Islamisasi Persuratan Melayu.

By

Bidang persuratan Melayu masih lagi belum mendapat tempat sewajarnya di dalam sanubari masyarakat Melayu. Namun perjuangan memartabatkan bahasa Melayu itu masih lagi belum padam apinya. Tidak dapat tidak masyarakat Melayu umumnya harus sedar dalam memperjuangkan usul-usul Islam di negara ini perlu ada kesedaran bahawa bidang persuratan Melayu telah lama diadun dengan kebudayaan Islam itu sendiri. Atas faktor ini maka wujudlah golongan-golongan yang tidak pernah jemu dalam memberikan kesedaran tentang perihal ini.

Terdapat 3 faktor yang menimbulkan kesedaran dalam menjaga kepentingan Islamisasi persuratan Melayu iaitu:
1. Kesedaran Islam yang menyeluruh ditengah masyarakat hari ini.
2. Keinginan masyarakat dan pemerintah Islam yang ingin menerapkan nilai Islam
3. Pembentukan nilai budaya masyarakat Malaysia berasaskan nilai budaya pribumi iaitu Melayu dijadikan sebagai teras utama dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia

Sedar atau tidak pembentukan nilai budaya masyarakat Melayu mendapat kekuatannya daripada sandaranya terhadap Islam atau terus mengambil dan mengadaptasi nilai-nilai Islam itu. Maka persoalan penerapan nilai Islam ini bukan sahaja berkait pada masa kini namun ia melibatkan generasi akan dating. Oleh itu persuratan Melayu  dan pengajian Melayu haruslah ditonjol dan dimartabatkan semula diperingkat nasional agar ia akan terus kekal di minda masyarakat Malaysia. Tanpa menilai dan memperbaiki nilai-nilai tradisi lalu, maka kita tidak akan dapat membina asas yang kukuh apalagi nilai tersebut bercanggah dengan apa yang kita inginkan.


Keinginan untuk menerapkan semula nilai Islam ini adalah keinginan segenap lapisan masyarakat namun telah dibataskan dengan idea-idea sekularisme dan penjajahan minda (ghazwul fikr) oleh Orientalis dan para pendokong pemikiran Barat itu. Mereka lebih terarah kepada merumuskan bahawa sifat-sifat anamisme dan Hindu-Buddha merupakan teras asas peradaban bangsa Melayu. Perbuatan yang semacam ini hakikatnya berjaya melemahkan daya fikir orang Melayu dan selanjutnya meruntuhkan kemegahan sejarah Melayu.

Dalam melihat zaman silam, para Orientalis dan para pendukungnya lebih gemar memandang Melayu itu dipengaruhi Hindu-Buddha terutamanya pada adat dan unsur estetik. Kedatangan Islam telah cuba untuk memisahkan ciri anamisme dan pengaruh ini, melalui pengadunan orientasi linguistic dan budaya Islam  namun masih lagi sukar untuk menembusi pemikiran dan kebiasaan yang telah lama menjadi sebahagian daripada sosialogi Melayu itu sendiri.

Apabila melihat kebudayaan Melayu pula sangat sedikit perhatian yang diberikan terhadap persuratan keilmuaan pada zaman klasik yang sebahagian besarnya terdiri daripada keilmuan Islam terutamanya di bidang akidah dan cabangnya. Sedar atau tidak ratusan karangan bahasa Melayu didalam ilmu sedemikian telah dihasilkan. Antara tokoh-tokoh yang telah mengangkat persuratan Melayu dalam bidang sastera dan agama ialah Raja Ali Haji, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Samsudin al-Sumatrani dan lain-lain lagi. Penyusunan bahasa Melayu didalam karangan para ulama hamper menurut nahu bahasa Arab dan al-Quran.

Ini menunjukkan betapa rapatnya hubungan keislaman menerusi pengaruh bahasa Arab kedalam bahasa Melayu, terutamanya jika dilihat kepada penulisan Jawi yang dipinjam daripada huruf-huruf al-Quran dan telah berevolusi kedalam bahasa Melayu itu sendiri. Namun pertukaran ejaan jawi kepada rumi telah menimbulkan kepincangan didalam istilah-istilah Islam terutamanya yang melibatkan perkataan-perkataan dalam bidang tauhid dan syarak. Hal ini patut dikesalkan dan harus diatasi segera agar pembahasaan ini tidak “membaratkan” orang-orang Islam di gugusan Kepulauan Melayu ini. Tidak kurang pula gejala yang mempersendakan hubungan bahasa Melayu-Arab yang secara tidak lansung telah merendahkan martabat bangsa Melayu itu sendiri apabila dikaitkan dengan persoalan budaya bahasa dan persuratan Melayu dengan Islam.

Secara keseluruhannya, tradisi persuratan Melayu itu menjadi kuat dan kukuh setelah diresapi oleh nilai-nilai Islam, namun gerakan-gerakan sulit yang ditunjangi Barat telah menyebabkan nilai persuratan Melayu sekadar berada didalam ruang lingkup gugusan-gugusan kepulauan Melayu sahaja sedangkan bahasa Melayu itu pernah diangkat menjadi lingua-franca teragung dunia pada suatu masa dahulu. Maka tugas kitalah untuk mengangkat kembali sejarah dan budaya bangsa melalui penerapan nilai Islam yang sebenar dan bukan lagi apa yang dihidangkan oleh idealis Barat yang mengatakan Melayu itu masih aman dalam kepercayaan paganisme dan kemudiannya Hindu-Buddha.

Dipetik dan diolah dari buku bertajuk "Prosiding Kongress Bahasa dan Persuratan Melayu IV" 2002; Bab Persuratan Melayu Masa Kini dan Perspektif Masa Hadapan oleh Shafie Abu Bakar; Disusun oleh Awang Sariyan; ms 20 - 28.