Falsafah Islam vs Peracunan Minda Melayu

By




            Kita insaf akan kehilangan sifat pendirian bangsa jika tidak 
hilang mengapa kita berusaha mencarinya?  Dan dari manakah harus kita dapati  ciri –ciri yang memperkenalkan pendirian itu  melainkan dari sejarah!, Sejarah manakah yang seharusnya kita benamkan kesannya kedalam jiwa kita? Kita lihat bahawa orientalis itu sekadar mengkaji sejarah kepulauan Melayu-Indonesia itu  dengan hanya menumpukan sejarah kolonial dan tidak lebih dari itu. Mengenai sejarah lama mereka hanya mengatahui tentang zaman Hindu – Buddha  dan sedikit tentang sejarah purbakala. Manakala sejarah Islam seolah-olah hilang atau dihilangkan terus.  Dengan penumpuan kepada 3 lapangan sejarah ini maka dengan sendirinya sejarah Islam itu tampak tidak berkesan lansung kepada masyarakat Melayu-Indonesia. Alangkah palsunya tanggapan ini!

            Saya mengusulkan bahawa kehilangan sejarah ini lah yang mengakibatkan kita kehilangan sifat-sifat persendirian bangsa yang kita cari-cari selama ini., sebab Islam lah yang menyempurnakan sifat keperibadian tersebut. Walaupun sudah adanasib politik dan keturunan sebelum Islam dan telah menyerapi kedalam perolahan sejarah yang menuju kepada kebangsaan tetapi dengan kehadiran Islam lah baru semuanya dilengkapkan  iaitu unsur-unsur sastera, agama dan kebudayaan. Melalui Islamlah maka masyarakat Melayu dapat membentuk fahaman kebangsaannya.
            Kita tidak dapat menyangkal keanehan dan kepelikan kita  kepada Melayu-Indonesia yang majoriti penduduknya adalah Islam, betapa masyarakat itu jahil dengan sejarahnya sendiri, tidak insaf akan peranannya di Asia Tenggara, tidak sedar akan dirinya! Ini berlaku kerana sejarah Islamnya telah diabaikan dan dirangkapkan sebagai sebuah zaman kezaliman  dan kejahilan maka ia menimbulkan rasa malu dan kecewa dihati masyarakat. Oleh itu para penulis,pujangga dan sarjana telah mengadaptasi kebudayaan Barat agar dapat membentuk keperibadian pada masa akan datang.

            Maka dengan sebab itu timbullah kekeliruan dan keraguan yang mendesak kita suapay amencari identiti sendiri supaya nilai norma sosial masa lalu seiring dengan masa hadapan. Dalam usaha itu maka para sarjana dan penulis beralih kepada zaman pra Islam seperti zaman Sriwijaya dan Majapahit yang dianggap sebagai sebuah tamadun yang telah memulia dan membanggakan maruah bangsa!. Selanjutnya kita tergopoh dalam cubaan untuk membangkitkan nilai-nilai yang lama itu yang sepatutnya harus dibiarkan lebur untuk selama-lamanya. 

            Dalam usaha kita itu kita enggan memandang sejarah Islam dan telah memandang sejarah kuno untuk mendapatkan nilai-nilai yang difikirkan dapat membimbing kita ke dunia moden. Tiada apa yang dapat kita perolehi dari sejarah itu melainkan nilai-nilai biadap,kolot dan pandangan estetik yang bertentangan dengan nilai-nilai moden.

            Atas dasar yang telah diusulkan Barat  maka satu konsep regionalisme atau kedaerahan telah meracuni pencarian kita. Konsep ini asalnya bertujuan untuk kerjasama ekonomi dan teknologi serantau namun dalam masa yang sama juga ia meliputi penjelmaan kesatuan dalam  pelbagai unsur kebudayaan hingga dapat mewujudkan kebudayaan Asia Tenggara. Sebagaimana sesuatu rencana politik itu berlandaskan ideologi dan falsafah politik begitu jugalah sesuatu rencana kebudayaan mesti didasari dengan dasar-dasar ilmiah.


Dipetik dan diolah dari Buku Islam Dalam Sejarah Kebudayaan Melayu ms 56-58; Cetakan 1999; Syed Muhammad Naquib Al- Attas.