Ulasan Republik Sungai Golok

By

Hari ini saya curi sedikit masa untuk mengulas buku RSG. Buku yang ditulis oleh Isma Ae seorang penulis dari Patani yang sedang meningkat naik dengan caranya sendiri. Sebenarnya ini buku kedua beliau yang sudah saya khatam. Bukunya yang pertama bertajuk Ratu-ratu Patani. Alhamdulillah buku RSG saya berjaya habiskan dalam masa 2 hari. Buku yang mengandungi 10 bab dan setebal 328 halaman ini berkisarkan seorang kanak-kanak bernama Ramlee yang hidup di perbatasan Malaysia-Thailand iaitu di kawasan Sungai Golok.

Pada saya pelbagai perasaan yang muncul dan timbul. Ia sebuah buku bagaimana seorang kanak-kanak yang berbelah bahagi hatinya. Antara taat setia dan kasih sayang Ramlee ingin agar dirinya sebagai Melayu berada di Malaysia walaupun sebahagian hatinya berada di Thailand. Sejujurnya pada saya ia seolah-olah kisah benar yang memaparkan kisah kehidupan segolongan manusia yang tinggal di sempadan. Ia sesuatu konflik yang sukar hendak dibahaskan kerana persoalan ini nyata melibatkan perasaan yang berbelah bagi.

Ramlee yang dibesarkan dalam sebuah keluarga miskin hidup menjalani kehidupan sebagai penyeludup beras, lembu dan lain-lain barang harian malah hampir kesemua penduduk disitu melakukan pekerjaan ini demi sesuap nasi. Bagi mereka selagi tidak menyeludup dadah dan senjata api maka tiada salahlah mereka melakukan aktiviti berkenaan. Tapi sudah menjadi adatlah bagi 2 buah negara iaitu Thai dan Malaysia isu politik sempadan haruslah dijaga serapi mungkin untuk mengelak sebarang pergeseran politik yang teruk. Di tambah pula dengan beberapa isu ketengangan yang berlaku di Patani menyebabkan kedua-dua negara terpaksa menjaga hubungan politik diantara satu sama lain dan cuba beralah dalam beberapa isu tempatan. Pada pandangan saya mereka (Patani) inginkan kebebasan dan masih terus berharap akan bersama dengan Malaysia sebagai orang Melayu yang diakui bangsanya.

Selain itu terdapat beberapa watak lain yang dipaparkan antaranya Faizal, Irfan, Ahmad, Fatimah. Setiap watak ini turut menghadapi konflik diri yang sama namun tidaklah sehebat Ramlee yang berdepan pelbagai situasi seharian. Seorang budak lelaki yang berumur 10 tahun tidak bersekolah namun bersemangat untuk belajar walaupun ayahnya sendiri agak keberatan untuk menghantarnya. Namun emaknya menghantar Ramlee untuk belajar bahasa Thai di Wat dengan harapan anaknya itu mempunyai masa depan yang cerah. Perihal bahasa Thai inilah antara perkara yang menarik tentang buku ini kerana 30% buku ini menyelitkan bahasa-bahasa asas Thai yang secara tidak lansung menarik para pembacanya untuk belajar bahasa Thai termasuklah saya. Di sekolah ini juga terdapat kisah yang membuatkan perasaan saya sendiri bercampur-baur. Tak reti nak tulis macam mana. Korang kena baca sendiri.

Antara kisah lain yang diselitkan ialah tentang pasukan bola sepak dua negara iaitu Border United dan Tebing All Star. Kisah ini mengingatkan saya sendiri yang pernah bermain bolasepak pada waktu usia 10-15 tahun dahulu. Namun kematian Ahmad menyebabkan pasukan Tebing All Star tewas setelah berjaya mengalahkan Border Uniter 3-0. Dua pasukan ini mewakili mana? anda sendiri kena baca. hehe..

Pada bab penutup buku ini akhirnya Ramlee bersama keluarganya ditangkap oleh emigresen ketika cuba melarikan diri. Pada mereka yang pernah hidup di sepanjang sempadan Malaysia-Thai saya syorkan supaya anda dapatkan buku ini. Saya yakin anda akan merasai apa yang Ramlee dan rakan-rakannya rasai atau mungkin saja menjadi Faizal seorang anak polis yang menganggap undang-undang harus ditegakkan tidak kiralah perbuatan itu kecil atau besar. Dapatkan di semua rangkaiaan Dubook Press.

Tahniah buat penulis. Saya kasi 4/5 bintang untuk buku ini.

“Negara Patani ada dalam hati saya - Ramlee”

p/s Novel beliau menyebabkan saya terinspirasi untuk menulis novel saya sendiri.