Malaysia-Indonesia : Lalang Beza daripada Serai Tetapi Tetap Bangsa Rumput -Part 2

By
Manakala sepanjang pemerintahan British di Malaya, pemerintahan yang dijalankan lebih lembut dan hanya tertumpu kepada cara untuk memperolehi hasil ekonomi tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak “British lebih berpegang kepada prinsip berbelanja dengan kewangan yang ada dan berjimat cermat dalam sebarang urusan”. Setelah berjaya membentuk Negeri-negeri Selat,
Bendera NNS
British telah mengambil dasar tidak campur tangan kepada keadaan politik semasa negeri-negeri Melayu yang lain sehingga bulan September 1893 apabila Kerajaan England mengatakan perlunya wakil-wakil British di Negeri-negeri Selat untuk campur tangan dalam hal-ehwal negeri-negeri Melayu sekitarnya bagi menjaga aktiviti perniagaan mereka dengan mengadakan hubungan dagangangan secara langsung dengan negeri-negeri tersebut. Maka, di Tanah Melayu pada waktu itu, jarang sekali berlaku pemberontakan dan pembunuhan secara besar-besaran sepertimana yang berlaku ke atas penduduk Hindia Timur walaupun pada peringkat awalnya terdapat penentangan daripada pembesar-pembesar tempatan. Namun begitu, secara keseluruhannya penentangan ini bersifat tidak menyeluruh kerana tiadanya campur tangan secara langsung daripada pemerintah.


Angin perubahan kesatuan nasionalisme Indonesia itu bermula dengan dasar-dasar cukai yang dibawa oleh Thomas Stamford Raffles yang pada waktu itu menjadi Leftenan Gabenor di pulau Jawa akibat daripada penyerahan Betawi kepada Inggeris oleh Belanda pada tahun 1811. Kemudian, setelah berlakunya perubahan pentadbiran di Hague, para pemimpin Belanda telah cuba untuk memperbaiki dan memberikan kebebasan kepada masyarakat Indonesia sejajar dengan idea-idea kemanusiaan di Eropah pada waktu itu.  Beberapa parti politik telah ditubuhkan seperti Budi Utomo, Sarekat Islam, Muhammdiyah dan lain-lain sekitar tahun 1900-1930. Sistem ini dapat dilihat dalam bukunya The History of Java. Manakala di Tanah Melayu pembentukan awal kesatuan orang-orang Melayu terbentuk sewaktu lahirnya Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu bila mana kedua-dua entiti ini termasuk Negeri-negeri Selat talah ditadbir dibawah seorang Gabenor Jeneral yang menyelia pentadbiran dan pengurusan negeri-negeri tersebut. Walaupun tidak nampak di mana kejelasan kesatuan itu, namun daripada beberapa perspektif, kewujudan negeri-negeri ini memberi gambaran akan adanya sifat menyatukan penduduk-penduduk Tanah Melayu pada waktu itu. Pentadbiran British pada waktu itu juga telah memberikan kebebasan kepada penduduk tempatan untuk mewujudkan persatuan-persatuan dalam membincangkan hal ehwal masyarakat tempatan. Bagi orang-orang Melayu, persatuan ini telah mendapat galakan dan sokongan daripada para sultan.

Secara amnya, kebanyakan kajian berkenaan nasionalisme Tanah Melayu dan Indonesia lebih tertumpu kepada pemupukan kesedaran dan kebangkitan awal nasionalisme pribumi pada tahun-tahun 1900 bermula dengan kemasukan teknologi percetakan. Namun begitu, kesedaran awal yang disebut pada awal-awal tadi sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa angin perubahan mula timbul. Antara penyebab lainnya juga ialah penglihatan sesetengah orang-orang Melayu terhadap ekonomi dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Cina dan Peranakan seperti mana yang ditulis dalam buku “Asia Dalam Perubahan, Gilbert Khoo dan Doherty Loo”  orang-orang Melayu daripada Negeri Melayu Bersekutu dan kepulauan Riau yang telah berhijarah ke Singapura melihat akan kemajuan orang-orang asing yang telah maju dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial. Fakta ini diperkuatkan lagi dengan kajian oleh Prof Emeritus Khoo Kay Kim dalam jurnalnya bertajuk, “Nasionalisme Melayu 1900-1941: Suatu Tatapan Semula”, mengatakan pada saat itulah orang-orang Melayu merasakan betapa mundurnya kehidupan desa masyarakat Melayu pada waktu itu. Hal ini menyebabkan mereka berasakan pemerintahan Inggeris telah menjalankan pentadbiran yang tidak adil. Terdapat juga suara-suara yang memohon pertimbangan daripada pihak pemerintah dan para sultan untuk menjaga kebajikan orang–orang Melayu dalam semua lapangan agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan, pendidikan dan  mereka juga bimbang akan hilang lenyapnya bangsa Melayu pada suatu hari nanti.


Dasar–dasar baru yang lebih liberal telah diperkenalkan Raffles kepada masyarakat Jawa sehinggakan orang-orang Jawa mula sedar akan kebolehan mereka dalam memajukan ekonomi masyarakat pribumi. Raffles telah mengisytiharkan perdagangan bebas dan dasar ekonomi ini telah
dijadikan pegangan oleh Raffles dalam pentadbirannya; sistem paksaan telah digantikan dengan sistem kewangan yang lebih kukuh  yang mana beliau berharap dengan wang yang diperolehi oleh para petani dapatlah mereka membeli barangan buatan British. Bagi memantapkan lagi aliran pusingan wang, beliau telah mencadangkan agar pungutan cukai tanah tidak lagi dibayar dengan hasil tanaman tetapi menggunakan wang, namun beras masih lagi diterima sebagai bayaran cukai. Sayangnya, akibat masa pentadbirannya yang terlalu singkat, sistem yang dibawanya ini telah gagal sama sekali. Namun begitu, idea-idea kemanusian dan liberal yang dibawanya sedikit sebanyak telah membuka mata masyarakat Jawa pada ketika itu tentang perlunya bebas daripada penjajahan Belanda.

bersambung...