Malaysia-Indonesia : Lalang Beza daripada Serai Tetapi Tetap Bangsa Rumput -Part 1

By

Artikel kali ini adalah berkenaan perbandingan dan persamaan kemerdekaan Malaysia - Indonesia . Hingga saat ini ada sebilangan kecil teman-teman dari seberang mengatakan bahawa merdekanya mereka itu adalah hasil daripada pengorbanan darah  para pejuang mereka. Saya yakin ramai dari kita juga percaya akan slogan-slogan sedemikian dan merasakan kemerdekaan Malaysia dahulu adalah penuh dengan belas kasihan dan tiada lansung menampakkan semangat juang yang boleh dibanggakan. Sejauh manakah kebenaran itu dan berapa ramai dari kita yang mempunyai perspektif berbeza tentang ini? Sesungguhnya jadilah seorang penilai yang baik dalam apa jua situasi. Sejarah itu adalah sebuah penipuan bagi mereka yang malas dan ia juga boleh menjadi kebenaran bagi mereka yang mengembara ke dalam nya. Sejarah adalah pedoman untuk tamadun baru masa hadapan! Maralah Bangsaku Dengan Kudrat dan Nyawamu Demi Negaramu Malaysia!

Malaysia dan Indonesia itu seakan sama pada pemikirannya, hati budinya dan cara hidupnya, namun begitu ideologi dan politiknya berbeza antara sama lain. Masing-masing punya semangat cintakan negara dengan cara yang tersendiri sama ada melalui perkataan atau perbuatan yang jelas dengan masing-masing tetap ingin mempertahankan dan bangga akan tanah air tercinta. Biarpun terpaksa mengorbankan jiwa dan raga, namun itu semua sesuatu yang berharga dan akan dikenang-kenang sepanjang zaman. Namun begitu, dalam perbezaan itu kita tetaplah sebangsa iaitu daripada rumpun Melayu. Biar marah teramat sangat sekalipun, kita tetap bersaudara. Cubit paha kanan, paha kiri akan terasa. Begitulah kita bangsa Melayu yang sangat luas ertinya bersatu dan bersekutu dalam satu bahasa, satu darah dan satu budaya.

Sejujurnya apakah yang membuatkan kemerdekaan dan nasionalisme Malaysia dan Indonesia itu berbeza? Apakah jelas fakta dan perenggan yang menulis tentang kemerdekaan yang dicapai oleh kedua-dua negara ini mempunyai perbandingan daripada perkataan dan perbuatan? Sejauh manakah gerakan kemerdekaan di Malaya ini dianggap lemah oleh orang-orang Indonesia? Jika dikaji dan dibaca tiap helaian buku-buku, maka sudah pasti anda akan bertemu dengan jawapan itu. Dalam istilah sejarah, “baca di antara perenggan” dan pasti akan kelihatan jelas kepada persoalan yang ingin
dibincangkan. Nasionalisme kedua-dua negara ini boleh kita lihat dari abad ke-19 dan 20 hinggalah kedua-dua negara mencapai kemerdekaan masing-masing. Namun begitu, persoalan paling utama pada peringkat marhainis ialah apakah nyata benar Indonesia itu merdekanya dengan keringat dan darah? Atau apakah sekadar dengan diplomasi dan oportunis pemimpinnya berjaya memerdekakan tanah air mereka, yang nyatanya adalah seperti mana yang diketahui perbezaan pada semangat cintakan negara membuatkan negara jirannya berasa rendah diri dan tidak yakin pada pemerintahan yang telah lalu?

Benarkah kemerdekaan Indonesia itu secara keseluruhannya melalui peperangan seperti yang dikatakan oleh sebahagian daripada mereka? Dan sebahagian lain pula mengatakan bahawa orang Malaya itu bacul? Kesannya pada hari ini, kita kehilangan patriotisme terhadap negara dan lebih menjiwakan diri kita kepada Indonesia, sehingga ada yang percaya bahawa, Melayu Raya itu adalah gagasan besar daripada Sukarno. Hal ini bukan persoalan memburukkan sejarah lalu tetapi lebih kepada konteks pandangan dan buah fikir terhadap pembentukan jati diri bangsa MALAYA. 

Apabila dipersoalkan perkara ini kepada orang-orang yang terlibat secara lansung dalam peristiwa itu, banyaknya masih dengan anggapan Sukarno itulah juara dalam gerakan kemerdekaan. Manakala gerakan parti-parti yang wujud di Malaya pada waktu itu dianggap lemah. Betulkah begitu? Mereka juga tidak dapat memberikan gambaran yang jelas di mana hala tuju pembentukan nasionalisme Malaysia. Hasilnya boleh kita lihat pada hari ini, jika di Malaysia orang-orang Melayu menganggap bangsanya itu sebagai sebuah bangsa yang lemah dan tidak mandiri dan semacam tidak dapat maju dalam pelbagai lapangan manakala di Indonesia pula masyarakatnya walaupun masih diselubungi dengan hidup desa yang tidak begitu moden, namun semangat dan kepercayaan mereka itu kepada daya saing negaranya begitu kuat dan sangat ampuh.
   
            Dalam buku Pemikiran Di Malaysia: Sejarah dan Aliran, Abd Rahman Hj Abdullah nasionalisme Melayu itu terbahagi kepada 2, iaitu “Nasionalis Radikal” yang bersikap anti penjajah dan “Nasionalis Konservatif”, iaitu mereka yang bersikap menyokong penjajah. Manakala dalam buku Radical Malay Politics - Firdaus Haji Abdullah, “Nasionalis Konservatif diwakili oleh birokrat yang berpendidikan barat manakala Nasionalis Radikal diwakili oleh golongan berpendidikan Islam dan Vernakular Melayu. Golongan Radikal selalu ditentang oleh golongan konservatif yang mendapat layanan baik daripada Kolonial.”

Pada awal abad ke-20 setelah berlakunya revolusi industri di Eropah, masyarakat yang dijajah juga menerima sedikit sebanyak tempias daripada pemodenan itu. Walaupun pada peringkat awalnya terhad dan hanya berbentuk kepada perubahan dasar pentadbiran, namun sedikit sebanyak telah membuka peluang kepada orang-orang tempatan (Malaya-Indonesia) untuk merintis jalan ke arah kemerdekaan, walaupun pada awalnya seolah-olah tiada langsung keinginan untuk merdeka dan masing-masing seakan selesa dengan kemajuan ekonomi yang dicapai. Di sini ingin saya membuat perbandingan kepada asas pembentukan kesatuan itu.Sepanjang pemerintahan Belanda ke atas Jawa dan pulau lainnya, pentadbiran yang dibawa adalah bersifat keras yang mana sebarang penentangan oleh masyarakat tempatan akan dihapuskan sama sekali tanpa kompromi, dengan segala kelengkapan persenjataan moden. Pada waktu itu, Belanda telah berjaya mengawal hampir keseluruhan kepulauan Hindia Timur (Indonesia) dan berjaya mengawal hasil dagangan utama seperti kopi dan lada hitam. Sepanjang menjalankan pemerintahan ke atas Hindia Timur, terdapat beberapa perubahan yang cuba dibawa akibat daripada perubahan-perubahan yang berlaku di Eropah, namun secara keseluruhannya perubahan dasar itu tetap tidak mengubah dasar mereka untuk menjajah Indonesia buat selama-lamanya.


bersambung.........