Kembara KSM Siri III – Masjid Tua Melaka : Menara Azan dan Menara Perang?

By //



Masjid Kampung Hulu

Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Masjid Kampung Hulu, singgah disana terasa damai dan tenteram, walaupun tiba pada waktu tengah hari namun tak terasa lansung terik mentari. Ya mungkinlah akan ada yang cakap masjid ada segala fasiliti takkanlah nak panas. Emm.. Ntahla..mungkin kalian kena merasainya sendiri. Dipercayai Masjid Kg Hulu ini wujud sejak Islamnya Melaka yang bermakna ia sudah wujud selama hampir 600 tahun. Maka tidak hairanlah jika ada mereka yang datang membawa anak untuk mandi dan botol minuman untuk pelbagai kegunaan. Orang kata ambil berkat dan air kolah masjid pula tu.. khaifiatnya ada.

Admin sangat tertarik dengan binaan menara masjid itu begitu jugalah dengan lela rentaka yang terletak disitu. Saya cuba membayangkan bahawa masjid itu juga berfungsi sebagai menara kawalan manakala menara itu pula adalah menara tinjau sebab jika diamati dari beberapa rekod Portugis, kedudukan Masjid-masjid tua di Melaka ini sangat berhampiran dengan laut dan saya pernah lihat sebuah rajah dimana A Famosa pernah bersambung dengan menara Masjid Tengkera. Maka apakah kemustahilan kita tentang fungsi masjid-masjid tua ini menjadi benar?. Setakat ini kami hanya sempat melihat 2 masjid saja yang mempunyai lela rentaka dan bermenarakan batu. Apakah masjid-masjid tua yang lain mempunyai struktur yang sama?.

Bersebelahan masjid ini terdapat laluan lebih kurang 200m ke makam Almarhum Shamsudin Sumatrani dan disitu juga terletak makam para pahlawan dari Acheh yang menyerang Melaka pada zaman pendudukan Portugis di Melaka. Alhamdulillah makam ini telah dipulihara dengan baik oleh pihak PERZIM. Mungkin ramai lagi yang tidak tahu tentang makam-makam ini, maka admin nasihatkan pergilah melihat sendiri dan alami sendiri. Mungkin anda akan merasa satu perasaan dendam kerana dijajah dan peritnya melihat negeri Melayu yang lain dirampas oleh agama lain. Selama 130 tahun Melaka dijajah oleh Portugis dan terus dijajah sehingga 1957.

Sesungguhnya semua pihak harus melihat semula semua keadaaan ini dengan hati yang terbuka. Ini bukan zaman hendak berbalah siapa yang berhak di atas takhta, ini zaman yang penyatuan seluruh anak watan diperlukan bagi menghadapi mara bahaya yang kian mencengkam.

Selepas jihad merdeka di Melaka 300 tahun kemudian muncul pula kisah Perang Kedah Siam. Insya Allah akan dicoret serba sedikit sepanjang Kembara di Kedah tempoh hari. Apa pun dapatkan buku Gajah Putih Di Bumi Geroda : Perang Melayu Siam terbitan kami!

Alfatihah

Makam Pahlawan Melaka


Kembara KSM Siri II - Kisah Pahlawan Melaka 1511 DiSembelih dan Dicampak Ke Kandang Babi

By //
           Alhamdulillah, setelah habis misi di Bentayan Muar, saya meneruskan pula perjalanan ke Melaka. Dari Muar kami terus ke makam Tun Teja Ratna Benggala. Kami pun tak sangka dapat tiba disitu, mungkin atas sebab sudah pasang niat hendak mengkaji tentang Johor-Pahang-Patani. Apabila
disana, syukur makamnya dipulihara dengan baik oleh pihak Perzim siap ada penerangan lagi. Jadi sepanjang masa di kawasan makam tu kami dapat cerita bahawa makam baginda bukanlah disitu tapi di dalam kawasan bendang yang letak bersebelahan dari makam yang dibaik pulih tu. Niat nak pegi tengok tapi sebab padi tengah berbuah-buah kami hanya mampu sedekah fatihah buat arwah baginda. Walau macam mana pun penerangan di makam tu berbeza sikit dengan cerita yang kita baca dalam buku dan tengok filem, iaitu semasa Hang Tuah melarikan Tun Teja ditengah lautan tentera Melaka telah berperang dengan askar Pahang namun askar Pahang ditewaskan. Menarik versi ni...

        Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Bukit Serindit, sepanjang perjalanan tu kami dapat tengok pelbagai bukti sejarah Melaka dari zaman Portugis sampailah Belanda termasuk juga makam Raja Haji Marhum Ketapang. Tapi tak singgah pun sebelum dalam hati teruja sangat nak tengok makam Bukit Serindit. Pengalaman pertama ni nak naik Bukit Serindit. Tapi bila sampai kami terkejut sebab kawasan bukit tu ialah kawasan kubur orang-orang Kristian. Kubur-kubur dari zaman Portugis lagi.. fuhh.. kubur 1511 elok terjaga siap di atas kawasan yang tenang dan damai. Jauh sayup
Makam Tun Teja
mata memandang nampaklah seluruh Melaka dan tak jauh dari situ terletak Bukit Cina. Di atas Bukit Serindit tu terletak Makam Tua yang dikatakan wujud sejak 1450 lagi dan dipercayai disitulah makam bonda Parameswara. Nak cerita lebih kami pun tak tahu sebab tak kaji lagi. Tapi adalah maklumat lain kami dapat.. bab tu kalau korang nak tahu pegi cari sendiri.

      Lepas habis tengok-tengok makam tu kami pun keluar dan lalu ikut Bukit Cina, tapi tak singgah pun sebab kesuntukan masa, sepanjang laluan tu nampak la kesan-kesan macam tembok sekeliling bukit. Adakah sekitar kedua-dua bukit ni ada istana atau rumah?. Tak reti nak bayang rumah atas bukit tembok batu. Kalau ada sape-sape yang pandai lukis tu. Tolong lukiskan kejap lepas tu bagi admin.

      Jadi lepas tu kami nak menghala ke Masjid Kampung Hulu, lalulah jalan belakang Bukit Saint Paul@ Bukit Senjuang. Tak paham la kenapa Bukit St Paul tu tak ubah balik nama dia ke Bukit Senjuang. Patutnya kembalikan nama asalnya sebab bukit tu milik orang Melayu biarpun kita dah kalah perang Melaka. Nak cerita pasal istana Melaka kita takleh pisahkan 3 bukit ni. hmm.. mungkin sebab nak raikan Malaysia kot. Jadilah Bukit Melayu (Serindit) Bukit Cina Bukit Portugis (St Paul). Ni semua salah orang Melayu sebab semangat macam klorok.. cepat betul luntur.. huh!. Sepanjang melalui jalan raya belakang bukit tu, nampaklah makam-makam lama sampailah ke simpang tiga nak menghala ke Bandar Hilir. Kawan yang bawa kami bagi tahu makam-makam disitu adalah makam pahlawan Melaka yang ditangkap, kemudian disembelih oleh askar Portugis, mayat mereka kemudian di campak ke kandang babi. Lepas perang tamat, orang-orang Melaka yang hidup mengambil dan menguburkan mereka sepertimana sepatutnya.

         Mungkin ini cerita lisan tapi kami harap dapatlah ia dikaji dan dinilai semula dan kalau boleh
buat lah papan tanda atau digazetkan sebagai kawasan sejarah. Kami orang luar tak tahu benda-benda macam ni dan hanya inilah saja usaha kami. Sedih rasa... dalam orang lain sibuk cari tapak istana dan siap gadoh Masjid Agung Melaka tu diperbuat dari batu atau kayu. Mereka lupa orang-orang yang pernah hidup dan lihat sendiri rupa bandar Melaka. Siapa pun tak ambil peduli tentang mereka.. patutlah guru-guru kami pesan bila lalu makam, ucapkanlah salam dan sedekah fatihah..

Al Fatihah...

Siapa COPYPASTE tak minta izin, admin TAK HALAL.


bersambung...

Promo sikit

Jangan lupa beli buku kami bertajuk Perang Melayu Siam, sila ikuti link tertera untuk maklumat lanjut.

https://www.facebook.com/commerce/products/1105629936186053/

Makam Bukit Serindit

Kembara KSM Siri I - Kota Bentayan : Kubu Sate Sultan Mahmud...

By //



Pada hujung minggu lalu, aku berpeluang mengembara ke Muar dan Melaka. Sepanjang perjalanan dari Kuantan itu terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran. Dalam kereta aku dok bayang mesti so called “Kota Bentayan” ni ada tapak dan artifak. Aku bertolak dari sini jam 9 malam dan sampai di sana jam 1 pagi. Dipertengahan jalan hampir nak terbabas kat Bukit Kepong. Angker betul..huhu.. tapi demi Kota Bentayan aku gagah jugak.. dan lagi satu sebab aku terkesan dengan buku “Anak Bentayan” terbitan DBP. Terkadang aku fikir hanya sejarahkah dunia aku ni?. Hanya ini sajakah pengetahuan aku?. Tapi tujuan aku kesana adalah untuk mencari sejarah hubungkait sejarah Johor-Pahang-Patani dan atas sebab tulah aku hubungi kawan aku disana.

Sebelum bertolak kesana aku pun terfikir apa salahnya kalau dibuat program sembang santai dengan orang-orang Muar dan alhamdulillah datanglah mereka-mereka yang ingin tahu dan berkongsi pandangan tentang sejarah Muar. Mungkin bandar Muar Tua ini tiada kaitan dengan apa yang saya cari tapi aku yakin ada sesuatu sejarah yang akan menanti aku pada masa depan. Sebenarnya aku dah mula bosan dengan perangai orang-orang kita ni, sembang sejarah, nak buat revolusi sejarah, pung pang sana sini.. last apa pun tarak.. serius aku pun rasa macam dah malas nak share kajian aku. Pada aku orang kita ni tak “supportive” lansung. Semua nak mudah, nak free. Entahla kadang aku kecewa...


Kubu Bentayan
Add caption

Bila sampai di Muar aku pegi lepak depan Bentayan, kat situ cuma ada tugu “Disinilah Kota Benyatan”. Aku pun fikir, ape jadah tugu ni.. mana pegi tinggalan kota? takde ke galeri ke ape ke yang leh kasi aku “visualize” rupa kota ini. Selama 3 tahun aku ulang alik Muar. Mati-mati aku ingat ada muzium, rupanya papan tanda je!. Pfft... sedih betul.. Sambil makan satey Muar tu aku dok fikir sebelum dorang ratakan semua ni mesti ada laporan dan rekod dibuat dan mesti ada gambar diambil tapi yang paling aku tak paham kenapa dorang ratakan kubu ni?. Apa yang cuba nak diselindungkan? Gila ke.. kubu tu bukan leh kasi “effect” kat nasab sapa-sapa pun... Jauh dalam hati aku sambil kunyah sate tu aku yakin mesti ada rekod dibuat tentang kota.. Tapi siapa pula hendak mengkaji dan membeleknya semula?. Siyes aku yakin takde sape nak buat dan habis setakat sembang. Propa je lebih. Masa aku lepak dengan budak-budak Muar ni dorang cerita la yang dorang sendiri pun tak berapa tahu sangat pasal sejarah Bentayan dan Muar ni. Aku tak salahkan dorang sebab dorang pun dok cari balik sejarah silam tapi takdela sampai tak tau apa lansung, ada la jugak dorang ajak aku gi Kota Buruk dan Makam Pagoh cuma pada aku cukuplah dorang datang tanda sokong gerakan kami ini...

Bukit Kepong
30 tahun hidup ini lah pertama kali
Lepas hampir 3 jam sembang santai akhirnya aku buat konklusi aku sendiri bahawa sejarah kita diambil orang sebab tangan kita sendiri!. Takyah salah orang ke kaum lain ke ape ke.. semuanya sebab tiap kali ada orang usaha buat balik sejarah ni ada je korang kondem atau sekadar tengok lepas tu blah... Kalau tengok Muar hari ni memang best sebab moden dan tersusun tapi dari sudut sejarah silam aku rasa dah takda apa. Ntahlah tunggu anak tempatan punya cerita macam ada takda je.. aku teringin betul nak tahu pasal Muar zaman Melaka kemudian zaman Johor Lama, bab nasab ke ape aku tak minat. Takde pekdah pun kat aku...


Masjid Muar
Add caption
Cuma aku nak pesan kalau korang betul minat nak buat meh la sini aku tolong apa yang patut, korang ingat aku pegi Seminar Antarabangsa, terbitkan buku dan jumpa Prof Dr Sejarah tu sebab nak femes ke?, aku buat semua tu sebab aku nak ada hubungan antara kita rakyat ni dengan ahli akademik. Mungkin korang tak nampak... tapi kisah Kota Bentayan ni membuktikan tanpa usaha bersungguh orang Melayu, sampai kiamatla korang dok harap orang lain dan salahkan orang lain. Selagi takda kajian sebenar tentang hubungkait kota ni dengan Melaka sampai bila-bila pun korang dok marah A Famosa tu kat Bandar Hilir. Tapi tula semangat macam buih coke, berombak bila ramai, bila buih tu meletup-letup berapa kerat je tinggal. Ikut hati nak kaji sejarah ni macam-macam aku nak buat macam-macam keinginan aku.. pegi jumpa orang luar dorang pun cakap "apebendalah sejarah Malaysia ni".. sedih beb.. FYI Aku & team aku bergerak atas dana sendiri, duit jualan buku yang ada dalam page ni lah buat modal nak turun lapangan. Karang tak turun lapangan korang jugak yang banyak bunyik. Kami takde dapat dana ke ape... (saja nak bagi tahu sebab orang ingat KSM ni kaya raya).

Tapi alhamdulillah adalah orang sumbang kasi tempat tidur sebab Aku dan dorang sayang bangsa Melayu, aku sayang sejarah bangsa ni... tapi kadangkala aku rasa baik aku ikut jejak ahli akademik, kaji sejarah lepas tu pegi kelas mengajar.. korang yang bawah-bawah sembang berapi ni lantaklah...

Bersambung kat Melaka pulak nanti...

KSM

Kisah Orang Kedah Diseksa

By //
12 November 1821 merupakan tarikh yang tidak akan dilupakan oleh seluruh rakyat Kedah kerana pada detik itulah Kota Kuala Kedah diserang setelah 5 bulan sebelumnya Pulau Langkawi telah dimusnahkan.

Setelah menyerang Kota Kuala Kedah dan membunuh seluruh penduduk kota tersebut, angkatan Ligor telah melakukan pelbagai jenis penyeksaan kepada orang-orang melayu yang berjaya ditangkap.

Selain daripada wanita dirogol, para lelak di pasung atau dipenggal kepala. Terdapat bentuk penyeksaan yang lain dikenakan keatas mereka yang tertewas itu.

Sesungguhnya peristiwa inilah yang paling kejam sekali sepanjang Kedah berada dibawah penjajahan Thai. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan yang sangat sengsara yang perlu di hadapi oleh orang – orang Kedah pada waktu itu.

Disini admin kongsi sebahagian bentuk penyiksaan yang dijalankan ialah

1) dengan cara memasak banduan hidup-hidup di dalam pokok yang berlubang dengan mangsa dibogelkan dan tangan terikat ke belakang. Mangsa diletakkan di dalam lubang itu dan lemak diletakkan atas kepala mereka. Lubang dan pokok itu kemudiaanya dilumur dengan lumpur agar pokok tersebut tidak terbakar dan mangsa dibiarkan masak hingga mati.

2) Mangsa di bawa ke kuala sungai yang berlumpur dimana di tempat itu mempunyai pokok-pokok yang baru tumbuh dan sangat tajam. Mangsa diletakkan dalam kedudukan bersila dan dibiarkan hingga usus mereka ditembusi hingga mati.

Terdapat pelbagai lagi bentuk penyiksaan ketas mereka yang tidak pernah diceritakan kepada umum namun pernah dicatatkan oleh penjajah barat ratusan tahun dulu! dan kami bongkarkan untuk suatu kebenaran!

Untuk membaca lebih lanjut klik

https://www.facebook.com/KitabSejarahMalaya/photos/pcb.935858926522891/935848299857287/?type=3&theater.

Al fatihah buat para moyang yang telah pergi...

NHAK.

SEJARAH AWAL BRITISH DI BORNEO

By //



Pada tahun 1763, Sultan Sulu telah bebas daripada penguasaan Sepanyol apabila Manila telah ditawan oleh British. Pembebasan ini menyebabkan Sultan Sulu menyerahkan kawasan yang dikenali sebagai Sabah kepada British. Sebenarnya kawasan tersebut telah diserahkan kepada Sultan Sulu pada tahun 1622 oleh Sultan Brunei kerana membalas jasa orang-orang Sulu menghapuskan sebuah pemberontakan. 

Pada tahun 1773 barulah pihak Kompeni Hindia Timur membuka penempatan di Pulau Balambangan yang terletak di Teluk Marudu. Namun pada tahun 1775 kawasan tersebut telah diserang oleh orang-orang Sulu dan telah ditinggalkan. Pada tahun 1803 kawasan tersebut telah dibuka sekali lagi dan dibiarkan begitu saja sehinggalah James Brooke datang pada tahun 1839.

Sepanjang tempoh 1803-1839 itu kawasan pantai Sabah menjadi sarang-sarang lanun manakala kawasan hutannya yang tebal pula didiami oleh orang Murut dan Dusun yang biasanya “mengayau”. Setelah kedatangan Brooke barulah kawasan-kawasan lanun ini dihapuskan satu persatu dan setelah usaha penghapusan ini selesai Sultan Brunei telah menyerahkan Labuan kepada James Brooke pada tahun 1846 dan sejak itu bermulalah penjajahan Sabah secara moden.

Akibat daripada kekacauan dan kelemahan pentadbiran Brunei akhirnya North Borneo Charted Company telah berjaya mengambil alih Sabah manakala James Brooke pula menumpukan penguasaannya di Sarawak. Pada waktu yang sama Belanda lebih menumpukan perhatian mereka di kawasan Kalimantan namun tidak dapat dipastikan sejauh mana penguasaan itu berlansung.

Dipetik dan diolah dari buku :

Sabah Satu Kajian Geografi Tempatan, DBP, 1982.

''Saya orang Malaya tapi saya anggap Sabah dan Sarawak saudara saya!''

Ulasan Buku Ratu-ratu Patani.

By //

 
Ini merupakan ulasan buku ketiga sepanjang saya berada di dalam laman blog ini. Kebiasaannya saya akan ulas buku-buku genre fiksyen atau penulisan bebas tanpa mementingkan sesuatu kaedah atau gaya bidang ilmu. Buku – buku yang dipilih pula berdasarkan pemikiran sosial masyarakat yang kadangkala berkaitan dengan peristiwa sejarah. Saya tinggalkan dunia ulasan ini kerana menumpukan kajian saya sendiri berkenaan Perang Kedah Siam. Tahun ini dalam keadaan tenang saya ingin membuat ulasan berkenaan buku bertajuk Ratu-ratu Patani tulisan Isma Ae yang berasal dari Patani namun membesar di Malaysia.

Buku bercorak fiksi ini pada hakikatnya sebuah perjalanan sejarah yang begitu panjang namun telah berjaya dipadatkan menjadi satu cerita sejarah yang menarik. Kisah yang berlatarbelakangkan Negara Patani pada abad ke 15 hingga ke 16 ini membawa kita kepada zaman para Ratu-ratu Patani yang sangat terkenal di serata alam Melayu ini.

Bab-bab awal buku ini lebih menjurus kepada pembentukan Patani serta penerimaan Islam oleh Sultan Bahadur setelah diubati oleh Tok Pasai beberapa kali. Kemudian barulah muncul Syeikh Fakih Ali sebagai penasihat Agama Islam bagi negeri Patani. Namun dalam bait-bait awal ini menggambarkan sebuah harapan dan cita-cita seorang tuan bernama Pak Tani bahawa satu masa nanti kampung yang dibukanya akan menjadi antara pusat kota negara Melayu yang teragung.

Perebutan kuasa didalam istana pula menjadi duri dalam daging didalam istana Patani bermula dengan pembunuhan Sultan Patik Siam hinggalah kepada Raja Kali pada zaman Ratu Kuning. Begitulah juga pengkhianatan oleh pembesar-pembesar Patani yang ingin duduk di singgahsana Patani itu.

Perasaan saya agak bercampur baur apabila membaca buku yang setebal 310 halaman ini. Saya berjaya habiskan dalam masa 2 hari kerana didalam 45 bab ini ada diantaranya membuatkan saya berfikir panjang dan cuba menjiwai zaman Patani itu namun saya merasa ada sesuatu yang tertinggal didalam penceritaan ini. Walaupun begitu usaha penulis menceritakan semula dan saya percaya penulisan ini adalah gabungan cerita lisan yang beliau cari serta dari pelbagai pembacaan buku sejarah haruslah saya puji. Jelas terlihat kesungguhan beliau untuk cuba menyedarkan masyarakat Patani khususnya bahawa di Kuala Bekah dan Tambangan itu terdapat satu kisah agung yang tak mungkin dapat dipadam sejarahnya walau dengan apa cara sekalipun. Saya sangat ingin tahu bagaimana timbulnya nama Negeri Buluh Perindu dan apakah bendera asal Patani berlukiskan buluh?

Selain itu, kisah Ratu Ijau, Ratu Biru dan Ratu Ungu begitu menarik sekali kerana tiada sapa menyangka pada zaman itu akan muncul pemimpin dari kalangan wanita yang akan menggoncang dunia Melayu apatah lagi kerajaan Ayutthaya. Kebijaksanaan dan ketegasan mereka berjaya menyelamatkan negara itu dari segala kancah kesulitan yang tak pernah jemu mencengkam.

Namun setiap Ratu itu boleh dikatakan mati dalam keadaan sedih dan tidak tenang kerana masalah-masalah negara dan keinginan mereka menyelamatkan rakyat Patani tidak pernah selesai, bak kata penulis mati itu pasti dan tiada siapa dapat menghalangnya. Begitulah jua keadaan yang berlaku kepada 3 ratu tadi.

Dulu saya agak skeptikal tentang Melayu Buddha di Ligor,Songkla dan Patthalung namun gambaran awal penulis ini telah membuka sedikit kepercayaan saya untuk mengkaji dan melihat semula serta mencari dimanakah orang-orang Melayu Buddha di Segenting Kra ini kerana dari sudut sejarah, bahan kajian tentang mereka hampir tiada lansung. Saya lebih memandang sudut sejarah yang cuba dibawa penulis walaupun apa yang ditulis itu bercorak sastera. Terdapat sebegitu banyak bahan diluar sana yang telah di “hint” oleh penulis. Jelas abad ke 16 ini memperlihatkan kuasa-kuasa barat yang mempunyai sudut pandang tersendiri tentang Patani dan sudah pastilah untuk melihat keadaan Patani, bahan penulisan mereka haruslah dikaji. Pada saya mungkin inilah harapan penulis kepada sejarawan-sejarawan Melayu dan dunia. Hubungan Patani – Ayutthaya juga telah digarap sebaik mungkin oleh penulis namun percubaan Prasat Thong untuk menguasai Patani sangat mengujakan begitulah jua pengkhiantan Okpya Decu ketika Patani diambang peperangan.

Penulis juga berjaya memahamkan saya tentang konsep Patani Besar dan Patani Kecil dan bagaimana pula pusat pemerintahan Patani berpindah kepada Kelantan semasa zaman Raja Sakti I. Puncanya datang daripada sikap Ratu Kuning yang tidak menyangka bahawa Raja Muda Johor iaitu suami baginda akan membuat onar didalam istananya sendiri. Tidak disangkakan peristiwa ini telah menyebabkan Ratu Kuning memendam kesedihan yang amat dalam sehingga tidak memperdulikan lagi pemerintahan negara yang akhirnya membawa kepada kemangkatan Ratu Kuning dan dimakamkan di Kelantan.

Sebagai penutup, ada satu harapan yang cuba ditimbulkan oleh penulis. Walaupun ia sebuah novel namun pada saya ia seoalah sebuah iktisar sejarah Patani yang masih banyak misterinya. Satu pengkisahan yang menarik dan menimbulkan keinginan saya untuk mengkaji hubungan Kedah-Patani pada satu masa dulu serta apakah yang menyebabkan hampir semua negeri Melayu sanggup menghantar bunga emas kepada kerajaan Thai sehinggalah pada tahun 1842.

Rasa teringin pula hendak menulis sebuah novel tentang Sejarah Perang Musuh Bisik dan menyambung kajian Perang Melayu Siam siri II, hehehe... Apapun dari 5 bintang saya kasi 3 bintang buat penulis dan tak sabar pula saya hendak membaca Republik Sungai Golok tulisan beliau yang telah 3 bulan berada di pasaran.

Kami orang Patani adalah bangsa Merdeka!

MHR.


















Ringkasan Buku dan Rakaman Suara semasa Bicara Buku di Pesta Buku Selangor

By //

Perang Melayu - Siam merupakan perang yang paling lama dan paling kompleks dalam sejarah Melayu moden dari abad ke 18 hingga abad ke 20. Perang ini juga merupakan perang yang paling lama menimpa bangsa Melayu di kawasan utara Semenanjung Tanah dan telah memakan masa selama hampir 150 tahun. Di dalamnya terisi penuh suka dan duka rakyat di utara tanah air iaitu Kedah, Perak, Patani, Kelantan dan kawasan Selatan Thai yang kita kenali hari ini. Ia merupakan sebuah sejarah yang kekal terpahat dalam ingatan kita sampai bila-bila. Pengkajian ini lebih tertumpu kepada kisah perjuangan rakyat Kedah yang paling banyak menerima kesan semasa penjajahan Thai pada masa yang lalu. Walau bagaimanapun buku ini juga akan cuba memberi gambaran kepada kempen – kempen peperangan yang melibatkan semua negeri-negeri Melayu dengan Siam dari 1767-1842.


             Diantara kuasa dan dendam diantara keinginan bertakhta dan menyelamatkan rakyat diantara bijih timah dan kemajuan negeri. Pihak istana Kedah telah sedaya upaya mengatasi kesemua masalah ini dengan penuh ranjau. Penjajahan ini tamat secara rasminya apabila Perjanjian British – Siam ditanda tangani pada tahun 1909 yang telah menghilangkan sebahagian besar kawasan Kedah dan memisahkan Patani dari dunia Melayu. Setelah 136 tahun pemisahan Selatan Thai dari Negeri - negeri Melayu fakta yang biasa kita baca ialah punca peperangan di Kedah datangnya daripada pengkhianatan oleh golongan bangsawan Kedah sendiri yang menginginkan kekuasaan bagi diri mereka sendiri. Hal yang sama berlaku kepada hampir kesemua negeri – negeri Melayu yang lain iaitu Perak, Selangor, Patani, dan Kelantan yang pada waktu itu menerima kesan secara lansung daripada Kerajaan Chakri. Namun kesilapan dari dalam dan pengkhianatan yang berlaku telah memudahkan lagi tentera Thai menakluk, menjarah dan membunuh semua orang Melayu di negeri tersebut.

            Namun kajian ini juga ingin membawa kepada satu sudut lain yang mungkin akan membuka minda anda tentang apakah penyebab – penyebab lain yang membawa kepada keinginan Siam untuk menguasai Negeri – negeri Utara dan Ligor yang berusaha sedaya upaya untuk menguasai selatan Thai. Hari ini walaupun terpisah dari sudut kenegaraan namun hubungan budaya dan sejarah bekas negeri- negeri Melayu namun semuanya kekal sehingga kini. Kajian ini bukanlah bersifat akademik ia sekadar penulisan biasa yang diharapkan mampu memberi sedikit gambaran tentang keadaan yang berlaku serta segala penulisan didalam buku ini adalah bersifat pandangan peribadi penulis semata – semata. 

            Pada dasarnya kajian ini mungkin dianggap sebagai sebuah bahan penulisan yang menyambung atau mengumpulkan hampir kesemua kajian-kajian terdahulu namun ternyata dalam membuat pengkajian ini telah ditemukan pelbagai pendapat, hipotesis dan teori yang berbeza dari sejarawan seluruh dunia. Masing-masing melihat Perang Melayu-Siam ini dari kaca mata mereka yang tersendiri. Di kaca kita sebagai mangsa sudah pastilah kita melihat tindakan Thai itu tersangat kejam dan tindakan British pula begitu menganiayakan kita. Namun tidak pula bagi pihak Thai kerana sebagai penakluk sudah pastilah nafsu untuk menguasai tiap inci tanah di Alam Melayu ini begitu membuak-buak. Manakala British pula lebih kepada sikap opportunisnya yang datang semata-mata untuk memonopoli laluan perdagangan utama dunia pada ketika itu.
            Walaupun begitu agak menjengkelkan apabila penulisan British samada dari sudut rekod rasmi,jurnal dan sebagainya mereka mendakwa bahaawa mereka merupakan sekutu kepada Sultan Kedah sedangkan tiada satu pun tindakan yang diambil oleh mereka menguntungkan pihak Kedah kecuali di pihak mereka semata. Seharusnya kita tidak harus lagi terpengaruh dengan dakyah yang seperti ini kerana sepanjang tempoh 1767-1842 British lebih mementingkan kedudukan Thai dan ia terbukti apabila British menyerang Burma pada tahun 1824 sedangkan mereka hubungan mereka adalah lebih lama berbanding dengan hubungan British-Thai. Walaupun terdapat sebilangan pegawai British di Pulau Pinang menyebelahi Sultan Kedah namun keputusannya tetap sama iaitu Kedah tetap juga terjajah pada akhirnya.
            Kesan daripada sejarah ini muncul pada tahun 1850an dan seterusnya apabila British menguasai negeri-negeri Melayu sedikit demi sedikit manakala Thai pula mencengkam kawasan-kawasan selatan dan Segenting Kra. Kajian ini belumlah sempurna kerana terlalu besar lapangan kajiannya yang secara tidak sedar menimbulkan pelbagai pendapat tentang apakah sebenarnya yang berlaku kepada sejarah Melayu semenjak kedatangan British pada tahun 1767 itu. Terpenting sekali dalam menilai semula sesebuah sejarah semua pihak haruslah menumpukan memahami situasi, politik dan keadaan semasa yang berlaku pada waktu itu. Sejarah harus dilihat dengan lebih luas konteksnya bukan seperti melepas batuk ditangga yang pada akhirnya tidak menyelesaikan apa jua masalah-masalah dalam sejarah terutamanya di peringkat bawahan dan generasi akan datang.
 Kepada Allah Kita Berserah!.
Gajah Putih Di Bumi Geroda
ISBN 978-967-13777-1-0
RM 50.00

Maklumat lanjut sila layari fb
https://www.facebook.com/KitabSejarahMalaya/



Sebahagian rakaman video yang dapat kami kongsi semasa Bicara Buku "Gajah Putih Di Bumi Geroda:Perang Melayu Siam 1767-1842 dengan kerjasama Taman Pustaka  di Pesta Buku Selangor pada hujung Julai yang lalu.