Syair 1001 Hari

By


            Syair 1001 Hari ini juga dikenali dengan nama Arabnya sebagai Alfu Yawmin wa Yawmin yang diterjemah daripada bahasa Faransawi kepada bahasa Arab oleh Wahbah Affandi Ibrahim dan ditransilasikan pula dari Arab ke Melayu oleh Abu Muhammad Adnan yang berasal dari Kepulauan Riau.

            Ia berkisarkan tentang Puteri Farukhtar yang tidak mahu berkahwin setelah mendapat alamat mimpi yang pada hematnya tidak baik. Kisah ini berasal dari negeri Kashmir dan negeri tersebut diperintah oleh Maharaja Tugrul Baya, seorang Raja yang adil,bijak dan tegas dalam membuat keputusan.

            Pada suatu hari puteri tersebut telah mendapat mimpi tentang seekor rusa jantan yang terperangkap didalam jaring lalu diselamatkan rusa betina tetapi apabila rusa betina itu pula tertangkap, rusa jantan tidak menyelamatkannya malahan berlalu pergi dari situ. Akibat dari mimpi itu sang puteri mengambil keputusan untuk tidak berkahwin kerana menganggap semua lelaki tidak setia  dan tidak boleh dipercayai lantas menolak semua pinangan dari putera-putera raja dari seluruh dunia. Kejadian ini menggusarkan hati sang Raja lantas memikirkan cara bagaimana untuk menambat semuala kepercayaan puterinya itu.

            Atas nasihat ibu susuan sang puteri yang bernama Murdi’ah melalui kisah yang berlaku semasa zaman Khalifah Harun al-Rasyid yang melawat 5 orang banduan dipenjara maka hati tuan puteri mula terbuka kembali untuk menerima cinta dan kasih sayang. Cerita-cerita tersebut ialah (ikuti kisah tersebut didalam bukunya)

1.      Saudagar yang mendera isterinya yang dianggap curang.
2.      Kisah seorang peniaga yang kaya kerana memperolehi harta daripada peninggalan orang tuanya
3.      Seorang saaudagar minyak wangi yang telah difitnah oleh seorang wanita ketika bermusafir ke Baghdad
4.      Seorang lelaki yang suka berfoya-foya setelah kematian orang tuanya
5.      Kisah seorang pembuat bakul yang berusaha menyara keluarganya namun kisah ini tidak dihabiskan oleh penulis asalnya.

            Secara keseluruhannya Syair ini mengisahkan tentang kasih sayang, pengorbanan dan pedoman kepada pembacanya.

Dipetik dan diolah dari ruangan Pendahuluan & Sinopsis buku Syair Seribu Satu Hari; Cetakan tahun 2004; Sharniza Shahir.