Malaysia-Indonesia : Lalang Beza daripada Serai Tetapi Tetap Bangsa Rumput -Part 3

By //
Di Tanah Melayu pula pada waktu itu, kesedaran mula timbul setelah kemasukan orang-orang Cina dan India dan mereka telah menuntut agar diberikan hak yang sama seperti orang-orang Melayu. Maka, mula timbul kesedaran orang-orang Melayu untuk bersatu padu dalam memikirkan hak
Hugh Clifford semasa di Afrika
keistimewaan yang telah dijanjikan oleh British. Namun begitu, dasar pecah perintah yang dibawa Inggeris kekal sepertimana yang dikatakan oleh Hugh Clifford atas sebab British percaya, sesunguhnya kehidupan sedia ada bagi orang-orang Melayu sudah cukup dan tidak perlu melakukan perubahan yang drastik selagi mana hak-hak istimewa orang-orang Melayu tidak diubah dengan harapan agar kegiatan perdagangan British dapat berjalan seperti sedia kala
.

            Menurut buku “Sejarah Indonesia Abad ke 20” penulisan Bernhard Dahm, beliau mengatakan bahawa kemerdekaan Indonesia itu terhasil daripada keberanian beberapa pemimpin Indonesia seperti Sukarno, Hatta, Sjahrir dan KH Mansur, namun pada masa yang sama sebenarnya jika diteliti lebih halus ianya lebih kepada kelicikan dan kepintaran Sukarno dan para nasionalis yang lain menguruskan para penjajah mereka. Semasa Indonesia berada di bawah pentadbiran Belanda, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh Sukarno dan para pemimpin lainnya, sehinggakan Sukarno sendiri ditangkap dan dibuang ke Sumatera. Ketika pemerintahan Jepun atas sebab-sebab perlunya sokongan daripada penduduk tempatan dan pasukan tentera bagi menghadapi tentera Berikat, Sukarno telah diberi kebebasan untuk bersuara, namun teks-teks ucapannya harus ditapis dahulu walaupun pada awalnya seolah-olah Jepun akan memberikan kemerdekaan kepada Indonesia dan hak kebebasan bersuara kepada Sukarno. Namun secara jelasnya, selepas beberapa kali berunding dengan Jepun untuk mendapatkan kemerdekaan, kata putus tidak juga diperolehi kerana Jepun menganggap Indonesia itu terlalu kaya dan sumber buminya akan menampung segala perbelanjaan yang telah dikeluarkan bagi menghadapi peperangan. Maka pada sudut ini yang boleh dianggap sebagai “pasca merdeka” para pemimpin Indonesia sendiri telah menjalankan diplomasi untuk mencapai kemerdekaan dan bukanlah peperangan semata-mata.

            Lain pula halnya di Tanah Melayu pada waktu itu, tentera Jepun lebih memberi kebebasan kepada Orang-orang Melayu dan memusuhi orang-orang Cina kerana Peperangan Dunia 1 dan penaklukan Manchuria pada awal abad ke-20. Parti Komunis Malaya dan MPAJA telah dibentuk bagi melancarkan serangan gerila ke atas tentera Jepun. Pihak Jepun telah melatih sebahagian besar orang-orang Melayu bagi menghadapi situasi ini seperti mana mereka melatih 65 ribu orang-orang Jawa sebagai persediaan menghadapi tentera Belanda dan tentera Berikat. Secara tidak lansung, jurang di antara kaum itu semakin besar. Kesatuan Melayu Muda telah menubuhkan pasukan tentera tempatan digelar Pembela Tanah Air (PETA) bagi menghadapi ancaman komunis. Perjuangan membanteras komunis kekal sehingga kemerdekaan dan berterusan sehingga pemimpin-pemimpin PKM melarikan diri ke sempadan Thai. Manakala parti-parti berhaluan kiri telah diharamkan oleh British setelah sekembalinya mereka ke Tanah Melayu.


            Nasionalisme Melayu muncul dengan jelas apabila Gagasan Malayan Union dicadangkan oleh British. Atas kesedaran yang timbul dengan melihat merdekanya Indonesia pada waktu itu, menimbulkan perasaan yang meluap-luap di kalangan orang-orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Setelah beberapa rundingan dan syarat-syarat penyatuan kaum tercapai, akhirnya Malaya mencapai kemerdekaan. Maka dengan jelas bahawa datangnya Inggeris itu dengan kertas dan pulangnya mereka itu dengan kertas dan di Indonesia pula datangnya mereka dengan senjata dan akhirnya mereka sendiri dihambat dengan senjata, walaupun hakikatnya pejuang Indonesia sendiri sudah tewas di medan tempur dan hanya kekuatan diplomasi Sukarnolah yang berjaya menamatkan peperangan pada tahun 1947-1949 itu. Sekali lagi dengan “diplomasi” jugalah Indonesia terselamat.


            Kemerdekaan yang lahir pada 17 Ogos 1945 adalah tindakan yang berkesan walaupun disusuli dengan perasaan takut dan kurang yakin. Dalam konteks pengkajian sejarah bukankah kajian tema sebelum, semasa dan sesudah sesuatu peristiwa itu membawa maksud dan huraian yang berbeza? Maka, apakah diperkirakan bahawa  peperangan melawan Belanda dan Jepun itu sebagai peperangan pembebasan? Pembebasan daripada penjajah tanpa hala tuju yang sebenar dan bersifat dinamik. Peperangan-peperangan yang berlangsung itu pula lebih bersifat kedaerahan dan bukannya penyatuan ulung.

bersambung...

Malaysia-Indonesia : Lalang Beza daripada Serai Tetapi Tetap Bangsa Rumput -Part 2

By //
Manakala sepanjang pemerintahan British di Malaya, pemerintahan yang dijalankan lebih lembut dan hanya tertumpu kepada cara untuk memperolehi hasil ekonomi tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak “British lebih berpegang kepada prinsip berbelanja dengan kewangan yang ada dan berjimat cermat dalam sebarang urusan”. Setelah berjaya membentuk Negeri-negeri Selat,
Bendera NNS
British telah mengambil dasar tidak campur tangan kepada keadaan politik semasa negeri-negeri Melayu yang lain sehingga bulan September 1893 apabila Kerajaan England mengatakan perlunya wakil-wakil British di Negeri-negeri Selat untuk campur tangan dalam hal-ehwal negeri-negeri Melayu sekitarnya bagi menjaga aktiviti perniagaan mereka dengan mengadakan hubungan dagangangan secara langsung dengan negeri-negeri tersebut. Maka, di Tanah Melayu pada waktu itu, jarang sekali berlaku pemberontakan dan pembunuhan secara besar-besaran sepertimana yang berlaku ke atas penduduk Hindia Timur walaupun pada peringkat awalnya terdapat penentangan daripada pembesar-pembesar tempatan. Namun begitu, secara keseluruhannya penentangan ini bersifat tidak menyeluruh kerana tiadanya campur tangan secara langsung daripada pemerintah.


Angin perubahan kesatuan nasionalisme Indonesia itu bermula dengan dasar-dasar cukai yang dibawa oleh Thomas Stamford Raffles yang pada waktu itu menjadi Leftenan Gabenor di pulau Jawa akibat daripada penyerahan Betawi kepada Inggeris oleh Belanda pada tahun 1811. Kemudian, setelah berlakunya perubahan pentadbiran di Hague, para pemimpin Belanda telah cuba untuk memperbaiki dan memberikan kebebasan kepada masyarakat Indonesia sejajar dengan idea-idea kemanusiaan di Eropah pada waktu itu.  Beberapa parti politik telah ditubuhkan seperti Budi Utomo, Sarekat Islam, Muhammdiyah dan lain-lain sekitar tahun 1900-1930. Sistem ini dapat dilihat dalam bukunya The History of Java. Manakala di Tanah Melayu pembentukan awal kesatuan orang-orang Melayu terbentuk sewaktu lahirnya Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu bila mana kedua-dua entiti ini termasuk Negeri-negeri Selat talah ditadbir dibawah seorang Gabenor Jeneral yang menyelia pentadbiran dan pengurusan negeri-negeri tersebut. Walaupun tidak nampak di mana kejelasan kesatuan itu, namun daripada beberapa perspektif, kewujudan negeri-negeri ini memberi gambaran akan adanya sifat menyatukan penduduk-penduduk Tanah Melayu pada waktu itu. Pentadbiran British pada waktu itu juga telah memberikan kebebasan kepada penduduk tempatan untuk mewujudkan persatuan-persatuan dalam membincangkan hal ehwal masyarakat tempatan. Bagi orang-orang Melayu, persatuan ini telah mendapat galakan dan sokongan daripada para sultan.

Secara amnya, kebanyakan kajian berkenaan nasionalisme Tanah Melayu dan Indonesia lebih tertumpu kepada pemupukan kesedaran dan kebangkitan awal nasionalisme pribumi pada tahun-tahun 1900 bermula dengan kemasukan teknologi percetakan. Namun begitu, kesedaran awal yang disebut pada awal-awal tadi sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa angin perubahan mula timbul. Antara penyebab lainnya juga ialah penglihatan sesetengah orang-orang Melayu terhadap ekonomi dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Cina dan Peranakan seperti mana yang ditulis dalam buku “Asia Dalam Perubahan, Gilbert Khoo dan Doherty Loo”  orang-orang Melayu daripada Negeri Melayu Bersekutu dan kepulauan Riau yang telah berhijarah ke Singapura melihat akan kemajuan orang-orang asing yang telah maju dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial. Fakta ini diperkuatkan lagi dengan kajian oleh Prof Emeritus Khoo Kay Kim dalam jurnalnya bertajuk, “Nasionalisme Melayu 1900-1941: Suatu Tatapan Semula”, mengatakan pada saat itulah orang-orang Melayu merasakan betapa mundurnya kehidupan desa masyarakat Melayu pada waktu itu. Hal ini menyebabkan mereka berasakan pemerintahan Inggeris telah menjalankan pentadbiran yang tidak adil. Terdapat juga suara-suara yang memohon pertimbangan daripada pihak pemerintah dan para sultan untuk menjaga kebajikan orang–orang Melayu dalam semua lapangan agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan, pendidikan dan  mereka juga bimbang akan hilang lenyapnya bangsa Melayu pada suatu hari nanti.


Dasar–dasar baru yang lebih liberal telah diperkenalkan Raffles kepada masyarakat Jawa sehinggakan orang-orang Jawa mula sedar akan kebolehan mereka dalam memajukan ekonomi masyarakat pribumi. Raffles telah mengisytiharkan perdagangan bebas dan dasar ekonomi ini telah
dijadikan pegangan oleh Raffles dalam pentadbirannya; sistem paksaan telah digantikan dengan sistem kewangan yang lebih kukuh  yang mana beliau berharap dengan wang yang diperolehi oleh para petani dapatlah mereka membeli barangan buatan British. Bagi memantapkan lagi aliran pusingan wang, beliau telah mencadangkan agar pungutan cukai tanah tidak lagi dibayar dengan hasil tanaman tetapi menggunakan wang, namun beras masih lagi diterima sebagai bayaran cukai. Sayangnya, akibat masa pentadbirannya yang terlalu singkat, sistem yang dibawanya ini telah gagal sama sekali. Namun begitu, idea-idea kemanusian dan liberal yang dibawanya sedikit sebanyak telah membuka mata masyarakat Jawa pada ketika itu tentang perlunya bebas daripada penjajahan Belanda.

bersambung...

Malaysia-Indonesia : Lalang Beza daripada Serai Tetapi Tetap Bangsa Rumput -Part 1

By //

Artikel kali ini adalah berkenaan perbandingan dan persamaan kemerdekaan Malaysia - Indonesia . Hingga saat ini ada sebilangan kecil teman-teman dari seberang mengatakan bahawa merdekanya mereka itu adalah hasil daripada pengorbanan darah  para pejuang mereka. Saya yakin ramai dari kita juga percaya akan slogan-slogan sedemikian dan merasakan kemerdekaan Malaysia dahulu adalah penuh dengan belas kasihan dan tiada lansung menampakkan semangat juang yang boleh dibanggakan. Sejauh manakah kebenaran itu dan berapa ramai dari kita yang mempunyai perspektif berbeza tentang ini? Sesungguhnya jadilah seorang penilai yang baik dalam apa jua situasi. Sejarah itu adalah sebuah penipuan bagi mereka yang malas dan ia juga boleh menjadi kebenaran bagi mereka yang mengembara ke dalam nya. Sejarah adalah pedoman untuk tamadun baru masa hadapan! Maralah Bangsaku Dengan Kudrat dan Nyawamu Demi Negaramu Malaysia!

Malaysia dan Indonesia itu seakan sama pada pemikirannya, hati budinya dan cara hidupnya, namun begitu ideologi dan politiknya berbeza antara sama lain. Masing-masing punya semangat cintakan negara dengan cara yang tersendiri sama ada melalui perkataan atau perbuatan yang jelas dengan masing-masing tetap ingin mempertahankan dan bangga akan tanah air tercinta. Biarpun terpaksa mengorbankan jiwa dan raga, namun itu semua sesuatu yang berharga dan akan dikenang-kenang sepanjang zaman. Namun begitu, dalam perbezaan itu kita tetaplah sebangsa iaitu daripada rumpun Melayu. Biar marah teramat sangat sekalipun, kita tetap bersaudara. Cubit paha kanan, paha kiri akan terasa. Begitulah kita bangsa Melayu yang sangat luas ertinya bersatu dan bersekutu dalam satu bahasa, satu darah dan satu budaya.

Sejujurnya apakah yang membuatkan kemerdekaan dan nasionalisme Malaysia dan Indonesia itu berbeza? Apakah jelas fakta dan perenggan yang menulis tentang kemerdekaan yang dicapai oleh kedua-dua negara ini mempunyai perbandingan daripada perkataan dan perbuatan? Sejauh manakah gerakan kemerdekaan di Malaya ini dianggap lemah oleh orang-orang Indonesia? Jika dikaji dan dibaca tiap helaian buku-buku, maka sudah pasti anda akan bertemu dengan jawapan itu. Dalam istilah sejarah, “baca di antara perenggan” dan pasti akan kelihatan jelas kepada persoalan yang ingin
dibincangkan. Nasionalisme kedua-dua negara ini boleh kita lihat dari abad ke-19 dan 20 hinggalah kedua-dua negara mencapai kemerdekaan masing-masing. Namun begitu, persoalan paling utama pada peringkat marhainis ialah apakah nyata benar Indonesia itu merdekanya dengan keringat dan darah? Atau apakah sekadar dengan diplomasi dan oportunis pemimpinnya berjaya memerdekakan tanah air mereka, yang nyatanya adalah seperti mana yang diketahui perbezaan pada semangat cintakan negara membuatkan negara jirannya berasa rendah diri dan tidak yakin pada pemerintahan yang telah lalu?

Benarkah kemerdekaan Indonesia itu secara keseluruhannya melalui peperangan seperti yang dikatakan oleh sebahagian daripada mereka? Dan sebahagian lain pula mengatakan bahawa orang Malaya itu bacul? Kesannya pada hari ini, kita kehilangan patriotisme terhadap negara dan lebih menjiwakan diri kita kepada Indonesia, sehingga ada yang percaya bahawa, Melayu Raya itu adalah gagasan besar daripada Sukarno. Hal ini bukan persoalan memburukkan sejarah lalu tetapi lebih kepada konteks pandangan dan buah fikir terhadap pembentukan jati diri bangsa MALAYA. 

Apabila dipersoalkan perkara ini kepada orang-orang yang terlibat secara lansung dalam peristiwa itu, banyaknya masih dengan anggapan Sukarno itulah juara dalam gerakan kemerdekaan. Manakala gerakan parti-parti yang wujud di Malaya pada waktu itu dianggap lemah. Betulkah begitu? Mereka juga tidak dapat memberikan gambaran yang jelas di mana hala tuju pembentukan nasionalisme Malaysia. Hasilnya boleh kita lihat pada hari ini, jika di Malaysia orang-orang Melayu menganggap bangsanya itu sebagai sebuah bangsa yang lemah dan tidak mandiri dan semacam tidak dapat maju dalam pelbagai lapangan manakala di Indonesia pula masyarakatnya walaupun masih diselubungi dengan hidup desa yang tidak begitu moden, namun semangat dan kepercayaan mereka itu kepada daya saing negaranya begitu kuat dan sangat ampuh.
   
            Dalam buku Pemikiran Di Malaysia: Sejarah dan Aliran, Abd Rahman Hj Abdullah nasionalisme Melayu itu terbahagi kepada 2, iaitu “Nasionalis Radikal” yang bersikap anti penjajah dan “Nasionalis Konservatif”, iaitu mereka yang bersikap menyokong penjajah. Manakala dalam buku Radical Malay Politics - Firdaus Haji Abdullah, “Nasionalis Konservatif diwakili oleh birokrat yang berpendidikan barat manakala Nasionalis Radikal diwakili oleh golongan berpendidikan Islam dan Vernakular Melayu. Golongan Radikal selalu ditentang oleh golongan konservatif yang mendapat layanan baik daripada Kolonial.”

Pada awal abad ke-20 setelah berlakunya revolusi industri di Eropah, masyarakat yang dijajah juga menerima sedikit sebanyak tempias daripada pemodenan itu. Walaupun pada peringkat awalnya terhad dan hanya berbentuk kepada perubahan dasar pentadbiran, namun sedikit sebanyak telah membuka peluang kepada orang-orang tempatan (Malaya-Indonesia) untuk merintis jalan ke arah kemerdekaan, walaupun pada awalnya seolah-olah tiada langsung keinginan untuk merdeka dan masing-masing seakan selesa dengan kemajuan ekonomi yang dicapai. Di sini ingin saya membuat perbandingan kepada asas pembentukan kesatuan itu.Sepanjang pemerintahan Belanda ke atas Jawa dan pulau lainnya, pentadbiran yang dibawa adalah bersifat keras yang mana sebarang penentangan oleh masyarakat tempatan akan dihapuskan sama sekali tanpa kompromi, dengan segala kelengkapan persenjataan moden. Pada waktu itu, Belanda telah berjaya mengawal hampir keseluruhan kepulauan Hindia Timur (Indonesia) dan berjaya mengawal hasil dagangan utama seperti kopi dan lada hitam. Sepanjang menjalankan pemerintahan ke atas Hindia Timur, terdapat beberapa perubahan yang cuba dibawa akibat daripada perubahan-perubahan yang berlaku di Eropah, namun secara keseluruhannya perubahan dasar itu tetap tidak mengubah dasar mereka untuk menjajah Indonesia buat selama-lamanya.


bersambung.........

Sriwijaya - Mencari Bulan Yang Hilang

By //
Kisah 35 buah Armada Kapal Parsi

Kajian dan penulisan kali ini sebenarnya sudah 3 tahun saya tangguhkan disebabkan ianya sekadar hypotesis picisan yang tidak ada estetika di peringkat pengajian tinggi. Saya sangat percaya dan yakin bahawasanya nenek moyang kita bukanlah terlalu "benak" dalam menerima Islam. Cuma kita sendiri yang perlu melihat dengan skop yang lebih luas dan berfakta. Pesan saya jadilah penilai yang baik. Berfikirlah dengan akal dan kudrat bukan dengan nafsu semata! 

Menurut buku “L’Empire Sumatranais” terdapat 35 buah kapal-kapal dari Parsi belayar meninggalkan Yaqut ( Ceylon – pada hari ini disebut sebagai Sri Lanka) menuju ke Sriwijaya pada 717M dan singgah selama lima bulan sebelum meneruskan perjalanan ke Tiongkok (China). [1]Perlulah dijelaskan disini bahawa Parsi yang disebut pada ketika itu berada didalam kekuasaan Daulah Umaiyyah.

            Sebelum dilanjutkan lagi tarikh 717M itu, marilah kita lihat sedikit apakah yang menyebabkan “kehadiran” mereka. Sekitar tahun 710M Panglima Qutaibah Ibn Muslim telah sampai disempadan China (Tiongkok)* tapi serangan beliau telah terhenti setelah wafatnya Khalifah al-Walid[2] manakala Panglima Muhammad ibn al-Qasim telah menyerang Muran (Baluchistan-Afganistan) bersama 6000 tentera Syria antara tahun 711M - 712M. Antara kota yang ditawan ialah kota pelabuhan al-Daybul yang mempunyai sebuah patung Buddha dan kota al-Nirun (Hydrabad-India)  sehinggalah kota Multan (utara Punjab) pada 713M [3] yang pada ketika ini berada dibawah kekuasaan  Raja Daher yang memerintah kerajaan Sind, sebelum berlakunya penaklukan Sind terdapat suatu berita tentang segerombolan lanun telah menawan kaum wanita para pedagang muslim yang tinggal di Yaqut, Gabenor al- Hajjaj Ibn Yusof as Saqafi telah meminta supaya Raja Daher menyelamatkan para tawanan tersebut , tetapi permintaan tersebut ditolak atas alasan beliau tidak mempunyai kuasa keatas mereka. Atas alasan tersebut maka Negeri Sind*(terletak didalam Pakistan hari ini) telah ditakluk dan di Islamkan secara rasminya.[4]Seterusnya pada 725M pasukan Islam telah sampai di Malwa dan seterusnya melanjutkan pembukaan Kashmir pada tahun berikutnya.

Pada 718M Raja Indravarman telah mengutus sepucuk surat memohon agar diutuskan kepada baginda seorang ulama yang boleh mengajarkannya tentang Islam. Inilah petikan surat Maharaja Sriwijaya kepada Khalifah Umar Abdul Aziz.[5]

"Dari raja kepada Raja yang berketurunan dari seribu raja, yang kandangnya dipenuhi dengan beribu gajah dan kawasan taklukannya adalah dua sungai yang mengairi tanam-tanaman, wangi-wangian, pohon pala dan kapur wangi, yang wangiannya semerbak sehingga 12 batu jauhnya…kepada raja Arab, yang tidak menyekutukan tuhan dari tuhan yang satu. Beta telah menghantar hadiah, yang tidak seberapa sebagai tanda persahabatan dan beta harap agar anda menghantar seseorang yang dapat mengajarkan ajaran Islam serta menunjukkan undang-undangnya."
(Ibnu Rabbih 860-940 Masihi). [6]

Menurut catatan China Raja Jayanasa telah menghantar wakil ke China buat pertama kalinya pada tahun 695M. Kemudian tiba pula wakil dari Raja Sri Indravarman pada tahun 702,716,724M[7]
dan kemudian pada tahun 728 dan 742M dibawah nama Raja Liu-teng-wei-kung[8] Suatu kenyataan yang tidak pernah dibangkitkan ialah usaha-usaha dakwah yang dijalankan Khalifah Umar Abd Aziz pada717M-720M, hubungannya telah membawa kepada pemelukan Islam oleh Srindravarnman iaitu Raja di Jambi pada 718M, secara tidak lansung menukarkan nama Sriwijaya kepada Sribuza. [9]Kenyataan itu agak ganjil tetapi ia bukanlah perkara mustahil kerana Dinasti Ming ( 1398M- 1644M) pernah didakwa ialah sebuah Kerajaan Islam.[10] Namun sepanjang penelitian saya sedikit kepelikan iaitu pada 720M hubungan diplomatik antara kedua negara seolah-olah terhenti disitu sahaja setelah Raja Indravarman dan Khalifah umar mati pada tahun yang sama malah tiada pula percubaan untuk menafsirkan nama pengganti Raja tersebut.

            Kebanyakan ahli sejarah alam Melayu bersetuju bahawa telah berlaku perhubungan antara Sriwijaya-Umayyah berlaku secara tidak lansung, memandangkan keduanya memiliki keutamaan perdagangan di kawasan-kawasan India hingga ke China . Menurut sumber China, orang Ta Shi ini membeli hasil dagangan seperti rotan dan bijih timah dan dibawa pulang ke Yaman. [11]Saudagar-saudagar dari seluruh dunia juga menjalankan perniagaan dan membeli hasil barangan di bumi Sriwijaya pada waktu itu.

            Namun terdapat pula catatan yang agak “istimewa”  apabila dirujuk kepada sumber – sumber bukan Islam. Konon nya seorang pendeta Buddha bernama Vajrabhodi telah menemui 35 buah kapal dagang dari Parsi di pelabuhan Yakut (Ceylon) pada awal kurun ke 8M yang kononnya membawa hasil dagangan permata. [12]Pendeta ini kemudiannya menumpang kapal dagang ini untuk sampai ke Srivijaya [13]dan pada tahun 720M Vajrabhodi telah belayar ke Kuil Jianfu di Chang’an, China, yang menemaninya ketika itu ialah Amoghavajra. [14] Jadi atas pendapat manakah harus kita rujuk? Memang benar setakat ini pembuktian secara arkeologi tidak lansung menjumpai apa-apa yang menjurus kepada Islamisasi di sini. Namun setelah huraian yang begitu panjang yang telah saya berikan adakah ini suatu kebetulan atau penipuan sejarah kita?. Fakta yang begitu pendek mengatasi huraian Islam yang begitu panjang, ini sesuatu yang menakjubkan!



**Harap-harap Ustaz Zainul Asri baca artikel saya ini.. hehe

[1] Sejarah umat Islam Jilid 4- m/s 427; Buya Hamka
* In 751 the Muslims defeated a Chinese army at Talas,north of Oxus River, in what is now Kyrgystan. Saudi Armco World Vol 56, Number 4 – Paul Lunde
[2] Sejarah dan Kebudayaan Islam – m/s 124 ; Prof Dr. Ahmad Shalaby
Serangan ke atas Sind telah berlaku sejak zaman Khulafa ar-Rasyidin lagi namun gagal untuk menawan kawasan tersebut sehinggalah ke zaman Khalifah al-Walid. Muhammad Ibn al-Qasim telah menyerang kawasan Mukran atau Baluchistan (Afganistan) pada 710M bersama 6000 tentera dari Syria seterusnya menakluki kawasan Sind pada 711-712M. Antara kawasan yang ditawan ialah pelabuhan al-Daybul (mempunyai sebuah patung Buddha) serta kota al-Nirun(Hydarabad). Serangan ini dilanjutkan pula pada 713M sehingga ke kawasan Multan di utara Punjab – History of The Arabs Jilid 10-m/s 211; Philip K Hitty. Selepas dipanggil pulang pada 714M, penduduk India memberontak dan akhirnya kawasan Islam cuma kekal di kawasan Debalpur - Heroic Hindu Resistance to Muslim Invaders (636 AD to 1206 AD) – m/s 17; Sita Ram Goel.
[3] Sejarah dan Kebudayaan Islam – m/s 128 ; Prof Dr. Ahmad Shalaby
* Negeri Sind kekuasaannya berada disepanjang sungai Indus.
[4] Selepas dipanggil pulang pada 714M, penduduk India memberontak dan akhirnya kawasan Islam cuma kekal di kawasan Debalpur - Heroic Hindu Resistance to Muslim Invaders (636 AD to 1206 AD) – m/s 17; Sita Ram Goel.
[5] Asia Tenggara Tradisional – m/s 64 Abdul Rahman Hj Abdullah
*Islamic Studies - SQ. Fatimi
[6] Nama sebenar beliau ialah Ahmad Ibn Muhammad Ibn Abd Rabbih, dilahirkan di Cardoba,Sepanyol semasa era Daulah Umayyah. Beliau merupakan seorang penyajak terkenal pada era itu. Penulisan beliau yang terkenal ialah Al-Iqd al Farid (The Unique Necklace) dan buku sampingannya pula bertajuk ‘Uyun al-akhbar (The Fountain Stories). – Wikipedia.
[7] “Again embassies are recorded from Fo-che under the years 702 and 716, while eight years later, in 724, an ambassador described as Kumàra (perhaps crown prince) presented to the emperor two dwarfs, a Zengi (Negro) girl, a troupe of musicians and five-coloured parrots, and the emperor, in his turn, conferred a title on the Kumâra and gave him hundred pieces of silk before sending him back to his country; a title was also conferred on the king of Sri Vijaya who is called Che-li-to-lo-pa-mo (Srïndravarman?). The present of multi coloured parrots by yet another embassy is recorded in 728. The last of the embassies of this period falls in the beginning of 742 A. D. when another prince of Sri Vijaya visited the Chinese court and the emperor conferred another title on the king who had sent the embassy.” -Bulletin de l'Ecole française d'Extrême-Orient - m/s 252 Nilakanta Sastri K. A. I. Sri Vijaya.
[8] The Indianized States of South East Asia – m/s 83-84; G.Coedes
[9] Sejarah umat Islam Jilid 4
[10] Asia Tenggara Tradisional – m/s 65 Abdul Rahman Hj Abdullah (USM)
[11] CHAU JU-KUA- m/s 119 -120 (Nota) ;
Nama Ta-shi adalah sebutan kolektif untuk beberapa negara. Terdapat sepenuhnya seribu banyak negara, tetapi dari orang-orang yang kita tahu nama ini terdapat hanya beberapa ini. Terdapat negara Ma-li-setahun kapal meninggalkan Kuang clou semasa atau selepas bulan kesebelas (Disember) dan bahagian akhir dengan angin utara, boleh menjadikan negara ini dipanggil Lan-li (Sumatera) dalam empat puluh hari. Di sini mereka perdagangan, membeli Sapan-kayu, timah, dan rotan panjang yang berwarna putih. Pada tahun berikutnya, pada musim sejuk, mereka menetapkan ke laut sekali lagi dan, dengan angin timur laut memihak kepada mereka, mereka membuat pelayaran ke negeri ini Ma-li-pa, (ic, pantai Hadramaut di Saudi) dalam beberapa masa enam puluh hari.
[12] Ships and the Development of Maritime Technology on the Indian Ocean – m/s 115 ; Ruth Barnes & David Parkin
[13] L'EMPIRE SUMATRANAIS DE CRÎVIJAYA- m/s 7; GABRIEL FERRAND
When Vajrabodhi arraived in Sri Lanka he saw 35 ship Persian vessel dock at port. However, these Persian vessels were bound for ports futher east than Sri Lanka, and it was one of these that Vajrabodhi travelled to the Kingdom of Fo-Chi (San Fo Chi/ Srivijaya)
[14] Cultural and Cosmological Impact of Iranian Civilization in Vietnam and Peninsular Areas of South East Asia – Prof Shahab Sutudeh Nejad. 

Tanah Baru Naga Selatan Part 2.

By //
Kuomintang, Islam & PKC 

Setelah membaca beberapa bahan ada beberapa perkara yang temui dan apa yang dikongsikan ini adalah sebahagian dari penulisan KSM. Semoga bermanfaat!

1. KMT ditubuhkan oleh Dr Sun Yat Sen dari suku Hakka.

2. KMT juga dikenali sebagai Parti Nasionalis China dan telah beberapa kali menukar nama akibat keadaan politik semasa.

3. Pada peringkat awal Dr Sun Yat Sen bergabung dengan Yuan Shih Kai seorang General Tentera dan seorang Gabenor wilayah Shantung namun selepas Reformasi 1911. Yuan telah melantik dirinya sebagai Maharaja Baru China pada tahun 1915.

4. Tujuan penubuhan KMT ialah membebaskan China dari penjajahan negara asing dan menggatikan sistem monarki dan menyatupadukan semua rakyat cina tanpa mengira etnik dan agama mereka.

5.Dr. Sun Yat Sen kecewa dan lari ke Jepun bersama beberapa pengikutnya pada tahun 1914 dan pulang
semula ke Kwantung pada tahun 1920.

6. Beliau meninggal pada tahun 1925 dan perjuangannya diteruskan oleh Chiang Kai Shek.

7. KMT mendapat sokongan penuh daripada etnik Hui dan Uighur yang beragama Islam dan telah terlibat sepenuhnya dalam konflik Gansu 1927-1930.

8. 3 orang etnik Ma pernah dilantik sebagai Gabenor Jeneral  iaitu  , Ma Qi, Ma Hongkui dan Ma Hongbin. Bai Chongxi, dari etnik Hui pernah dilantik sebagai Menteri Pertahanan Kebangsaan dan merupakan kedudukan tertinggi yang pernah dicapai oleh muslim China.

9. Mereka pernah merancang untuk menubuhkan wilayah Islam China -  Turkestan Timur sebanyak 2 kali antara tahun 1934-1949.

10. Selepas perang saudara yang membawa kepada kekalahan KMT. Sebahagian besar dari pengikut KMT dari Selatan China yang terdiri daripada suku Hokkein,Teochiu, Hakka Hainan dan lain-lain lagi telah berhijrah ke Taiwan dan serata negara Asia Tenggara. Manakala etnik Hui dan Uighur kekal di China dan membentuk populasi Islam China terbesar.

11. Ini merupakan  salah satu faktor  yang menyebabkan kaum Islam China ditindas oleh pemerintah China iaitu Parti Komunis China.

12. KMT masih lagi kekal memerintah Taiwan hingga ke hari ini dengan menjalankan dasar 1 parti 1 negara walaupun piliharaya umum diadakan. (mcm Singapore je..hehe)

13. PKC - KMT = Utara vs Selatan. Walau sama bangsa tetapi ideologi memisahkan mereka dan permusuhan tersebut kekal hingga hari ini walaupun kelihatan orang Taiwan-China boleh keluar masuk ke negara masing-masing tanpa takut.

14. Lee Kuan Yew juga dari suku Hakka. Mungkin atas sebab faktor suku dan berasal dari Selatan China maka tidak hairanlah Singapore-Taiwan mempunyai hubungan yang akrab dan menjadikan Amerika sebagai pelindung mereka pada hari ini...

Bersambung...

Naga vs Harimau - Peperangan Di Hujung Dunia Bahagian Akhir

By //
Artikel ini adalah sambungan dari bahagian pertama. Diharapkan kepada yang terlepas pada bab awal bacalah artikel tersebut supaya lebih faham dan tidak membuat andaian melulu. Semoga bermanfaat!!
2.Imbangan Penduduk dan Kesannya

            Pada hari ini kaum Melayu lebih suka menganggap punca sebenar kepada penguasaan kaum Cina di kawasan bandar adalah disebabkan oleh dasar pecah perintah yang dilakukan oleh British. Tidak dinafikan tentang hakikat itu, namun pernahkah kita mengambil sedikit masa untuk mengkaji apakah penyebab sebenar mengapakah perkara ini berlaku? Apakah orang Melayu langsung tidak hairan kepada perkara ini dan apakah kesan yang berlaku selepas itu terhadap kedua-dua kaum ini? Masalah penduduk dan kemasukan imigran ini membawa masalah yang lebih buruk dan bukan hanya tertumpu kepada masalah kekurangan tenaga kerja seperti yang dicanang oleh British.

            Menurut C.P Fitzgerald penghijrahan kaum Cina ke Tanah Melayu pada waktu itu adalah disebabkan keadaan politiknya yang aman dan keadaan pembangunan yang begitu pesat terutamanya di Singapura berbanding dengan negara seperti Indonesia dan Filippina. Di samping itu, British lebih terbuka dalam menerima kaum Cina di Tanah Melayu berbanding Belanda dan Sepanyol yang menghalau mereka pulang ke tanah asal mereka. Sikap masyarakat Cina yang hanya datang untuk mendapatkan perkerjaan, kekayaan dan tidak campur tangan dalam hal ehwal politik Tanah Melayu membuatkan British langsung tidak mempedulikan mereka. British juga menganggap kaum Cina lebih rajin dan senang diberikan apa-apa jua tugas. Kaum Cina juga dianggap sebagai kaum yang “industrious”, pernyataan ini dipersetujui sendiri dalam buku “Revolusi Mental” yang menyatakan bahawa mereka (Cina) tidak berputus asa dalam mengejar kejayaan. Maka pada abad ke-19 menyaksikan  jumlah  kaum Cina menjadi majoriti penduduk di Singapura dan di bandar besar Tanah Melayu.

            Dalam buku Perbandaran dan Orang Melayu” kajian Dr. Raja Mohd Affandi menyatakan antara tahun 1931-1970 berlaku tambahan perbandaran secara pesat. Hasil daripada perancangan kerajaan untuk memodenkan Tanah Melayu. Jumlah kaum Cina di bandar besar dari tahun 1931 hingga 1957 adalah sebanyak 62 peratus berbanding Melayu sebanyak 20 peratus dan mula menunjukan perubahan pada tahun 1970 dengan 59 peratus kaum Cina dan 26 peratus kaum Melayu. Antaranya penyebab kurangnya orang Melayu tinggal di bandar besar selain daripada yang dinyatakan di atas ialah mereka (orang Melayu) sudah terbiasa dengan kehidupan desa dan berasa selesa dengan keadaan tersebut. Kehidupan orang Melayu pula banyak dikuasai oleh golongan pemerintah dan masih bersikap konservatif. Maka ruang ekonomi bagi orang Melayu pada waktu itu hanya dikuasai oleh golongan tertentu sahaja. R.O Winstedt telah menyatakan bahawa apabila seorang Melayu berniaga maka dia akan mendapat tentangan daripada orang Cina dan India. Oleh itu atas semua faktor tersebut menjadikan orang Melayu begitu perlahan dalam mengejar kemajuan ekonomi.
Sir Frank Swettenham antara pegawai British
 yang menyokong Desentralisasi

            Maka tidak hairanlah jika lebih awal dari zaman 30-an itu, para pelancong yang datang ke Malaya menganggap Malaya ini adalah sebahagian daripada negara China kerana pembangunan dan budaya di kota dikuasai oleh orang Cina. Selepas kemerdekaan dan pertumpahan darah pada tahun 1969, kerajaan secara tidak langsung telah memutuskan bahawa pejabat kerajaan harus dibangunkan di kawasan bandar dengan tujuan untuk “memaksa” orang Melayu keluar dari kampung. Pelbagai tawaran dan insentif untuk bekerja sebagai penjawat awam dilaksanakan pada zaman 60-an bagi tujuan tersebut. Sistem pelajaran di sekolah juga dibangunkan dengan begitu pesat dengan memberi penekanan kepada pendidikan untuk kemajuan. Sama ada sedar atau tidak dasar ini sedikit sebanyak memberi imbangan penduduk di kawasan bandar pada tahun-tahun berikutnya.

3.Penjawat Awam

Secara peribadinya saya berpendapat antara punca mengapa sebahagian besar kaum Cina tidak mahu berkhidmat dalam sektor kerajaan mungkin kerana mereka kecewa apabila setelah sekian lama membantu British dalam mengurus tadbir Tanah Melayu pada saat-saat akhirnya kuasa dan kedudukan mereka diserahkan kepada kaum Melayu. Kaum Cina seolah-olah berharap dengan usaha mereka itu sedikit sebanyak akan membuatkan British memberikan mereka hak yang sama sepertimana yang diperolehi oleh orang Melayu. Namun begitu, sama ada mereka sedar atau tidak perjanjian antara British dan Sultan Melayu telah menafikan desakan dan permintaan mereka.

 Dalam kajian Abdul Latiff Abu Bakar bertajuk Akhbar, Desantralisasi dan Persatuan Negeri Melayu”, menyatakan akibat dasar desantralisasi yang diwujudkan oleh British kesan daripada ketidakpuasan hati raja-raja Melayu tentang perjalanan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menyebabkan  kaum Cina memberikan tentangan yang kuat. Langkah Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Lawrance Guillemard yang ingin memulangkan kuasa Majlis Mesyuarat Persekutuan (MMP) kepada Majlis Mesyuarat Negeri (MMN) mendapat pujian daripada surat khabar Melayu dan kaum Melayu. Penentangan kaum Cina jelas kelihatan semasa MMP diadakan pada tahun 1925 apabila wakilnya Choo Kia Peng telah melahirkan kebimbangan dengan pendapatnya iaitu apabila dasar ini dijalankan berkemungkinan sistem perkhidmatan awam yang dipenuhi oleh orang Cina akan digantikan oleh orang Melayu.  Desakan dan penentangan ini
Sir Cecil Clementi 
berterusan pada tahun-tahun 30-an apabila Sir Cecil Clementi menyuarakan pendapatnya untuk mempercepatkan proses penyerahan tersebut. Sekali lagi kaum bukan Melayu menentang, mereka bimbang apabila kuasa MMP ini diserahkan secara mutlak maka beberapa jabatan akan diletakkan di bawah penguasaan kerajaan negeri dan secara tidak langsung mereka akan kehilangan jawatan. Bagi mereka dasar ini hanya untuk orang Melayu sahaja dan langsung tidak memberi sebarang faedah kepada mereka. Manakala bagi orang Melayu, kejayaan desakan ini sedikit sebanyak menjamin kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang kerana kaum Cina sudah mempunyai kedudukan yang tinggi dalam bidang ekonomi.

4.Ketenteraan

 Dalam bidang kententeraan pula selalu ditimbulkan persoalan tentang patriotisme dan nasionalisme kepada Malaysia. Kaum Cina menyatakan mereka juga sanggup mempertahankan negara dari anasir luar, namun dalam kesamaran itu jelas kelihatan bilangan kaum bukan Melayu amatlah sedikit dalam pasukan beruniform. Maka pandangan orang Melayu, kaum Cina tidak dianggap sebagai sebuah kaum yang akan mempertahankan tanah air dan sering dilihat sebagai kaum yang akan mengkhianati negara. Ini bukanlah suatu persoalan yang sukar untuk dijawab, memetik karangan “Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia” semasa 14 hari ketiadaan pemerintahan di Tanah Melayu, ataupun digelar “vaccum of power” setelah tentera Jepun mengisytiharkan kekalahan mereka pada Mei 1945.  PKM lah yang mempunyai kekuatan militer terkuat pada waktu itu, namun mereka yakin dapat menguasai negara melalui jalan aman dan politik. Akibat daripada keganasan yang dilakukan mereka ke atas orang Melayu telah menimbulkan prasangka buruk dan dendam orang Melayu kepada kaum Cina, dan tidak terlupakan ialah Peristiwa Bukit Kepong. PKM sendiri mengakui inilah kesilapan terbesar mereka sepanjang tempoh mereka berusaha untuk mewujudkan Republik Komunis Tanah Melayu.  

            Perseteruan ini berlanjutan dalam keadaan yang semakin buruk apabila MPAJA dianggotai majoriti kaum Cina. Kaum Melayu pula dilihat banyak menyertai unit tentera sukarelawan Jepun seperti Giguyun, Jikeidan, Giyutai dan lain-lain lagi sepertimana yang tercatat dalam buku Forging a Singapore Statehood 1965-1995. Force 136 pula adalah sebuah pasukan partisan yang kecil jumlah keanggotaannya dan sudah tentulah ia tidak dapat menyaingi kekuatan Bintang Tiga. Tugas utama pasukan ini melindungi istana daripada diambil alih oleh Bintang Tiga. Orang Melayu mula keliru dan ada yg menyesal kerana tidak mengambil peluang sepenuhnya tawaran Jepun untuk menyertai anggota sukarelawan bersenjata. Mungkin akibat kekurangan pendedahan dan galakan sewaktu zaman British dahulu sedikit sebanyak menyebabkan orang Melayu agak kurang
Chin Peng semasa menerima pingat dari British
bersemangat untuk pelawaan itu. Peristiwa pertempuran antara kedua-dua pasukan ini dilaporkan berlaku di kawasan yangg mempunyai komposisi penduduk kaum yang agak seimbang seperti di Batu Pahat, Muar, Sungai Manik, Parit Buntar dan beberapa kawasan di Negeri Sembilan. Pertempuran ini dilaporkan berlaku dalam sekitar 1944 hingga 1945, dan berlarutan sehingga tahun 1950.
 Namun hakikatnya PKM juga adalah alat ciptaan British untuk memperlihatkan “superiority” British. Pasti ramai dalam kalangan dari kita sedar bahawa tanpa bantuan teknikal dan taktikal British, PKM juga tidaklah ke mana-mana. Sehingga ke hari ini pingat OBE (Order of British Empire) yang dikurniakan kepada Chin Peng tidak ditarik balik walaupun PKM dianggap sebagai pemberontak. Tanpa komunis sudah tentu British kelihatan lemah oleh penduduk Tanah Melayu setelah mereka (British) tewas kepada Jepun pada Perang Dunia Kedua dan memang telah menjadi dasar Kongres Komunis Sedunia untuk menghapuskan sebarang bentuk penjajahan agar ideologi komunis diterima di negara Asia Tenggara walaupun pada suatu ketika berlaku pakatan antara blok demokrasi-komunis dalam menghapuskan fahaman fasisme.

            Di samping itu, sewaktu penentangan Jepun di Malaya, Tentera Jepun lebih menghormati orang Melayu dan diberi layanan yang agak baik jika dibandingkan apa yang mereka lakukan terhadap kaum Cina. Peperangan yang panjang di China menjadikan tentera Jepun tidak menyukai kaum China. Ini jelas dalam apa jua bentuk rekod tentang kekejaman Jepun, kaum Cina lebih ditindas berbanding orang Melayu dan India. Keistimewaan yang diberikan oleh British dan Jepun sedikit sebanyak menambahkan lagi dendam perseteruan kaum Cina terhadap masyarakat Melayu dan hingga ke hari ini orang Melayu yang berkhidmat sebagai polis atau tentera akan digelar “anjing British” walaupun pada hakikatnya mereka lebih dulu digelarkan sedemikian rupa.

5.Penutup
            Secara keseluruhannya semua pihak harus sedar akan kelebihan dan kekurangan tentang masalah kaum di Malaysia. Terserahlah kepada kita untuk menilai sejauh mana hubungan yang rapuh ini. Ruang lingkup yang lebih luas harus dilihat dari kaca mata yang tenang dan tidak bersandarkan nafsu semata-mata. Banyak orang boleh membicarakan persolan kaum ini tapi berapa ramai yang mahu menilai semula peristiwa lalu dan mengambil iktibar daripadanya. Dalam menjaga hak-hak peribumi orang Melayu terpaksa menerima hakikat bahawa negara ini dikongsi bersama dengan kaum lain. Sesuatu yang pahit untuk ditelan tapi jika kepahitan itu dijadikan penawar tidak mustahil ia mampu menjadi ubat yang mujarab. Bagi rakyat bawahan dalam kedua-dua kaum ini masing-masing sependapat yang melaga-lagakan mereka adalah politik perkauman yang lansgung tidak memberi apa-apa keuntungan. Rakyat dipergunakan akibat kedangkalan mereka dalam ilmu dan percaturan politik. Apakah kata-kata Sun Tzu “Untuk membunuh musuh kamu perlu mengenali musuh” sesuai digunakan dalam pengkajian ini. Sekali lagi terserahlah kepada kedua-dua kaum dalam menentukan hala tuju negara tercinta ini. Perjalanan yang begitu jauh sudah pun kita lalui. Seharusnya kita harus lebih dewasa dalam berfikir dan membuat tindakan agar tiada pihak yang menaruh syak di antara satu sama lain. Semoga amanlah Malaysia selamanya.



            

Naga vs Harimau - Peperangan Di Hujung Dunia

By //

           Sebenarnya artikel ini sudah dihantar ke sebuah majalah tempatan pada bulan November yang lalu, mungkin tema dan isinya tidak bersesuaian dengan keadaan semasa maka saya beranggapan artikel ini tertolak dari dipaparkan didada majalah berkenaan. Maka dari dibiar tersimpan dimuka skrin komputer adalah lebih baik saya kongsikan kepada anda. Semoga bermanfaat!!

    Naga itu bagi masyarakat Asia selalunya disimbolikkan sebagai negara dan kaum Cina manakala Hujung Dunia pula beerti Tanah Melayu manakala Harimau sudah pastilah simbolisme yang cukup terkenal dikalangan kita dan tidak perlu dipanjangkan lagi. Tentang kedua-dua persoalan ini tidak perlulah dipanjangkan kerana ianya hanya simbolik dalam menunjukkan sejarah dan budaya sesebuah kaum.

            Penulisan ini sebenarnya ingin memberi sedikit pandangan tentang sikap masyarakat Cina di Malaysia yang amat jarang sekali dibicarakan. Agak hairan juga apabila terdapat beberapa kajian yang dilakukan oleh orang Cina dalam membicarakan sejarah orang Melayu, namun amat kurang pula orang Melayu membicarakan persoalan sejarah kaum Cina di Malaysia yang hanya ditumpukan hanyalah pada bidang politik mereka sahaja tanpa mengetahui punca-punca sebenar dan siapakah mereka ini.  Makalah ini bukanlah bertujuan untuk memburukkan atau bersifat perkauman, tetapi lebih kepada memberi penerangan kepada orang Melayu, apakah penyebab utama yang membawa kepada perseteruan abadi antara kedua-
Naga vs Harimau - Peperangan Di Hujung Dunia
dua kaum ini. Jika para pembaca sedar dewasa ini terdapat pelbagai buku yang membicarakan tentang soal hubungan di antara kedua-dua kaum ini. Antaranya ialah buku bertajuk 13 Mei oleh Leon Comber dan Cina Ketiga oleh C.P Fitzgerald, kedua-dua penulis ini merupakan orang Barat yang mengkaji sosiomasyarakat Cina di Malaya pada waktu itu.  Mereka telah cuba sedaya mungkin untuk bersikap neutral dalam membahaskan kekurangan dan kelebihan antara kedua-dua kaum ini. Bagi saya tidak semua orientalis itu bersikap berat sebelah dan anti Melayu, jika diamati betul-betul, kita akan melihat bahawa British dan Orientalis lebih menghormati orang Melayu kerana bumi Malaya adalah milik ketuanan Melayu. Telah menjadi resam bagi penjajah untuk lebih menghormati anak pribumi pada waktu itu tidak kiralah sama ada penjajah Inggeris, Belanda mahupun Jepun.
            Persoalannya kini, apakah masih lagi wujud istilah “rasisme” apabila membicarakan tentang sejarah sesebuah kaum? Terserah kepada anda untuk membuat penilaian. Makalah ini ditulis untuk memberikan pencerahan dan menerangkan sedikit sebanyak dapatan yang saya perolehi hasil daripada penganalisisan berkenaan pola fikir masyarakat Cina di Malaya. Diharapkan apa-apa yang dipaparkan ini dapatlah menambahkan lagi kefahaman kita yang sebenarnya tentang permasalahan kaum di Malaysia ini.

            Dalam prakata buku China Ketiga menjelaskan bahawa “Kaum China sama seperti kaum Yahudi, yang menguasai perniagaan – tidak disukai malah dibenci serta tidak diterima oleh masyarakat pribumi di tempat mereka tinggal, perbezaan antara mereka ialah kaum China mempunyai negaranya sendiri berbanding dengan Yahudi dan sejak zaman berzaman merupakan sebuah kuasa besar di Asia Timur”. Secara umumnya memang tidak dapat disangkal oleh sesiapapun bahawa masyarakat Cina telah dibawa masuk oleh British untuk tujuan membuat kerja-kerja melombong bijih timah pada awal abad ke-19 walaupun pada abad yang lebih awal lagi sudah ada perhubungan di antara Negeri-negeri Melayu dan China. Mereka datang ke sini sekadar untuk menjalankan perdagangan, kemudiannya pulang ke negara asal. Ada pula yang tinggal di sini untuk beberapa waktu bagi mengumpul kekayaan dan kemudiannya pulang ke tanah air mereka. Akibat daripada kesedaran nasionalisme yang kuat diseluruh dunia pada tahun-tahun 30-an, maka masyarakat Cina yang berada di Asia Tenggara mula memikirkan untung nasib mereka sama ada untuk terus menetap di negara yang mereka kunjungi ataupun pulang ke negara asal.  
    
1.Rajin lawan Malas

            Jika diteliti secara lebih halus banyak pendapat dan kajian yang telah diberikan terhadap kaum Cina yang berhijrah semasa pertengahan abad ke-19. Kesemua mereka sependapat bahawa orang Cina pada peringkat awal langsung tidak campur tangan dalam mana-mana sistem politik di negara yang mereka tinggal. Mereka lebih memberi tumpuan kepada bidang perniagaan dan mencari kekayaan. Kebanyakan mereka ini pada peringkat awalnya merupakan golongan miskin dan terpaksa menempuh pelbagai cubaan untuk sampai di Malaya dan negara sekitar Malaya. Mereka belayar beribu-ribu batu jauh dari tempat asal mereka semata-mata untuk memperbaiki hidup mereka di kampung. Adakalanya mereka dibunuh dan dirompak di tengah laut, diperdagangkan dan dijual kepada orang lain sebagai hamba. Sedikit sebanyak semangat untuk mencari kekayaan itu menjadi sangat kuat.

            Manakala bagi orang Melayu (pribumi) mereka sudah berasa selesa dengan keadaan yang serba cukup walaupun tidak kaya dengan hasil makanan yang mencukupi dan tidak terlalu terdedah dengan budaya barat membuatkan orang Melayu pada waktu itu cukup selesa tanpa perlu berusaha banyak. Di samping itu, sikap taat setia yang tidak berbelah bahagi oleh masyarakat Melayu kepada sultan dan golongan pembesar sedikit sebanyak memperlihatkan kemunduran orang Melayu pada pandangan Barat. Masyarakat Melayu memberi seluruh kepercayaan mereka kepada golongan ini dalam mengurus tadbir negeri dan kehidupan mereka. Orang Melayu juga menganggap hidup di dunia ini hanya sementara sahaja, maka cukuplah berusaha sekadar untuk hidup dan tidak perlu mengejar kemewahan dunia. Maka lahirlah ungkapan, “pemalas dan tidak berdikari” ke atas orang Melayu. Orang Barat seperti L.R Wheeler dan B.W Hodder menyatakan bahawa orang Melayu tidak mempunyai pelajaran yang tinggi dan amat berpegang teguh kepada agama Islam dan kurang dipengaruhi oleh dorongan material.

            Syed Hussein Al-Attas dalam bukunya “Mitos Pribumi Pemalas” telah memberikan kita jawapan yang sangat tepat iaitu “Seandainya orang melayu itu pemalas maka siapakah yang menanam padi dan menghasilkan beras sewaktu kaum-kaum lain masuk ke Tanah Melayu dan siapa pulakah yang menjadi pekerja kontrak semasa proses pembangunan Tanah Melayu selepas perang?, dan sekiranya Melayu itu mundur, siapakah yang melombong dan menghasilkan emas sebelum orang-orang Barat dan imigran masuk kesini?” Pada hemat saya, seandainya Melayu itu mundur bagaimanakah pula orang Melayu mempunyai kerajaan, sistem pentadbiran dan budayanya tersendiri? Apakah disebabkan sikap Melayu yang santun itu membuatkan masyarakat Melayu dianggap lemah dan mundur? Adakah apabila dasar sekular diadaptasi oleh orang Melayu menjadikan mereka lebih moden dan maju? Inilah persoalan yang sering menjadi alat anasir luar untuk meracuni anak Melayu supaya menghina bangsanya sendiri.

            Walau bagaimanapun, bagi golongan penjajah, masyarakat Cina dianggap sebagai golongan kelas kedua kerana bagi kolonial mereka ini (orang Cina) sekadar mesin untuk menghasilkan kekayaan dan bukannya sebagai orang yang mempunyai hak untuk masuk campur dalam hal ehwal Malaya. Masyarakat Cina juga pada waktu itu lebih menumpukan kepada keadaan politik di negara China. Pergolakan dalaman yang tercetus di antara Dinasti Manchu dan Kuomintang dan Pemberontakan Taiping membuatkan masyarakat “Cina luar” (kaum Cina yang berhijrah) ini tidak campur tangan di tempat mereka menetap. C.P Fritzel menyatakan bahawa orang Cina selepas jatuhnya era dinasti lebih menjuruskan diri mereka ke dalam politik “survival of the fittest”, yang mana golongan atau parti yang kuat dan mampu memberi kesenangan kepada mereka akan mendapat sokongan penuh sama ada dari sudut kewangan ataupun tenaga. Maka tidak hairanlah sekiranya hari ini kelihatan jelas di Malaysia orang Cina mula beralih arah kepada sebuah parti yang lain.