menilai alam Melayu. Ketika mereka tiba di benua India mereka telah terkesima dan kagum dengan keindahan binaan yang ada di benua India yang bercirikan Hindu dan Buddha malah binaan Islam juga dilihatkan bersatunya unsur Islam dan Hindu-Buddha di sana. Benua India adalah yang paling lewat menerima Islam dan merupakan daerah pepinggiran kekuasaan pengaruh Islam. Dan apabila mereka tiba di alam Melayu mereka mendapati alam ini telah memeluk Islam namun didapati masih terdapat unsur 'Hindu' yang membudaya di alam Melayu ini terutamanya di Pulau Jawa. Sehubungan itu, dengan mengambil kira pemerhatian mereka di benua India, mereka telah menggunakan hipotesis yang sama terhadap alam Melayu.

 Ini diperkukuhkan oleh teori mereka bahawa sebelum kehadiran Islam, alam Melayu ini memeluk agama Hindu yang disintesiskan dengan Buddha, dan sehingga kini alam Melayu dianggap menganut agama Hindu-Buddha. Oleh itu, apabila mereka melihat alam Melayu ini memeluk Islam namun mengekalkan kebudayaan Hindu-Buddha telah menelurkan kesimpulan pra-matang mereka sewenang-wenangnya mengatakan bahawa Islam yang dianut alam Melayu bukan bersifat asli tetapi merupakan satu sintesis antara Hindu-Buddha dengan Islam kerana sifat masyarakat Melayu sendiri yang dikatakan bijak di dalam mensintesiskan perkara sebegini. Mereka mengatakan sedemikian sepertimana mereka melihat Islam yang lain di benua India dan disebabkan alam Melayu ini berada di pepinggiran, makanya nasib yang sama berlaku di sini.

Keberhutangan Indianisasi alam Melayu ini kepada benua India telah diteruskan oleh pengkaji British dan Belanda ke atas agama Islam dengan sewenang-wenangnya menempelkan bahawa Islam tiba di alam Melayu melalui pedagang dari benua India sama seperti yang berlaku pada era Hindu-Buddha.
Sikap takjub mereka ini telah meletakkan kebudayaan Jawa jauh ke hadapan dan menjadi pusat ketamadunan alam Melayu mengenepikan peranan orang Melayu dan peranan Islam di alam ini. Pembahagian zaman alam Melayu ini telah diletakkan sebagai zaman Hindu-Buddha, zaman Islam, dan zaman penjajahan.

 Tanggapan mereka adalah kehebatan sesuatu tamadun itu diukur dengam kehebatan binaan mereka dan ini terlihat dengan lebih jelas pada zaman Hindu-Buddha dengan kehadiran begitu banyak candi-candi, stupa-stupa, dan yang paling penting seperti candi Borobudur yang menyorot kepada kemegahan zaman Hindu-Buddha. Manakala, kemegahan binaan ini tidak terlihat pada zaman Islam menerangi alam Melayu ini. Malah mereka senada mengatakan bahawa kemasukan Islam menyekat kehebatan yang dikecapi alam Melayu ini dengan runtuhnya Kerajaan Sriwijaya dan Kerajaan Majapahit yang tidak akan datang kembali.

PEMUSATAN PAKSI INDIA

Sikap yang tegar dalam memusatkan paksi India untuk pensejarahan alam Melayu walaupun betul namun ia tidaklah begitu benar untuk dilebih-lebihkan. Pemusatan ini adalah kesan yang disebut oleh Syed Hussein Al-Attas (SHA) sebagai imperialisme intelektual/minda tertawan. Perkara ini bukan sahaja berlaku di alam Melayu malah seperti yang disebutkan di atas ianya telah diterapkan juga di benua India. Pensejarahan semula British terhadap sejarah benua India telah menatijahkan pemisahan benua India kepada beberapa buah negara bangsa dan masih lagi berseteru antara satu sama lain. Pensejarahan di benua India telah meletakan pembahagian zaman India kepada zaman Hindu, zaman Islam dan zaman moden sedangkan Islam tiba di benua India bukannya sekaligus tetapi berperingkat. Namun begitu tindakan sedemikian telah melahirkan radikal di kalangan pihak masing-masing yang seakan-akan kecewa dengan kelemahan diri tatkala di bawah pemerintahan yang lain. Sebagai contohnya kedatangan zaman Islam telah dilihat sebagai zaman penindasan ke atas masyarakat Hindu sedangkan ianya akibat telah diolah oleh pengkaji British. Di sini SHA telah mencadangkan agar pensejarahan dilakukan secara kreatif mengikut pensejarahan tempatan.

Selamat tinggal Singapura

By //

Kitab Sejarah Malaya
Singapura


Pada tarikh ini 9 Ogos  korang ingatlah betul-betul bahawa ia adalah tarikh Singapura terpisah dari Malaya buat selama-lamanya. Pada tarikh inilah juga kita terpisah dengan saudara kita yang berada disana dan pada tarikh inilah kita sudah terputus hubungan dengan bangsa kita.

Sejak nama Temasik ditemui dalam naskah-naskah kuno China maka selama itulah ia menjadi sebahagian dari kita. Temasik juga dikenali sebagai Pulau Ujung. Pulau Ujung/ Temasik ini kemudian dinamakan sebagai Singapura oleh Sang Nila Utama setalah mendapat bantuan untuk membuka kawasan pulau itu dari ayah mertuanya Raja Bentan. Menurut Wang Ta Yuan pedagang Cina telah sampai ke Temasik pada tahun 1349 di dalam bukunya bertajuk “Brief Records of the Island Barbarians”. Wang Ta Yuan adalah seorang pengembara dari Quanzhou, China semasa Dinasti Mongol Yuan pada abad ke-14. Pada 1328-1333, Sekitar tahun 1330, Wang  telah melawat Singapura, di mana ia telah menulis tentang sebuah penempatan kecil bernama  Dan Ma Xi  (Temasik) sebelum  Asia Selatan.  Pada 1334-1339  pula beliau telah  melawat utara dan Timur Afrika.  

Selama ratusan tahun itulah kita sangat susah hendak menemukan nama Temasik sehinggalah ia muncul semula pada abad ke 19, apabila Sultan Johor pada waktu itu telah memajak Singapura selama-lamanya kepada Raffles melalui William Farquhar dan pada saat itulah Singapura telah bertukar nama dan menjadi pelabuhan entrepot paling maju pada waktu itu malah telah mengalahkan mana-mana pelabuhan yang pernah wujud pada waktu itu.

Akhirnya pada tahun 1824 wilayah Alam Melayu telah dibahagi kepada 2 kawasan dimana Riau Lingga telah menjadi kawasan Belanda yang akhirnya disebut sebagai pulau-pulau Indonesia manakala Singapura telah dijadikan sebagai Negeri Selat dengan ditadbir oleh seorang Residen General berkuasa penuh bersama-sama Melaka dan Pulau Pinang. 

Masuk abad ke 20 kemajuan Singapura telah menarik pelbagai orang untuk datang kesana, malah dipercayai pada waktu itu masih banyak lagi perkampungan Melayu antaranya ialah Kg Gelam. Disitulah Studio Jalan Ampas dibina dan telah berjaya melahirkan seniman-seniman terbaik sepanjang zaman. Namun masuk era 1930an setelah berlaku perpecahan politik di Tanah Besar China sedikit sebanyak telah memberi impak sosial kepada orang-orang Singapura, malahan dipercayai orang-orang Cina Singapuralah antara pendana terbesar kepada Revolusi China yang diketuai oleh Sun Yat Sen. Pada waktu inilah munculnya Gerakan Islah yang melahirkan  kefahaman politik moden orang Melayu apabila berlaku pertentangan pendapat Kaum Muda dan Kaum Tua.

Kemudiannya lahirlah Persatuan Melayu Singapura yang menuntut agar pendidikan Melayu dapat di naik taraf kearah yang lebih baik merangkumi semua lapisan masyarakat Melayu. dari PMS ini pula telah melahirkan pelbagai persatuan Melayu di negeri masing-masing. 

Sepanjang abad ke 20 itu, Singapuralah ibu kemodenan bagi orang Melayu dan kaum lain. Disitu jugalah bidang suratkhabar dilahirkan yang kemudiannya menumbuh mekarkan bidang percetakan buku di Jalan Acheh Pulau Pinang. Dari kegiatan ini pula lahirlah tokoh-tokoh sasterawan negara antaranya Keris Emas dan Usman Awang.

Di Singapuralah Universiti Malaya dilahirkan dan kemudiannya pada hari ini dikenali sebagai Universiti Nasional Singapura dan Universiti Malaya dipindahkan ke Kuala Lumpur. Universiti Malaya&Singapura berasal dari Kolej Perubatan King Edward VII (ditubuhkan pada 1905) dan Kolej Raffles (Singapura) (ditubuhkan pada 1929). Kedua-dua kolej ini bergabung menjadi Universiti Malaya pada 8 Oktober 1949 yang pada ketika itu berpusat di Singapura. Namun pada tahun 1959 kedua-dua gabungan ini membawa haluan masing-masing dimana pada tahun 1962 UM ditubuhkan secara rasminya. 


Masuk era penjajahan Jepun turut menyaksikan pembunuhan beramai-ramai orang Cina yang terus diingati sebagai pembunuhan beramai-ramai paling kejam di Asia Tenggara yang dikenali sebagai “Sook Chin Massacre” dan di Bukit Chandanlah Leftenan Adnan dan platunnya gugur. Leftenan Adnan telah diangkat sebagai wira bagi rakyat Singapura namun sejarahnya dikongsi bersama dengan rakyat Malaysia.


Keluarnya Singapura dari Malaya adalah disebabkan pelbagai faktor antaranya ialah disebabkan kesan politik yang berlaku pada waktu itu, dipercayai bahawa jumlah besar orang-orang Cina di Singapura tidak mampu ditandingi oleh jumlah orang Melayu pada waktu itu dan atas sebab itulah sebelum Singapura keluar dari Malaya, Sabah dan Sarawak juga digabungkan bersama dengan Malaya bagi mengimbangi jumlah penduduk apabila sampai waktu pilihanraya kelak. Oleh itu pada tahun 1963 keluarlah Singapura dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah Sarawak dan Brunei dan membentuk kerajaannya sendiri dibawah pimpinan Lee Kuan Yew. Pada tahun 1964 piliharanraya umum ke 2 dilansungkan di Tanah Melayu tanpa kehadiran Sabah dan Sarawak kesan daripada Konfrantasi dengan Indonesia pada waktu itu.

Masuk era 1970an dan seterusnya nama Singapura hanya dikenali melalui pasukan bola sepaknya kerana
telah beberapa kali menjuarai liga Malaysia dan piala Malaysia namun selepas itu nama Singapura terus hilang dan dianggap antara pesaing terbesar kepada Malaysia selain daripada Indonesia dalam acara sukan ini. Walaupun ramai pemainnya adalah berbangsa Melayu namun terasa jauhnya mereka dari kita. 

Hari ini Singapura menjadi sebuah negara maju malah antara negara terkaya di Asia Tenggara. Namun sejarah hubungannya dengan Tanah Melayu tetap kekal sepanjang zaman selagi mana orang-orang Melayu di Malaysia mengingatkan mereka tentang hubungan kita dan mereka bahawa pada satu masa dan selamanya darah mereka adalah darah kita.

Selamat Tinggal Singapura...moga berjumpa lagi.


Sumber

Sejarah Singapura, Buyong Adil
Tanah Baru Naga Selatan, MH Roslan
Percetakan Awal Di Jajahan Selat, Cecil K.Byrd
Sejarah UM, web UM.
The Third China, CP Fritzgerald
Politik Al Imam, Abdul Aziz Mat Ton
Paham Politik Perkaum, KJ Ratnam

Gambar

-MH Roslan-