Perihal Taj Us Salatin Pada Pandangan Umum

By




          Tajus Salatin beerti  Mahkota Segala Raja-raja, ia merupakan sebuah buku pedoman untuk raja-raja membaca tentang perihalan hikayat raja-raja di zaman silam.  Banyak kata-kata Parsi yang terdapat didalamnya seperti mathnawi, ruba’I, ghazal dan namruz  begitu juga hikayat-hikayat Parsi seperti Akhlak al-Mohsin,Akhbar al-Mulk dan Minhaj Salatin. Dengan hadirnya Islam ke gugusan kepulauan Melayu , maka unsur-unsur sastera dan kebudayaan Arab serta Parsi telah masuk kedalam sosio-budaya Melayu. 

          Ini secara tidak lansung memperkayakan bahasa Melayu yang telah wujud sekian lamanya. Tajus Salatin ini menjadi sebuah hikayat yang sangat berguna buat raja-raja dan pembesar-pembesar negara khususnya dan rakyat jelata umumnya.

          Menurut orientalis penulis Tajus Salatin ini ialah seorang Parsi yang datang berdagang di alam Melayu  namun pada tafsiran penulis setelah membelek Naskah asalnya, buku ini bertarikh 1296H = 1875/76M dan ditulis dalam bentuk jawi yang dicap batu terdapat nama Bukhari Johori atau Bukhari dari Johor. Selain itu salinan Tajus Salatin  juga terdapat didalam bentuk micro-card di Universiti Leiden dan  didalam simpanan keluarga di raja Kedah.

          Prof S.Van Ronkel mengatakan salinan Tajus Salatin juga terdapat di perpustakaan Negara Belgium di ruangan "Bibliotheque Royale no 21507" dan beliau telah menghuraikan Tajus Salatin ini ke dalam 6 buah buku pada tahun 1908. Beliau juga mengatakan empat naskah buku ini terdapat di Muzium Batavia (Jakarta) didalam catalog berjudul “Catalogus der Maleische Handschriften” 

          Yang menariknya ialah naskah ini merupakan “wakaf Allah Taa’la kepada Nadzir Seri Paduka Tuanku Raja Kumala pada 19 Syaaban 1317”. Kitab ini juga telah digunakan didalam sistem pentadbiran di Indonesia sewaktu zaman kolonial. Manakala percubaan Raffles untuk menggerakkan hati Sultan Singapura bagi tujuan perniagaan juga ditolak dengan menggunakan alasan-alasan yang terdapat didalam Tajus Salatin.

          Abdullah Munshi pula didalam bukunya bertajuk “Kisah Pelayarannya ke Negeri Kelantan” mengatakan:

“Beringatlah Tengku, pada hari kemudian akan ditanya Allah Taa’la akan segala hal rakyat, Tengku akan mula-mula masuk neraka sekiranya ia berlaku zalim kerana Raja itu dihadapan rakyatnya dan yang masuk syurga dahulu adalah raja-rajanya yang adil dan saksama. Janganlah Tengku kira bahawa Raja itu terlebih mulia dan terlebih besar dari rakyatnya kerana semuanya adalah hamba Allah Taa’la.

          Tujuan yang sebenarnya dijadikan Allah itu seorang Raja bukanlah bertujuan untuk berbini banyak,membunuh orang sesuka hati atau mencari harta tetapi tidak lain dan tidak bukan iaitu untuk memelihara manusia agar tidak dianiaya oelh orang lain. Maka oleh sebab itulah setiap Raja dan Orang Besar perlu menyimpan Tajus Salatin agar dapatlah ia belajar daripada yang berilmu, menilik dirinya setiap hari dan menerima segala nasihat orang alim supaya Tengku dapat mengetahui segala hal Raja samada ia adil atau zalim”

          Begitulah serba sedikit tentang huraian Tajus Salatin yang dapat saya kongsikan kepada anda. Buku yang menjadi pelengkap kepada sejarah Melayu lain iaitu Salalatus Salatin dan Bustanus Salatin. Semoga bermanfaat dan janganlah hendaknya kita menderhaka Sultan walaubagaimanapun perilaku mereka kerana semuanya telah di tetapkan oleh Allah Ta'ala.

Dipetik dan diolah dari ruangan Pendahuluan Taj Us Salatin;1992 -  karangan Bukhari al-Jauhari diselenggara oleh Khalid M.Hussain; ms XI – XV.