Setol : Saudara Kedah Yang Hilang

By //


Ramai dari kita sering melupakan tentang sejarah selatan Thai yang pernah menjadi sebahagian dari Tanah Melayu yang sering kita ingat adalah Patani memandangkan negeri itu hingga kini masih berjuang untuk membebaskan diri mereka daripada negara Thai. Walaubagaimana pun apabila merujuk kepada sejarah Kedah sudah pastilah anda tidak akan dapat melupakan Setol iaitu sebuah negeri yang bersempadan dengan Perlis dan Kedah hari ini. Salah satu destinasi pelancongan yang menarik di kawasan Setol ialah Hatyai dan Pulau Pipi. Artikel ini ditulis sepenuhnya mengikut bahasaasal di kawasan Setol iaitu bahasa Melayu.



Setol pada suatu masa dahulu dikenali sebagai Negeri Mambang Segara yang bermaksud Negeri Dewa Laut memandangkan negeri ini mempunyai banyak 14 buah pulau. Sungai utama bagi Setol ialah Sungai Lakngu dan Pulau Burung, Pulau Bara dan Thongwa pula merupakan pelabuhan utama bagi kawasan ini. Dipercayai bahawa di kuala Sungai Lakngu pernah wujud sebuah kerajaan tua namun tidak dapat dipastikan bilakah tarikh kewujudannya namun ia masih lagi tertakluk dibawah kerajaan Kedah. Kawasan Setol ini mempunyai bilangan penutur bahasa Melayu yang sangat ramai berbanding penduduk Thai. Namun akibat asimilasi dan kewajipan untuk mempelajari bahasa Thai di sekolah-sekolah menjadikan penduduk di kawasan ini boleh bertutur dalam 2 bahasa. Antara pelat bahasa yang dapat di dengar ialah pelat Kedah, Perak dan Setol yang menjadikan kawasan ini sebuah tempat yang sangat bagus untuk di jadikan kajian di peringkat akademik. 

Semasa berlakunya perebutan kuasa di antara kerabat Sultan Kedah, kawasan Setol ini telah diberikan kepada Tunku Bisnu setelah masalah perebutan itu mendapat campurtangan daripada pihak Siam yang di wakili oleh Ligor di bawah pentadbiran Nai Pai (adik kepada seorang saudagar Cina dari Chenak) manakala Tunku Abdullah atau Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Syah pula di angkat menjadi Sultan Kedah. Sejarah negeri Setol pada abad ke 19 lenyap seketika apabila Tunku Bisnu mangkat dan Setol dimasukkan semula sebagai sebuah kawasan hak milik negeri Kedah. 

Nama Setol muncul semula apabila Tunku Muhammad Saad menyerang angkatan Siam pada tahun 1832 di Hatyai namun pasukan itu telah mendapat tentangan sengit dan terpaksa berundur semula hingga ke Alor Ganu. Manakala Tunku Muhammad Saad pula telah lari ke Pulau Pinang dan akhirnya di berkas oleh pasukan British disana. Beliau kemudiannya dituduh kerana menghasut orang – orang Melayu untuk memberontak namun beliau di lepaskan kerana tidak cukup bukti bagi mendakwa beliau. Manakala Kedah diperintah oleh Phya Sinanuncit iaitu anak kepada Gabenor Ligor selama 18 tahun dari dari tahun 1824-1842. Pada tahun 1843 Setol diserahkan semula kepada Kedah sehinggalah Perjanjian Inggeris Siam pada tahun 1909 memisahkan kawasan ini dan seluruh kawasan selatan Thai kepada Siam hingga hari ini. 

Sumber 

Sejarah Negeri Setol, PSMCK 1970
Pengantar Patani, 1991
Al Tarikh Salasialah Negeri Kedah 1963

Gambar : Wat Rachativas

https://www.facebook.com/KitabSejarahMalaya/photos/pb.540897839352337.-2207520000.1451625023./820398301402288/?type=3&theater


Pulau Bidong : Sejarah Pelarian Vietnam Yang Dilupakan

By //
Pulau Bidong merupakan sebuah pulau yang dimiliki oleh Terengganu walaupun Pulau ini sudah tidak berpenghuni namun pada suatu masa dahulu sekitar awal 70an pulau ini pernah menjadi kawasan penempatan sementara bagi pelarian Vietnam kesan daripada perang saudara disana. Pulau Bidong telah mengangkat nama Malaysia di mata dunia sebagai sebuah negara yang menghargai kemanusiaan sejagat. Walau bagaimanapun Pulau ini telah menyaksikan kerasukan para pendatang ini membumi hangus dan menggondolkan kawasan tersebut demi memenuhi keperluan dan kehendak mereka untuk hidup. Para Vietnam pelarian ini telah lari dari kampung halaman mereka tanpa hala tuju dan akhirnya tersadai di pulau tersebut. Kerajaan Malaysia pada waktu itu menggelarkan mereka sebagai “Orang Hanyut Vietnam” (OHV).
Akibat daripada peperangan diantara pihak Vietnam Utara (KKVU) yang di sokong oleh China dan Selatan (KDVS) yang disokong Amerika menyaksikan ratusan bot-bot dari Vietnam sampai ke pulau ini. Pendaratan pertama OHV ini berlaku pada awal Mei 1975 dan menyaksikan jumlah keseluruhan mereka adalah sebanyak 1400 orang pada akhir tahun. Negara-negara dunia termasuk Amerika turut memberikan sokongan moral agar Malaysia melayani pelarian ini dengan sebaik mungkin.
Kedatangan OHV ini berlarutan sehingga tahun 1977 namun tiada satu pun negara asing yang datang membantu Malaysia bagi menguruskan mereka. Manakala di Thailand terdapat berita mengatakan para OHV ini dihalau dan diseksa oleh penduduk Thai dan pasukan keselamatan Thai. Selain Thai, Singapura dan Indonesia tidak menghadapi masalah kebanjiran penduduk kerana mereka bertindak menurut kepada kepentingan negara masing-masing walaupun tindakan mereka di kritik dan dikecam oleh negara-negara lain.
Pada 1/8/78 Pulau Bidong diwartakan sebagai kawasan larangan oleh kerajaan Terengganu bagi mengelak sebarang kemungkinan yang akan menyebabkan OHV ini dating ke kawasan tanah besar. Pada Oktober 1978 seramai 60 ribu telah ditempatkan di pulau ini dan menyaksikan pulau yang indah ini akhirnya menjadi gondol akibat daripada pembinaan rumah-rumah sementara oleh OHV ini. Lebih mengejutkan ketika PBB cuba memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini sebuah kapal bernama Hai Hong telah membawa sejumlah 2400 OHV ke Pelabuhan Kelang. Kehadiran mereka telah mencetuskan suasana panic di kalangan penduduk Malaysia yang bimbang akan berlakunya penghijrahan beramai-ramai oleh orang Vietnam yang seterusnya akan menimbulkan pelbagai masalah di dalam negara.
Pada Disember 1978, Kerajaan pusat teleh menubuhkan Pasukan Petugas Persekutuan dibawah kelolaan MKN bagi menguruskan para pelarian ini. Fungsi utama pasukan ini ialah menyediakan asas kemahiran bagi OHV sebelum dipindahkan ke negara dunia ketiga. Kuasa-kuasa besar dunia telah member pelbagai bantuan dan bekalan kepada negara bagi mempercepatkan proses ini dan akhirnya seramai 20 ribu OHV telah Berjaya dipindahkan. Sehingga tahun 1985 masalah OHV masih lagi tidak menemui noktah dan akhirnya kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan agar warga Vietnam ini di tapis dahulu sebelum diberi suaka politik. (Admin dapat info dulu ada pasukan Komunis Vietnam dalam PKM).
Akhirnya pada 30/11/1991 Pulau Bidong telah diserahkan semula kepada Kerajaan Terengganu dan sejumlah 221 orang OHV terkahir dari 252,390 OHV yang berada di pulau tersebut telah dihantar semula ke negara asal mereka. Kerajaan Terengganu dengan pantas telah mengambil pelbagai langkah bagi memulihara keadaan pulau ini. Pelbagai usaha telah dilakukan antaranya projek tanaman semula hutan, pemulihan pantai, pemuliharaan kesan tinggalan OHV dan banyak lagi. Hari ini Pulau Bidong merupakan antara destinasi tercantik di Terengganu dan merupakan antara pulau wajib singgah bagi pelancong dalam dan luar negara.
Admin: Dulu zaman mak ayah dan semua agensi kerajaan panik bila berlaku kebanjiran warga asing. Hari ini kita pulak panggil mereka untuk memenuhkan kawasan ladang yang bukan milik kita. Hehehe.. Itula.. Ada tanah korang jual.. ada ladang korang lego habis.. Sabar jelah.
Jangan lupa beli buku Tanah Baru Naga Selatan terbitan Geroda Merah yang hanya diedarkan oleh page ini. Kisah sejarah imigran Cina diseluruh dunia terutamanya di negara ini yang telah sedikit sebanyak merubah landskap politik negara hingga kini. Sisi gelap yang ramai tidak sedar…

Sumber
Dipetik dan diolah dari
Warisan: Monograf PSMCT Bil 7,1999
Maslaah Pendatang Haram Vietnam : Yahya Ismail 1979.

Hegemony Cina Seberang Laut

By //
Secara umumnya di Malaysia terdapat perasaan tidak senang diantara kaum akibat daripada masalah politik yang tidak pernah sepi di semua lapangan penulisan dan media. Namun hakikatnya jika diperhalusi secara realiti perasaan itu seolah-olah tiada lansung diantara kaum di Malaysia. Masing-masing boleh tersenyum dan bergurau senda dalam menjalani kehidupan seharian. Perasaan yang semacam ini jelas kelihatan terutamanya di kawasan-kawasan kampung. Namun agak berbeza dengan keadaan di bandar-bandar besar yang kelihatan agak tegang. Mungkin akibat daripada persaingan pernigaan dan sikap egoisme dalam membandingkan status kehidupan masing-masing menyebabkan ketegangan itu mewakili keseluruhan sikap masyarakat negara ini.Hari ini agak sukar mengatakan siapakah yang bersikap rasis, bersikap tidak menghormati budaya dan agama kaum lain serta siapakah penyebab utama kepada semangat ini. Jika dijejak kepada sejarah-sejarah lalu jelas membuktikan terdapat jurang perbezaan yang ketara diantara kaum di negara ini. Sikap penjajah yang sengaja membiarkan kaum Cina ini seolah-oleh meletakkan seekor ular didalam kandang harimau. Walaupun penjajah menganggap kaum Cina ini merbahaya namun mereka tetap menggunakan khidmat mereka kerana sikap rajin dan tidak putus asa yang ditunjukkan oleh kaum Cina.

Semangat kesukuan yang kuat juga menyebabkan kaum Cina berjaya dalam pelbagai bidang perniagaan yang diceburi dan semangat kesukuan ini sangat penting walaupun mereka sebangsa. Melalui persatuan-pesatuan berdasarkan nama suku kaum ini mereka memperolehi pelbagai faedah dan kebaikan terutamanya dalam bentuk kewangan dan modal perniagaan. Politik suku ini telah bermula sejak Dinasti Manchu dimana mereka yang merantau keluar dari Selatan China
menyerahkan untung nasib keluarga mereka kepada “kongsi” yang ditubuhkan oleh suku mereka sendiri. Pulangan kepada kongsi ini adalah dalam bentuk kewangan dimana mereka yang berdagang itu tadi akan memberi sebahagian daripada hasil perdagangan mereka kedalam kongsi tersebut. Maka tidak hairanlah aliran wang pusingan itu sentiasa mencukupi untuk menampung pelbagai keperluan kongsi tersebut. Selepas era moden akibat daripada kekacauan politik selepas Perang Dunia 1, kaum China ini mula keluar mencari kekayaan dengan lebih kuat. Mereka-mereka ini pula kebanyakannya dijadikan buruh oleh penjajah seperti British dan Belanda untuk bekerja disektor-sektor perlombongan,perladangan dan industri kecil. Didalam penulisan Barat mereka itu digelar “Overseas Chinese (Cina Seberang Laut)” . Kesungguhan yang ditunjukkan mereka dan sikap tidak campur tangan mereka didalam hal ehwal politik tempatan menyebabkan kolonial tidak mengambil tindakan tegas dan membiarkan mereka bebas bergerak. Pemimpin-pemimpin tempatan juga tidak begitu peduli kepada kemasukan mereka ini asalkan tidak menggangu sistem politik tempatan. Namun kesannya dirasai oleh masyarakat kelas bawahan terutamanya kaum pribumi sehinggakan pada satu ketika telah tercetus pelbagai reaksi kurang selesa dan pembunuhan keatas kaum Cina ini. Walaupun pihak British menyanjung tinggi akan sumbangan yang diberikan oleh kaum Cina didalam sektor pembangunan Tanah Melayu namun mereka menerima sedikit perhatian daripada kolonial, buruh Cina ini akan diambil melalui sistem ikat janji sehingga ia dimansuhkan pada tahun 1914.[4] Jit Shin Pau melaporkan kaum China Seberang Laut menerima layanan buruk dimana-mana tempat mereka berada sebagai contohnya di Hindia Belanda, Negeri Thai dan Amerika.[5] Ini menyebabkan kaum Cina dianggap sebagai kaum minoriti di Tanah Melayu walaupun mereka telah menguasai kebanyakan bidang didalam negara pada waktu itu.

Perang Dunia ke 2 juga memberi kesan dan tekanan yang begitu dasyat kepada kaum Cina. Mereka dibunuh secara beramai-ramai oleh Jepun diseluruh negara Asia Tenggara namun mereka dengan cepat bangun dan memperbaiki semula keadaan ekonomi dan kedudukan mereka tanpa menghiraukan apa yang sudah berlaku keatas mereka. Hakikatnya mereka menyimpan dendam yang amat mendalam kepada Jepun dan kaum pribumi yang pernah membantu Jepun. Kaum Cina merasa begitu dikhianati oleh kaum peribumi kerana beranggapan mereka telah sama-sama membangunkan ekonomi sesebuah negara yang mereka diami. Segala bentuk kekayaan dan kemewahan yang dirasai
oleh kaum lain adalah hasil daripada jaringan perniagaan yang dikuasai mereka. Oleh itu tidak hairanlah apabila terdapat beberapa percubaan untuk menguasai politik tempatan selepas itu.Hari ini walaupun kelihatan kaum Cina sudah dapat menerima hakikat akan keterpaksaan mereka untuk mengadaptasi adat dan budaya tempatan namun mereka masih lagi cuba mengekalkan cara kehidupan mereka melalui kesatuan-kesatuan yang wujud sejak berabad lamanya. Sikap misteri mereka dan seolah-olah tidak ambil peduli kepada sistem sosio masyarakat tempatan sebenarnya lebih kepada untuk mengelak pertembungan secara lansung  dengan kaum pribumi namun mereka tetap mencuba untuk menguasai sedikit sebanyak kekuasaan politik setempat dengan tujuan utamanya adalah untuk mengekalkan perniagaan yang dijalankan. Bagi mereka hanya kekayaan saja yang dapat menjamin segala-galanya dalam kehidupan mereka. Jesteru atas faktor inilah yang menyebabkan pertembungan diantara kaum Cina dan kaum pribumi kekal sebagai pertembungan yang tidak akan pernah padam. Sebuah pertembungan diantara kuasa politik dan kuasa wang.




[1] The Republic of China (ROC) joined the UN in 1945. On October 1, 1949, Mao Zedong declared the establishment of the People's Republic of China (PRC), and the government of the Republic of China relocated to Taipei after losing the Chinese Civil War. 
[2] A.Hamid Omar, 2014, China Ketiga, Pustaka Aman Press; terjemahan dari CP Fritzgerald, 1967, The Third China, hlm 82
[3] Khadri Bin Mohd Salleh; 1988/89; Tesis Masalah Kongsi Gelap dan Pergaduhan Orang-orang Cina Di Kulim Kedah Pada Tahun 1888; Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah/Perlis; hlm 13
[4] Tey Tiong Lim, Tesis: Sejarah Penglibatan Politik Orang Cina di Tanah Melayu 1930-1945; hlm 5, Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah/Perlis
[5] Ibid hlm 25

Tasik Chini – Misteri Yang Tak Terungkap

By //

            Didalam buku “Juara Yang Tewas” tulisan Dato Aripin Said ada menyebut tentang cerita rakyat tempatan berkenaan Tasik Chini. Sebuah pengkisahan yang pada saya begitu menangkap ruang ketakutan sebagai seorang pembaca dan sangat-sangat menarik pembawaan ceritanya. Buku ini juga sedikit sebanyak telah memberi peluang dan pengetahuan kepada pembaca tentang keadaan tasik tersebut serta sosio-budaya penduduk tempatan. Pada saya sebagai orang bukan anak jati negeri Pahang saya menganggap kisah “Naga Tasik Chini” adalah sebuah lagenda dan kisah yang tak
terungkap sehingga kini, biarpun pada hari ini ia dianggap sebagai sebuah cerita lagenda rakyat tempatan namun ia tetap sebuah etmologi yang tidak harus dipandang sepi. Buku yang diterbitkan pada tahun 1983 dibawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mungkin tidak diketahui umum pada zaman tersebut memandangkan tajuknya lansung tidak menggambarkan isi kandungannya. Namun bagi dunia “perbukuan” buku ini adalah salah satu koleksi yang masih lagi menjadi buruan yang panas. Setiap orang ingin memilikinya dan sudah pasti ia akan menjadi suatu rahmat kepada penggemar buku sekiranya buku ini diterbitkan semula. Saya sebagai seorang pembaca dan pengumpul buku-buku genre sebegini tersangat berharap sekiranya ia dapat diterbitkan semula pada satu hari nanti.

Didalam buku tersebut diceritakan akan kisah 2 lelaki yang sedang bertapa dan ilmu yang diamalkan oleh mereka itu ialah bertukar menjadi seekor naga! Pertapaan selama ratusan tahun itu akan berakhir setelah sisik naga bertukar menjadi keemasan. 2 ekor naga tersebut dinamakan Sri Pahang dan Sri Gumum. 2 ekor naga tersebut bertapa didalam tasik tersebut dan semua hidupan di tasik tersebut menghormati mereka, sehinggakan ada perjanjian diantara manusia dan hidupan tasik tersebut agar
tidak saling merosakkan diantara satu sama lain. Maka semua makhluk disitu hidup aman damai tanpa sebarang masalah. Dipendekkan cerita akhirnya Sri Pahang keluar menentang Sri Kemboja kerana pada waktu itu Sri Kemboja telah menggangu keamanan negeri Pahang. Pergelutan diantara mereka memakan masa berbulan-bulan sepanjang Laut China Selatan hinggalah ke Teluk Siam. Lautan yang bergelora dan ombak yang begitu kuat menyebabkan para nelayan disepanjang laut China Selatan tidak dapat turun ke laut. Berkat ilmu dan kesabaran Sri Pahang, Sri Kemboja hampir berjaya ditewaskan dan mendapat luka yang sangat teruk. Sri Kemboja terpaksa menyelamatkan dirinya dengan bersembunyi dicelah-celah gua didalam laut. Sekiranya ia cuba keluar dari lubang tersebut, dengan pantas Sri Pahang memukulnya.

Akhirnya Sri Kemboja mendapat akal dan telah menggunakan telepati dengan memasuki kedalam mimpi Raja Siam. Didalam mimpi itu tersebut ia memberitahu tahu bahawa dirinya didalam kesusahan dan meminta agar Raja Siam menyiapkan sejumlah meriam di tepi pantai. Sekirnya ternampak seekor naga yang bewarna perak maka tembaklah ia dengan meriam tersebut kerana itulah Sri Pahang.Maka pada hari yang dijanjikan maka kelihatanlah 2 ekor naga sedang bertarung. Maka ditembaklah Sri Pahang sehingga parah lah ia. Akhirnya akibat dari luka yang teruk itu Sri Pahang pulang ke negeri Pahang dalam keadaan nazak dan menghembuskan nafasnya yang terkahir di Pekan, Pahang setelah ia bertukar menjadi seorang manusia.

Pada saya nukilan ringkas ini bermaksud  Pahang mungkin pernah menentang pentadbiran wakil Siam iaitu Maharaja Dewa Sura dan ingin mentadbir negerinya dengan bebas namun mereka dikalahkan setelah Maharaja Dewa Sura memohon bantuan dari Kerajaan  Ayutthaya dan akhirnya Pahang dikalahkan. Jika ditelusuri sejarah tasik Chini beberapa pendapat telah diutarakan seperti terdapatnya sebuah runtuhan kota dan terdapat juga kisah bahawa seorang tentera Australia yang menyelam kedalam tasik tersebut menemui kota tersebut. Namun ketiadaan usaha untuk membuat ekskavasi di kawasan tersbut menyebabkan ia terus kekal misteri hingga hari ini. Kebiasaannya orang-orang dahulu lebih suka menggunakan perlambangan bagi menerangkan sesuatu perkara agar tidak diketahui oleh pemerintah. 

Suatu masa dahulu kisah Naga Tasik Chini pernah diangkat sebagai sebuah filem pada era 60an dan masih kekal sebagai sebuah filem klasik yang tiada tolok bandingnya. Walaupun dengan ketiadaan teknologi canggih pada waktu itu, produksi perfileman dan para pelakonnya berjaya menggangkat genre sejarah ini ke satu martabat yang cukup tinggi. Saya dan saya pasti sekalian dari kita amat-amat berharap agar suatu masa nanti kisah-kisah sebegini akan muncul didalam panggung tempatan.

Atas dasar minat dan ingin tahu maka sebulan yang lalu saya sendiri pergi meninjau dan mencari kawasan-kawasan yang dimaksudkan serta dapat menemubual beberapa penduduk tempatan. Alhamdulillah kawasan tersebut ialah sepanjang jalan Kg Permatang Pasir hingga ke Tanjung Agas, Pekan Pahang. Menurut penduduk tempatan keadaan kawasan tersebut telah banyak berubah dan ramai diantara mereka yang tahu akan kisah tersebut sudah meninggal dunia. Ada pula yang mengatakan hanya yang bernasib baik saja yang akan menemui makam tersebut. Sepanjang jalan memacu kenderaan sambil melihat keadaan sekitar saya merasakan kawasan tersebut masih tidak banyak berubah dan amat jauh dari pembanggunan. Di penhujung kawasan tersebut saya sampai di Tangjung Agas, sebuah kuala sungai yang indah namun masih terdapat kesan-kesan akibat banjir yang lalu. Menurut cerita lisan penduduk disitu kawasan tersebut tidak meriah dengan para pengunjung kerana perubahan-perubahan alam yang telah berlaku. Tiada lagi perkelahan dan pengutip kupang datang ke kawasan tersebut. Maka hilanglah Tanjung Agas sebagai sebuah cebisan sejarah suatu masa dahulu. Hilang bersama misteri makamnya Naga Sri Pahang sebagai sebuah hikayat tempatan.


Manakala di Tasik Chini pula, kawan saya yang berkesempatan kesana memberitahu sudah begitu banyak perubahan yang berlaku seiring dengan dasar kerajaan yang ingin memajukan kawasan
Sebuah jeti di kawasan tasik. Ihsan dari teman saya, Saudara Fareq Rizal
tersebut. Kini kawasan Chini telah dijadikan sebagai sebuah kawasan FELDA dan secara tidak lansung kawasan tasik chini telah dibangunkan dengan kewujudan  sebuah tempat peranginan yang sedikit sebanyak telah membantu ekonomi penduduk tempatan. Namun disebalik semua itu kepesatan untuk memajukan kawasan tersebut, proses pembangunan yang dijalankan adalah tidak terkawal telah merosakkan keindahan kawasan tersebut. Kami sebagai pencinta sejarah dan sebagai orang luar sangat berharap agar kawasan Chini ini dikekalkan sebagai sebuah tempat bersejarah dan dijadikan warisan untuk generasi akan datang. Harapan saya tidak terkuburlah semangat Sri Pahang yang ingin membebaskan Pahang dan tidak terhentilah semangat Sri Gumum bersabar dalam pertapaannya demi membalas dendam terhadap kematian Sri Pahang. Bukan bermaksud dendam kesumat tetapi kesabaran dalam memelihara warisan bangsa itulah yang patut digenggam agar anak bangsa tidak buta akan sejarahnya sendiri dan tidak menjadi sesumpah apabila melihat sejarah bangsa lain lebih bagus dari bangsa sendiri. Berdirilah diatas kaki sendiri wahai anak bangsaku. Moga-moga terbalaslah segala bakti moyangmu demi mu!

Kerajaan Melayu Melaka “Menjejak Sumber China”

By //

 Sejak sekian kalinya sudah begitu ramai umat Melayu memperkatakan tentang Sejarah Kerajaan Melaka Melaka sebagai sebuah kerajaan yang di segani di seluruh alam Melayu. Walaupun terdapat begitu banyak teori,hipotesis dan fakta-fakta yang dihujahkan selama ratusan tahun namun topik “Melaka” tetap hangat dibincangkan malah berkekalan hingga generasi hari ini. Mungkin akibat ia ditulis di media cetak dan elektronik menjadikan sejarah Melaka kekal mekar sebagai sebuah entiti yang berjaya menyatupadukan seluruh umat Melayu.

Sedar atau  tidak sudah banyak suara-suara yang mahukan sejarah Melayu itu diubah mengikut apa yang dibentangkan didalam pelbagai makalah sejarah. Antara yang terpenting sekali ialah apakah persenjataan kerajaan Melaka pada waktu itu selain daripada lembing,keris dan sumpit, dimanakah kedudukan asal Istana Melaka, rupa bentuk istana dan masjid Agung Melaka dan apakaah kota Melaka mempunyai tembok kubu.

Catatan yang paling hampir setakat pembacaan KSM ialah bersumberkan catatan Portugis memandangkan merekalah yang telah menjarah bumi Melaka pada tahun 1511. Namun kami yakin terdapat lagi sumber-sumber lain selain daripada Portugis dan antara yang menjadi perhatian kami ialah rekod-rekod kerajaan Ming (Ming Shi Lu)[1] yang merupakan antara kerajaan luar yang paling
awal mencatatkan tentang Sejarah kerajaan Melaka. Pada tahun –tahun berikutnya (didalam tempoh 100 tahun) terdapat pelbagai perhubungan diantara kedua-dua negara. Antara yang direkodkan ialah duta Ming ke Melaka, perkahwinan Puteri Hang Li Po, kedatangan Laksamana Cheng Ho dan yang terakhir sekali ialah bantuan tongkang-tongkang Cina kepada Portugis semasa Melaka diserang. Jika merujuk kepada segala aktiviti ini maka secara teorinya kerajaan Ming lah yang mempunyai rekod yang terpeinci seperti mana yang mereka catatkan apabila ke negara-negara lain. Namun sehingga ke hari ini belum ada lagi sumber-sumber rasmi yang menyatakan keadaan sedemikian dan sekiranya ada sekalipun hanyalah potongan-potongan ayat didalam bahasa Mandarin yang perlu diterjemah kedalam bahasa Melayu/Inggeris.

Tujuan utama  Cheng Ho datang ke Selat Melaka ialah menghapuskan pedagang (orang tengah) dan lanun yang menguasai Selat Melaka. Sebenarnya terdapat beberapa penulisan yang menyatakan bahawa gerakan penghapusan orang tengah ini telah bermula dari dinasti Chou lagi dan para pedagang ini sentiasa dicurigai oleh para Maharaja kerana mereka sering kali terlibat didalam pemberontakan menggulikan sesebuah dinasti.

Untuk mengambilalih dan menguasai perdagangan antarabangsa, Cheng Ho perlu menghapuskan sendiket perdagangan Cina yang menguasai Selat Melaka dimana kebanyakkan kapal akan melaluinya. [2] Pada waktu ini Palembang merupakan kawasan penempatan utama bagi Cina selatan
dimana mereka ini diketuai oleh seorang pedangang kaya bernama Chen Tsu-i[3][4]. Namun sebelum itu  terdapat seorang lagi pedangang Cina yang menguasai Palembang iaitu Liang Daoming [5]. Menurut kajian Prof Kong Yuanzhi setelah Majapahit menyerang Palembang Liang Daoming mengambil peluang untuk menguasai tempat tersebut dan manjadikan Palembang sebagai penempatan bagi imigran Cina yang singgah berdangang ataupun terus menetap disitu. Pada tahun 1405 Kota Palembang dan Jambi jatuh ketangan lanun-lanun ini. Setelah itu pelabuhan Palembang menjadi mundur  dan tidak berdaya saing lagi. Didalam catatan lain pula menyebut kerajaan Ming menganggap Melaka sebagai pewaris kerajaan Palembang (Sriwijaya).

Selain daripada itu Maharaja Yung Lo telah mengarahkan penubuhan jabatan bahasa asing untuk memudahkan hubungan di antara tetamu asing atau para perwakilan berinteraksi dengan negeri China. Mereka melatih kaki tangan kerajaan untuk menguasai bahasa Melaka supaya dapat menjalankan kerja-kerja istana melalui terjemahan, dengan tidak menimbulkan kekeliruan. Jabatan Bahasa Melaka merupakan salah satu jabatan di antara 8 jabatan bahasa asing.[6]

Apa yang dikongsikan disini ialah sebahagian dari jumpaan kami dan berdasarkan kepada sebahagian maklumat diatas ternyatalah dan sudah pastilah terdapat banyak lagi rekod-rekod yang menyatakan keadaan dan rupa bentuk bumi Melaka sepanjang tempoh 100 tahun itu. Harapan kami semoga  minat dan keinginan untuk melakukan kajian-kajian tentang Kerajaan Melaka ini tidak berhenti dan akan berterusan hingga generasi-generasi mendatang. teruslah mara  demi generasi masa hadapan. Bangunlah dan binalah semuala tamadun bangsa Melayu  Kita sudah berada jauh dari zaman kegemilangan Melaka, apa yang tinggal pada kita hari ini umpama sebuah kisah silam yang dipentaskan dengan penuh indah tanpa kita berasa untuk menangisi sedikitpun apa yang berlaku diwaktu itu. Kita dididik dan dengan kisah-kisah perjuangan mereka, kisah-kisah tauladan dari mereka namun dalam tidak sedar kita amat-amatlah jauh dari semua kesempurnaan itu. Hakikatnya kita tetap merasakan bahawa kaum Melayu ini terlalu lemah dan sentiasa diperbudakan oleh Barat. Apakah kita tidak sedar bahawa kita sendiri takut kepada Barat?!. Bukan mudah untuk mengubah sejarah namun langkah telah dimulakan. Maka jangan berhenti dan teruskan melangkah!




[1] Bermaksud Sejarah Dinasti Ming
[2] Steven Sterling, Lord of Rim ,Bantam Press 1995, ,Bantam Press 1995, hlm 83
[3] Juga dikenali sebagai Tan Tjo Gin dari suku Teochiu - Prof Kong Yuanzi, 2013, Cheng Ho Muslim Tionghua, Yayasan Pustaka Obor,  hlm 93
[4] Peristiwa ini telah disebut didalam  Ming Shu Li (Catatan Dinasti Ming).
[5] Berasal dari Nan Hai (Guangzhou/Kanton) -  Ibid hlm 94
[6] Obaidellah b. Haji Mohamad, Kesultanan Melaka: Dari Bahan Sejarah China Melihat Aspek Ekonomi dalam Polemik Sejarah Malaysia (Jilid 1), Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008, hlm. 312

Kesultanan Melaka di Pahang - Tinjauan dan Ringkasan

By //
Serangan Ligor@ Maharaja Dewa Sura - 1

1.       Dr W.Linehan menyatakan penduduk Ligor sewaktu zaman Raja Chanderabhanu terdiri daripada pelbagai bangsa yang diperintah oleh raja Melayu (bukan Islam) namun kira-kira tahun 1292 Raja Sukothai iaitu Rama Khamheng telah menakluk Ligor dan menamakan Ligor sebagai Nakhon Si Tammarat.

2.       Menurut Eredia Raja-raja Pahang merupakan keturunan Raja Melayu Ligor sebelum ditakluk Melaka berasal dari Tembeling? (Tan Ma Ling).

3.       (Pada pendapat Buyong Adil) .. namun secara umumnya dipersetujui Tan Ma Ling merujuk kepada Tambralingga setelah merujuk kepada kajian O.W Walters.

4.       Pada 1454 angkatan laut Melaka telah menyerang Pura (Inderapura kemudian menjadi nama Pekan) dengan mengalahkan rajanya bernama Maharaja Dewa Sura. Raja Pahang lari ke Jerai Kwai (kawasan Hulu Pahang) namun akhirnya ditangkap oleh Seri Bija Diraja.

5.       Setelah dikalahkan Tun Hamzah Datuk Bongkok dititahkan pergi diam di Pahang dengan
dilengkapi nobat selengkapnya kecuali Nagara (gendang tabal) dan Payung Iram Berapit.

6.       Puteri Wanang dikahwin kan dengan Sultan Mansur dan di Islamkan kemudian diberi nama Puteri Lela Wangsa.

7.       Melaka kemudiannya menghantar Tun Telanai anak Bendahara Tun Perak untuk membincangkan perdamaian.Tidak berapa lama selepas itu Melaka-Thai pun bedamailah.

8.       Puteri Wanang mendapat 2 anak iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad

Sultan Pahang (Melaka) Pertama

9.       Raja Muhammad kemudiannya dirajakan di Pahang selepas kes pembunuhan Tun Besar anak Tun Perak. Tun Hamzah Datuk Bongkok dititahkan pulang ke Melaka.

10.   Tun Hamzah diangkat menjadi Bendahara Pahang.

11.   Sultan Muhammad bersemayam di Tanjong Langgar (Pekan) di tepi Sg Pahang.

12.   Baginda beristerikan puteri Kelantan bernama Puteri Mengindera dan mendapat 3 orang anak iaitu Raja Ahmad,Raja Abdul Jamil dan Raja Mahmud.

Sultan Pahang (Melaka) ke 2

13.   Raja Ahmad menjadi Sultan Pahang ke 2 (juga disebutsebagai Sultan Mahmud@ Muhammad)

14.   Sultan Ahmad Syah turun takhta dan kemudiannya mengasingkan diri ke Lubuk Pelang juga dikenali sebagai  Marhum Shaikh (Syeikh)

Sultan Pahang (Melaka) ke 3

15.   Sultan Pahang ketiga ialah Sultan Abdul Jamil Syah, baginda diraja dan dinobatkan oleh Sultan Mahmud Melaka dan memperisterikan kakak Sultan Mahmud bernama Raja Fatimah.

16.   Baginda dikenali dengan nama Marhum Ziarat dan makamnya berada di Pekan,Pahang

17.   Baginda memerintah Pahang bersama Sultan Mansur Syah (anak saudaranya iaitu anak kepada Marhum Syaikh)

Serangan Ligor@ Maharaja Dewa Sura – 2

18.   1494 angkatan Ligor (Ayuthaya)  yang dipimpin Maharaja Dewa Sura telah menyerang Pahang melalui jalan darat semasa zaman Sultan Muzaffar.

19.   Namun kalah setelah Pahang mendapat bantuan dari Melaka yang dipimpin oleh Tun Mutahir (bapa kepada Tun Fatimah)

20.   Pada tahun 1511 Melaka alah kepada Portugis dan Sultan Mahmud melarikan diri ke Pagoh kemudian ke Pahang semasa zaman Sultan Abdul Jamil ini.

21.   Seorang anak Sultan Mahmud dikahwinkan dengan Sultan Mansur.

Sultan Pahang (Melaka) ke 4

22.   Sultan Mansur Syah menjadi Sultan Pahang ke 4 dan mempunyai 2 orang puteri iaitu Raja Puspa Dewi dan Raja Kesuma Dewi

23.   Mengikut Sejarah Melayu Sultan Mansur ini dihukum bunuh oleh ayah baginda (Sultan Ahmad, Sultan Pahang ke 2) kerana dituduh berzina dengan ibu tirinya.

Rumah Adat Indragiri
24.    Isteri baginda iaitu puteri kepada Sultan Mahmud (Melaka) telah dipanggil pulang dan dikahwinkan dengan Raja Nara Singa dari Inderagiri

Sultan Pahang (Melaka) ke  5

25.   Sultan Mahmud Syah adalah Sultan Pahang ke 5 adalah anak kepada Sultan Muhammad (Sultan Pahang Pertama) dan beristerikan sepupunya Raja Olah ( Raja Wati) iaitu puteri Sultan Ahmad Syah (Sultan Ke 2 Pahang).



26.   Dikurniakan 2 orang anak iaitu Raja Muzaffar dan Raja Zainal.

27.   Beristerikan pula Raja Khadijah iaitu puteri Sultan Mahmud Syah Melaka yang pada ketika itu memerintah Johor dan bersemayam di Bentan.

28.   Semasa era baginda, Pahang banyak terlibat dengan pertempuran menentang Portugis yang menakluk Melaka.

29.   Baginda mangkat dan digelar Marhum di Hilir.

Sultan Pahang (Melaka) ke 6

30.   Sultan Muzaffar Syah ditabal oleh Sultan Alaudin Riayat Syah II.

31.    Baginda di kenali sebagai Marhum di Tengah setelah dibunuh oleh  Khoja Zainal iaitu Duta
Brunai kerana bermukah dengan isteri beliau.

Sultan Pahang (Melaka) ke 7

32.   Sultan Zainal Abidin ditabal menjadi Sultan Pahang ke 7 merupakan anak kepada Sultan Pahang ke 5.

33.   Beristerikan Raja Dewi Sultan Mahmud Syah (Melaka)(Marhum Kampar), Puteri Onang Kening dari Kelantan dan anak Bendahara Pahang. (Isterinya 3 orang).

34.   Bersama Raja Dewi dikurniakan  4 orang anak iaitu Raja Mansur, Raja Jamal, Puteri Khalijah dan Puteri Bongsu.

35.   Bersama Puteri Onang Kening tiada anak

36.   Bersama anak Bendahara dikurniakan  Raja Abdul Kadir.

37.   Baginda membantu Johor menyerang Portugis di Melaka bersama-sama angkatan Perak namun pulang setelah mendengar khabar angkatan Poertugis yang lebih besar datang dari Goa.

38.   Baginda mangkat di Makam Nibong (dikenal orang sebagai Makam Tembuni), Pekan Lama dan digelar sebagai Marhum Bukit.

Sultan Pahang (Melaka) ke 8

39.   Raja Mansur kemudiannya di tabal menjadi Sultan Pahang Ke 8 dengan bergelar Sultan Mansur Syah II.

40.   Beristerikan Raja Fatimah anak Sultan Alaudin Syah II dan dikurniakan Raja Putih dan Raja Subuh. Baginda beristerikan pula Puteri Bakal dari Terengganu dan dikurniakan Raja Jalal,Raja Jalil, Puteri Tengah dan Puteri Dewi.

41.   Baginda mangkat setelah berperang dengan Jawa Kafir dan digelar Marhum Syahid.

42.   Isteri Baginda Raja Fatimah kemudiannya bernikah dengan Raja Umar anak kepada Sultan Pahang ke 2.

Sultan Pahang (Melaka) ke 9

43.   Raja Jamal kemudiannya dilantik sebagai Sultan Pahang ke 9 dengan bergelar Sultan Abdul Jamal Syah (merupakan anak Sultan Pahang ke 7 adik kepada Sultan Pahang ke 8)

44.   Baginda juga mangkat terbunuh (tidak dinyatakan gelaran dan peristiwa kemangkatan)

Sultan Pahang (Melaka) ke 10

45.   Sultan Abdul Kadir Alaudin Shah dilantik sebagai Sultan Pahang ke 10 merupakan anak kepada Sultan Pahang ke 7 dan adik kepada Sultan Pahang ke 8 & Sultan Pahang ke 9.

46.   Dikurniakan 3 orang anak iaitu  Raja Abdul Ghafur, Raja Yamir dan Raja Ahmad.

47.   Baginda telah bersahabat dengan Portugis.

48.   Negeri Pahang pada waktu ini menghasilkan emas dan baginda pernah menghadiahkan emas sepanjang 2 ½ ela kepada Gabenor Portugis di Melaka.

49.   Mangkat  tahun 1590 (tiada bergelar)

Sultan Pahang (Melaka) ke 11

50.   Raja Ahmad dilantik sebagai Sultan Pahang ke 11 namun diturunkan kerana masih kecil.

Sultan Pahang (Melaka) ke 12

51.   Raja Abdul Ghafur menjadi Raja Melaka ke 12 dengan bergelar Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Syah.

52.   Mempunyai 2 isteri iaitu Puteri Patani dan Puteri Brunei.

53.   Raja Abdullah anak kepada baginda telah dikahwinkan dengan Puteri dari kerabat Perak dan perkahwinan dilansungkan di Kuala Tembeling.

54.    Daerah Hulu Pahang iaitu Kuala Tembeling hingga ke he Hulu Sungai Sat dikurniakan kepada Raja Abdullah dan kekal memerintah disana.

55.    Pada tahun 1607, wakil Portugis telah berjaya membebaskan 80 orang Portugis yang ditawan oleh Pahang.

56.    Tahun 1607, Belanda (Abraham Van Den Broek)berjaya mengikat perjanjian dagang dengan kerajaan Pahang.

57.   Orang Besar Pahang bergelar Seri Maharaja Lela telah menyambut Admiral Matelief (Cornelis
Matelief de Jonge) diiringi pengawal yang bersenjatakan senapang pemuras pada 7/11/1607.

58.   Kedatangan admiral tersebut jug sebagai mengajak negeri Pahang menentang Portugis di Melaka dan Pahang menyediakan tentera seramai 2000 orang .Admiral tersebut juga diminta untuk menguji Meriam Pahang yang dibuat untuk Raja Seberang (Johor). Orang-orang Pahang telah membuat meriam yang pelurunya daripada batu dan lebih baik dari meriam Jawa namun rendah mutunya berbanding meriam Portugis.

59.   Sultan Abdul Ghafur dan Raja Abdullah mangkat diracun oleh anak kedua baginda Sultan Abdul Ghafur dan kemudiannya menjadi Sultan Pahang (tidak dinyatakan nama). Baginda dikenali sebagai Marhum Pahang dan Raja Abdullah dikenali sebagai Marhum Muda Pahang. Raja Abdullah dimakamkan di Makam Chondong, Pekan Lama yang juga dikenali sebagai Makam Tujuh Beradik.

60.    Isteri dan anak Raja Abdullah dibawa balik ke Perak pada tahun 1614.

61.   Tidak dinyatakan pula siapakah anak-anak Sultan Abdul Ghafur bersama kedua isterinya selain dari Raja Abdullah.






Sriwijaya ~Mencari Bulan Yang Hilang~ Bahagian 2.

By //
Sribuza/Zabaj
Sejak zaman Khalifah Usman ra-di mana pada masanya Islam masuk ke Jawa dan utusan-utusannya telah sampai ke negeri Cina-orang-orang Arab telah berangkat ke Laut Putih dengan kekuatan angkatan laut dan serangan-serangan yang dahsyat untuk menguasai pulau-pulau yang dekat dengan pantai-pantai yang dikuasai Islam. Tujuannya adalah untuk mencegah timbulnya kekacauan yang dilakukan para penduduk pulau-pulau yang berdekatan dengan pesisir negeri Syam.
          Pada tahun 27 atau 28 H (647 M) kaum Muslim mengadakan pertempuran laut di Kepulauan Cyprus. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dikatakan bahwa Rasulullah SAW bangun dari tempatnya dengan tertawa. Lalu Ummu Haram bertanya kepada baginda SAW, "Apa yang membuatmu tertawa, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Orang-orang di antara umatku menunjukkan kepadaku sebagai pejuang fi sabilillah yang
mengarungi gelombang laut seperti raja-raja di atas singgasana." Lalu Ummu Haram berkata kepada beliau, "Mohonkanlah kepada Allah agar Ia menjadikan aku termasuk di antara mereka." Lalu Rasulullah pun mendoakannya. Ummu Haram mengarungi laut di masa Muawiyah berkuasa di Syam, pada masa kekhalifahan Usman.[1]Pada waktu inilah harus kita faham bahawa Islam sudah mula menggunakan jalan laut untuk melaksanakan usaha-usaha dakwah. Seperti yang kita faham sesungguhnya pedagang-pedagang Arab sudah lama mengatahui jalan ke China dan sudah pastilah mereka ini telah melalui lautan kita ini.
Pada tahun 657M Muawiyah Ibn Abu Sufyan telah mengisytiharkan dirinya sebagai  Khalifah Umayyah yang pertama dan meninggal dunia pada 680M. Pada zaman Daulah Umayyah armada Islam mula diperkuatkan untuk menghadapi serangan daripada kerajaan Rom. Maka dari situlah kita boleh beranggapan bahawa berkemungkinan “utusan” dari Umayyah lah yang telah dihantar ke pulau-pulau Melayu. 

Kerajaan Islam paling awal pernah wujud di alam Melayu dari sumber China bernama Ta-Shi[2] pada tahun 650M [3] Kerajaan ini kemudiannya bersatu dengan kerajaan Perlak[4] dengan memakai nama Ta-Jihan sehinggalah ia digantikan dengan nama Samudera. Satu lagi rujukan yang masih awal dan sejauh dari fakta-fakta yang berkenaan ialah ketibaan duta Arab pertama datang  ke Istana Cina yang direkodkan pada tahun 651 AD dalam Kiu Tang-Shu  dan wakil raja tersebut diberikan nama sebagai Ta-shi, nama peribadi Ta-Shi tersebut ialah   Han-mi-mo-mo-ni, berkemungkinan membawa maksud Amir al-Mukmin atau khalifah orang-orang mukmin, yang pada masa itu disandang oleh Saidina Uthman. [5]

Menurut catatan China, orang Arab telah datang di tanah Jawa pada 674M-675M[6]dan telah mendirikan perkampungan di Sumatera Utara pada tahun 684M dan pada masa yang sama juga Islam telah sampai ke China sejak abad ke-7 M, yakni abad Pertama Hijriyyah, dan dibawa oleh orang Arab sendiri. Sehubungan dengan itu, rekod sejarah China ada menyatakan bahawa pada zaman pemerintahan Thai Sung (627 – 655M) sekumpulan orang Islam di bawah pimpinan Ibn Hamzah, iaitu anak kepada Hamzah b. ‘Abdul Muttalib, sepupu Rasulullah s.a.w.,  telah datang ke China dan tinggal di kawasan San Gan Fou. Kumpulan pertama ini diikuti pula oleh
Muslimin yang lain yang mengikuti jalan laut dan tinggal di Yunnan (selatan China). Mereka dan termasuk juga orang Parsi telah datang ke China ketika itu kerana hubungan perdagangan adalah cukup baik antara Asia Barat dengan China.[7]Dalam rekod China yang lain juga dinyatakan telah datang beberapa kali utusan dari Arab Istana China dari zaman Umayyah hinggalah Abbasiyah [8]ada juga pendapat yang menyatakan kehadiran Saad Ibn Abi Waqqas ke China pada tahun 651M, sesetengah sejarawan mengatakan beliau datang melalui darat dan ada pula yang mengatakan beliau datang dari laut.[9] Walaubagaimanapun jika dirujuk dari Hayatus Sahabah pula menyatakan bahawa bukanlah Saad Ibn Abi Waqqas tetapi Saad Ibn Lubaidal yang telah sampai ke China, walau apapun pendapat –pendapat ini tetapi tetaplah mempunyai persamaan iaitu Islam telah sampai ke China samada melalui darat atau laut.

Didalam catatan Mas’udi yang tiba disini pada 950M pula ada menyebut “dengan kapal kecil mereka berpusing mengelilingi kapal yang singgah ke tempat mereka dan kemudian menembak pelbagai jenis panah beracun” Paul Wheatly mempercayai ia merujuk kepada Orang Laut yang berada di Pulau Tioman.[10]

Menurut al-Masudi Maharaja Sriwijaya memiliki empayar yang sangat luas dan kekuasaannya mencakupi 6 lautan hingga ke laut Annam (Champa). Menurut catatan beliau pada 955M kekuasaan Sriwijaya termasuklah pulau-pulau yangterletak didalam Laut China Selatan dan Kalah(Kedah) . Di dalam satu lagi kerja (955 AD) beliau pengarang yang sama menyatakan bahawa Maharaja adalah  raja kepulauan Zabag dan pulau-pulau lain di laut China, antaranya ialah Kalah dan Sribuza .Sribuza berkeluasan kira-kira 400 parasangs[11]  dan dari benua dipenuhi dengan pelbagai tanaman. Putera ini juga mempunyai kepulauan Zàbag dan Râmnî dan banyak lagi  yang saya tidak dapat menamakan dan  kerajaan  Sriwijaya  berkuasa atas semua laut yang keenam, atau lautan Campa (iaitu Annam) . Alberuni menyatakan bahawa kepulauan Zâbag dipanggil
Suvarnadvipa di India. Ibn Sa'id  (abad ke-13) mengatakan, kerajaan Zâbag sangat terkenal dikalangan pengembara. Pulau yang terbesar ialah Sribuza[12], 400 batu panjang (utara ke selatan) dan 160 batu lebar. Adalah untuk untuk memasuki negeri tersebut melalui jalan air dan pusatnya dikenali sebagai Sribuza, sehingga yang satu cabang daripada menembusi laut, terletak di tengah-tengah pulau  itu . Sekali lagi pengarang yang sama memerhati: Cerita mengenai Maharaja Sriwijaya sangat banyak dicatat didalam pelbagai buku . Emas terbaik boleh  didapati di sana. Maharaja mereka diperkirakan sebagai antara Maharaja yang sangat kaya di kalangan raja-raja terkaya di India, dan beliau memiliki bilangan terbesar gajah. Kepulauan yang terbesar di Nusantara ini terletak kota Maharaja dimana keluasannya adalah 200 batu panjang dan kira-kira 100 batu lebar. [13]

Pada pendapat Roland Braddell, para pedagang Arab menyebut Sriwijaya sebagai Zabag (Sabak). Manakala Jean Sauvaget menolak perkataan Sribuza itu kerana menurut terjemahannya  dari penulisan  Abu Zyad Hasan didalam kitab Akhbar as-sin wa I-hind (Hikayat China dan India)[14]  penulisan Arab tidak sama dengan bunyi sebutan dalam bahasa Arab dan ia perlu ditafsirkan megikut sistem transkripsi Arab tertua kerana huruf v  diterjemahkan menjadi huruf b dan huruf j sebagai z. Dari pembacaan diatas maka fahamlah kita dimana kedudukan Sriwijaya sebenarnya. Maka sekarang kita melanjutkan pula pencarian kita dimanakah Sribuza itu dan mengapa pada waktu itu orang-orang Malayu dipanggil Saba’. Haruslah diingatkan bahawasanya Melayu itu bangsanya hingga ke Tanah Arab.[15] Muhammad Ibn Ahmad al-Biruni mencatatkan bahawa Kepulauan Zabaj itu juga disebut sebagai Suvarnadipa (Pulau Emas) oleh orang-orang Hindu. [16]

Antara buku –buku penulisan dari Arab yang menerangkan tentang Kerajaan-kerajaan Nusantara ialah:
1)      Al Masalik wal Mamalik (Book of Roads and Kingdoms) – Ibnu Khardazbah[17]
2)      Kitab al-Buldan (Concise Books of Lands) – Ibnu Faqih[18]
3)      Silsilat at Tawarikh – Saudagar Sulaiman dan Abu Zeidal Hassan
4)      Muruju’z Zahab (Meadows of Gold) – Al-Mas’udi [19]
5)      Kitab al-Hind (The Book of India) – Al Biruni
6)      Akhbar al-Sin wa’l-Hind -  Abu Zaid
7)      Kitab al-buldan   - Ya’qubi[20]

Maka dari merekalah perkataan-perkataan seperti  Kalah ,Zabaj, Sribuza, Sarirah dan lain-lain dikenali. Kisah 1001 malam juga menyebut pulau-pulau di Nusantara ini sebagai Waq-waq*.[21]




[1] Islam Di Timur Jauh – m/s 3; Sayid Alwi bin Thahir bin Abdullah al-Haddad
[2] Ta-Shi merujuk kepada bangsa Arad di Tayy, yang mana mungkin sudah sampai ke China dimana mereka adalah pedagang Nestorian dari negeri al-Hira- Saudi Armco World Magazine Vol 56, Number 4 – Paul Lunde
[3] (Ta-Cheh) dalam sebutan Sejarah umat Islam Jilid 4- m/s 419; Buya Hamka
  Menurut beliau bersandarkan dari sumber-sumber China “Raja Ta-Cheh” itu bermaksud Raja Arab.
[4] Perbalahan di antara masyarakat Islam di Timur Tengah khususnya antara golongan Sunni dengan Syiah pada abad ke-9M juga telah memesatkan lagi hubungan antara Jazirah Arab dengan Nusantara. Dalam sebuah kitab hasil karya seorang Parsi, Abu Ishak Makrani al-Fasy, Idharul Haqq fi Mamalakatil Felah wal Fasi  dicatatkan bahawa bahawa kira-kira tahun 820M, satu rombongan pendakwah yang diketuai ulama yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah telah mendarat di Perlak. Perlak ketika itu merupakan sebuah petempatan baru yang diketuai oleh seorang bangsa Parsi.  Anggota rombongan ini terdiri daripada 100 orang Arab, Parsi dan Hindi. Mereka dikatakan bermazhab Syiah. Salah seorang daripada anggota rombongan itu, Ali ibn Muhammad ibn Ja’afar as-Sidiq telah mengahwini puteri Perlak, Puteri Makhdum Tansyuri. Zuriat mereka yang bernama Syied Abdul Aziz merupakan pengasas kesultan Perlak pada tahun 840M. Baginda bergelar Syied Maulana Abdul Aziz Syah- Prof. Madya Dr Ahmad Jelani Halimi; Pusat Pengajian Jarak Jauh USM-Seminar Diaspora Arab Nusantara: Peranan dan Sumbangan
[5] CHAU JU-KUA: His Work on the Chinese and Arab Trade in the twelfth and thirteenth Centuries, entitled Chu fan chi, - m/s 119 ; Translated from the Chinese and Annotated By Friedrich Hirth and W.W Rockhill
[6] Terdapat pula pendapat mengatakan Ta-Shih itu merujuk kepada pulau Jawa kerana andaian mereka terhadap peristiwa mereka bertemu dengan Ratu Sima(Ratu Kalingga di Jawa Timur; Ho-Ling).  Lihat juga  Asia Tenggara Tradisional - ms 63; Abdul Rahman Hj Abdullah (USM) - Begitu juga pendapat lain mengatakan percubaan Raja Ta-Shih  menyerang Jawa pada 674M. Lihat juga The Indianized States of South East Asia – m/s 79-80; G.Coedes; Pada tahun 644-645M, pada waktu  utusan pertama daripada Holing/Jawa tiba, disebut dalam Sejarah Baru Dinasti Tang utusan dari Mo-lo-yu telah tiba. Nama ini merujuk kepada Melayu yaang terletak di pantai timur Sumatra di tengah Jambi, pengembara I-Tsing pernah singgah disini pada 671M, dan dari beliau kita mendapat tahu bahawa Melayu sudah diserap masuk kedalam Shih-li-fo-shih (Sriwijaya) antara tahun 682M – 692M.
[7] Kertas Kerja bertajuk : Perkembangan Islam di Nusantara dan Hubungannya Dengan Golongan Arab - m/s 3-4 ; Prof. Madya Dr. Hj. Fadhlullah Jamil
[8] CHAU JU-KUA: - m/s 117 ; Friedrich Hirth and W.W Rockhill
[9] A Brief Study of The Introduction of Islam To China – Chen Yuen
[10] The Pahang coast was the haunt of Orang Laut, a people described by Arab encyclopedists as having black wavy hair, strange figures dan wearing metal collars - Impressions of the Malay Peninsula in Ancient Times - m/s 78; Paul Wheatly
[11] An ancient Persian unit of distance, usually estimated at 3.5 miles (5.6 kilometers).
[12] Merujuk kepada Sumatera.
[13] Bulletin de l'Ecole française d'Extrême-Orient - m/s 271 Nilakanta Sastri K. A. I. Sri Vijaya.
[14] Ibid - m/s 71
Merchant cessels made their South-East Asian landfall at Kalah, where they replenished their water casks from wells within the city.
[15] Sejarah umat Islam Jilid 4- m/s 427; Buya Hamka
[16] Impressions of the Malay Peninsula in Ancient Times - m/s 33; Paul Wheatly
[17] The most important surviving document on international trade in the ninth century is a brief account of Ibn Khurdabbih a director of the government postal service in Baghdad, called Kitab al Masalik wal Mamalik (Book of Roads and Kingdoms). It describes the overland and maritime routes that linked the Abbasid Empire to the world, including description the sea routes to India, Malaya, Indonesia and China. Most interestingly, Ibn Khurdabbih account describes regular, organized long distance trade between Western Europe and China long before the days of Marco Polo - Saudi Armco World Magazine Vol 56, Number 4 – Paul Lunde
[18] Nama sebenar beliau ialah Ibn al-Faqih al-Hamadani yang berasal dari Parsi, seorang ahli sejarah dan geografi yang terkenal pada 10M- Islamic Desk Referance – m/s147; E.J Donzel
[19] Abu al Hassan Ali bin al Husin bin Ali Al-Mas’udi, meninggal dunia pada 346H/957M. Beliau mendapat pendidikan di al-Rayy (Tenggara Tehran), Baghdad, Kufah, Basrah, Syam dan Mesir dan kemudian menetap di Baghdad. Bukunya iaitu Muruj al Zahab Wa Ma’adan al-Jauhar adalah sebuah buku sejarah dan geografi yang disusun mengikut tempat-tempat. Beliau juga memberi perhatian kepada sejarah bangsa bukan Islam disamping sejarah Islam. – Pensejarahan Awal Umat Islam (Wan Yahya Wan Ahmad-UM).
Al-Mas'udi menghabiskan waktu 25 tahun dalam  perjalanannya.Sejarawan Jidi Zaidan mengatakan bahwa al-Mas'udi sampai ke Cina melalui laut dan mengelilingi Lautan Hindia. Jadi perjalanannya mencakupi wilayah India, Lautan Hindia, Lautan Atlantik, dan antara Laut Merah dan Laut Qazwein.Ia memiliki beberapa karangan: Muruj adz-Dzahab wa at-Tanbih wa al-Asyraf, Dzakhair al-Ulum wa Maa Kaana fi Sairi ad-Duhur wa Akhbar az-Zaman, al-Bayan fi Asma' al-Aimmah. Sebagian orientalis mempelajari kitab-kitabnya. Kitab-kitab ini terdapat dalam bentuk tulisan tangan di Istanbul dan Paris.- Lihat juga Islam di Timur Jauh -  m/s 18; Sayid Alwi bin Thahir bin Abdullah al-Haddad.
[20] Kitab al-buldan ini merupakan kitab geografi. Justeru itu judul yang sama digunakan oleh Ya’qubi dan Ibn al-Faqih. Walaupun kelihatannya Ibn al-Faqih menyalin kembali apa yang terdapat dalam tulisan Ibn Khurdadhbih dan  Akhbar al-Sin, namun terdapat beberapa tambahan dilakukannya terutama ketika menjelaskan sebuah kerajaan yang terdapt di Sumatera Utara iaitu Ramni. - Hubungan Awal Arab Nusantara (Abad Pertama – Abad ke-15) , Prof. Madya Dr Ahmad Jelani Halimi; Pusat Pengajian Jarak Jauh USM-Seminar Diaspora Arab Nusantara: Peranan dan Sumbangan
[21] Sejarah umat Islam Jilid 4- m/s 428; Buya Hamka